MAUT adalah tirai pertama bagi seseorang hamba memasuki alam akhirat, kata Mudir Maahad Tahfiz Darul Faizin, Hulu Langat, Selangor, Muhamad Rahmat Muhamad Ajib (gambar) yang memetik Surah Ali Imran, ayat 185.
Sehubungan itu, kata pendakwah tersebut, umat Islam sewajarnya melakukan beberapa amalan yang boleh mengingatkan kita kepada kematian.
Antara yang disyorkan adalah dengan melafazkan istighfar. Ujar Muhammad Rahmat, Nabi Muhammad SAW sendiri sentiasa melazimi kalimah suci itu sehingga akhir hayat baginda.
Selain itu, kata beliau, menziarahi kubur juga menjadikan kita memiliki keseimbangan antara semangat membangun kehidupan di dunia dengan tuntutan iman pada hari akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: “Berziarahlah kalian ke kuburan, kerana ziarah kubur mengingatkan kalian akan kematian.“ (Hadis Riwayat an-Nasai dan lainnya)
“Apabila kita berbuat demikian, secara tidak langsung, ia akan menyedarkan kita bahawa sama ada cepat atau lambat, kita pasti menjadi salah satu penghuninya (kubur),“ katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun ujar Muhammad Rahmad, terdapat dua ‘penyakit‘ yang menyerang dan menular dalam kalangan umat Islam pada hari ini.
Tidak lain tidak bukan adalah sikap yang terlalu cintakan dunia dan begitu takut dengan kematian.
“Ingat, apabila dua sifat ini lahir dalam diri, kita akan mula lalai dan tiada persediaan untuk kehidupan sesudah mati gara-gara terlalu sibuk dengan nikmat dunia yang sementara ini,“ kata beliau.
Mengenai pandangan kononnya mengingati kematian hanya melemahkan semangat hidup, pernyataan tersebut ditolak mentah-mentah oleh pendakwah muda tersebut.
Jelasnya, jika manusia menggunakan akal fikiran yang serba kekurangan ini, pasti dengan rasa gentar kita akan lari daripada perkara yang ditakuti.
“Sebagai contoh, jika kita seriau dengan angsa, kita berusaha mengelak daripada mendekati haiwan itu.
“Begitu juga kalau kita takut dengan ALLAH yang berkuasa terhadap semua yang ada di langit dan di bumi. Tiada guna kita lari kerana segalanya dimiliki oleh-NYA.
“Samalah dengan maut, kalau kita lari (daripadanya), tiada sepotong bumi mahupun langit yang bukan dalam genggaman DIA dan memang tiada ruang untuk kita menghindarinya.
Sebaiknya kita perlu meningkatkan takwa dan semangat untuk beribadah dalam menyiapkan bekalan hari akhirat,” katanya panjang lebar.
Muhammad Rahmat juga mahu seluruh umat Islam merenungkan kisah para sahabat baginda yang mendambakan kematian. Ini kerana mereka yakin kehidupan di dunia ini hanya memenatkan dan cuma sementara. Justeru, marilah kita jadikan dunia kita sebagai lombong galian pahala agar kita terus bersemangat menggalinya bagi persiapan menuju ke alam abadi nanti,“ pesannya.
Speak Your Mind