Jangan Ikutkan Hati Dan Amarah. Ingat, Penceraian Bukan Satu Permainan

kalam perkahwinan penceraian

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF
Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor

SESUNGGUHNYA, merentas alam perkahwinan merupakan satu fasa yang membahagiakan, apatah lagi jika mendapat restu keluarga dan pasangan saling mencintai.

Selepas berlakunya pernikahan, ini bermakna suami dan isteri mempunyai tanggungjawab tambahan yang perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.

Suami harus menjadi pelindung kepada isteri, manakala si isteri perlu membantu suami. Kedua-duanya memainkan peranan penting agar terpelihara daripada kemelut perpecahan dan perbalahan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

kalam perkahwinan penceraian

Cabaran

Sudah menjadi resam, setiap yang manis, pasti akan ada pahitnya. Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah tentu wujud pelbagai cabaran mahupun perkara-perkara yang menguji tahap kesabaran, kesetiaan dan kepercayaan.

Itu sebab, jika tidak mampu untuk mengharungi segala onak dan duri, usahlah kita memasuki alam perkahwinan tanpa persiapan yang cukup rapi.

Bukan apa, dikhuatiri kita tidak mampu memegang amanah ALLAH YANG MAHA ESA dan bersikap zalim terhadap pasangan kelak.

Sesungguhnya, persediaan rohani dan jasmani perlu dititik beratkan kepada mereka yang berniat untuk menelusuri alam rumah tangga.

Apabila ditimpa dugaan, kepercayaan dan tolak ansur sangat penting bagi kedua-dua belah pihak. Pertelingkahan atau salah faham boleh berlaku walaupun bermula dengan perkara yang kecil, kemudian bercambah menjadi satu masalah jika tiada perbincangan atau penyelesaian yang mampu menemui jalan pendamaian.

Jika penceraian adalah yang paling wajar, seharusnya ada usaha dan perbincangan yang dilakukan terlebih dulu di antara suami dan isteri.

Jika tidak berupaya untuk mengadakan diskusi bersama, maka perlu ada setiap seorang wakil yang boleh menjadi perunding atau pendamai dalam memastikan pertelingkahan dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan persengketaan antara keduanya, maka lantiklah seorang orang tengah daripada keluarga lelaki dan seorang orang tengah daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua (orang tengah) itu bertujuan hendak mendamaikan, nescaya ALLAH memberi taufik kepada suami isteri itu. Sungguh ALLAH MAHA MENGETAHUI dan MAHA TELITI.” (Surah An-Nisa’, ayat 35)

kalam perkahwinan penceraian

Berusaha jaga amanah

Penceraian bukanlah semudah yang disangka. Bukan selepas si suami melafazkan cerai, masing-masing boleh terus meninggalkan pasangan dan  membawa haluan sendiri. Bukan begitu caranya.

Sebaliknya, kes penceraian perlulah mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah dengan melihat pelbagai aspek sebelum hakim mengesahkannya.

Secara mata kasar memang nampak senang, hakikatnya tidak, lebih-lebih jika pasangan mempunyai anak atau terdapat gangguan dan hasutan daripada pihak ketiga.

Banyak proses dan prosedur yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah syariah yang bertanggungjawab dalam menentukan proses penceraian diterima.

Sekiranya perlu, mahkamah akan mengarahkan  suami isteri untuk menjalani sesi kaunseling di jabatan agama negeri masing-masing bagi memperbetulkan keadaan rumah tangga atau sebagainya.

Oleh yang demikian, sebelum melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan, berfikirlah dengan sebaiknya. Banyak faktor yang perlu dilihat di sekeliling kita apabila jalan perpisahan yang dipilih.

Jangan juga menjadikan penceraian itu sebagai permainan. Merujuk semula pasangan, kemudian menceraikannya semula atau isteri minta untuk dilepaskan, walaupun telah dirujuk semula.

Begitu juga bagi seorang lelaki yang telah berkahwin lebih daripada sekali, namun setiap perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

kalam perkahwinan penceraian

Perlu diingat, walaupun penceraian dibenarkan, namun biarlah sebagai jalan penyelesaian yang terakhir, dengan syarat kita telah berusaha untuk menyelamat dan memperbetulkan rumah tangga dengan sehabis daya dan usaha bersama.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh ALLAH SWT selain daripada talak. Dan mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atas baunya syurga.”

Sehubungan itu, sentiasalah berusaha untuk memelihara ikatan kasih sayang di antara suami isteri.

Duduklah berbincang sekiranya terdapat masalah. Mohonlah kepada ALLAH, jangan ikutkan hasutan syaitan yang gemar kepada perpecahan dan perbalahan dalam rumah tangga.

Sayangilah pasangan dan keluarga kita kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang ALLAH SWT berikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-NYA) adalah DIA menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar Rum, ayat 21)

Sumber: Foto Unsplash

Speak Your Mind

*