Jaga Adab, Pelihara Hubungan Sesama Manusia Jika Mahu Doa Kita Diperkenankan-NYA

PENDAKWAH terkenal Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, ALLAH mendengar doa setiap hamba-NYA, waima individu itu seorang pendosa menerusi sifat-NYA YANG MAHA MENDENGAR.

Ia sebagaimana doa yang dibaca semasa sujud sahwi, ‘MAHA SUCI ALLAH yang tidak tidur dan tidak lupa.’

Jelas agamawan itu, tahap kemakbulan doa sebenarnya berbeza mengikut peringkat.

“Kita perlu memahami, ALLAH SWT tidak terikat dengan kewajipan dan bebas daripada apa-apa (kewajipan) bagi memakbulkan doa kerana ada (doa) yang diawalkan dan ada yang ditundakan,” katanya.

Memberi contoh, Da’i Fuad menceritakan bagaimana hasrat Nabi Ibrahim AS yang mahu Makkah menjadi makmur. Namun demikian, DIA hanya perkenankannya pada zaman Nabi Muhammad SAW.

“Terdapat juga doa yang ALLAH makbulkan secara langsung iaitu doa Nabi Muhammad SAW ketika dalam peperangan Badar. Ada juga doa Nabi Muhammad SAW yang ditunda seperti doa baginda agar umat Islam bersatu hati seperti di Masjid Ijabah yang mana doa itu tidak diambil oleh ALLAH SWT dan menjadi ibadah di sisi-NYA,” jelasnya.

Dalam pada itu, Da’i Fuad berkata, memutuskan silaturahim juga antara sebab doa seseorang tidak sampai. Kata-kata itu diperkukuhkan dalam Hadis Riwayat Ahmad.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seseorang Muslim memanjatkan doa kepada ALLAH selama tidak ada padanya dosa dan memutuskan silaturahim (antara kerabat) melainkan ALLAH akan beri kepadanya tiga perkara iaitu ALLAH akan segera mengabulkan doanya, ALLAH akan menyimpan baginya di akhirat kelak dan ALLAH akan menghindarkan darinya keburukan yang seumpamanya.”
Para sahabat berkata: “Kalau begitu, kami akan perbanyakkan doa.” Nabi SAW lantas berkata: “ALLAH nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kamu.”

“Ya, kita mengeluh apabila ALLAH SWT tidak makbulkan doa yang dipohon, tapi dalam tidak sedar kita langsung tidak menjaga hubungan dan adab sesama manusia. Justeru, peliharalah hubungan kita bersama,” nasihatnya.

Antara tertib doa yang boleh diamalkan:

  • Bertaubat kepada ALLAH terlebih dulu dengan mengerjakan solat sunat taubat dan beristighfar.
  • Dirikan solat sunat lain seperti solat tasbih, solat tahajjud dan witir sebelum berdoa.
  • Menadah tadah tangan ke arah kiblat sambil menghadirkan rasa ikhlas di dalam hati dan bersungguh-sungguh untuk memohon hajat ke hadrat ALLAH SWT.
  • Memulakan doa dengan bertasbih seperti alhamdulillah. Kemudian berselawat ke atas baginda.
  • Lafazkan permohonan dengan rasa rendah diri dan suara yang sederhana kuat.
  • Berdoalah dengan sepenuh hati dan yakin bahawa DIA akan memakbulkan doa kita.
  • Ulangi doa sebanyak tiga kali. Akhiri doa dengan memohon keselamatan hidup di dunia dan akhirat, diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan memuji-NYA.

Antara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa adalah:

  • Sepanjang bulan Ramadan terutamanya pada malam Lailatul Qadar.
  • Satu pertiga malam iaitu dari waktu tengah malam sehingga waktu fajar.
  • Pada hari wuquf di Arafah.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Malam dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
  • Setiap kali selepas solat fardhu.
  • Waktu antara azan dan iqamat.
  • Ketika sujud dalam solat fardhu.
  • Selepas solat Asar.

Speak Your Mind

*