Jangan Mengeluh Ketika Mencari Rezeki. Segala Usaha Akan Diberi Ganjaran Yang Besar Daripada ALLAH SWT

PADA bulan Oktober lalu, Asnida Kamal, 38, diminta kembali bertugas di pejabat selepas hampir dua tahun berkerja dari rumah (BDR).
Berita itu amat mengecewakan arkitek tersebut. Bukan apa, beliau rasa lebih selamat berada di kediaman sendiri, sementelah dirinya mempunyai dua anak kembar berusia 10 tahun yang masih mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ujar Asnida, sistem BDR membuatkannya lebih produktif. Seperkara lagi, dengan tidak hadir ke pejabat, beliau mampu berjimat sebanyak RM600 yang biasanya diperuntukkan untuk bayaran tol dan minyak kenderaan.

Pada masa sama, urusan PdPR anak-anaknya dapat diuruskan dengan mudah. Suaminya yang berkerja sebagai doktor tidak dapat membantu beliau dalam banyak urusan kerana sibuk mengendalikan pesakit di hospital.

Pun demikian, ‘amukan kecil‘ Asnida mendapat teguran daripada ibunya yang menyifatkan keluhan tersebut seolah-olah menidakkan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Bukankah penat lelah membanting tulang mempunyai ganjaran pahala daripada ALLAH SWT? Soal wanita tua tersebut kepada anaknya.
Justeru, dalam kemelut seperti itu, apa tanggapan Islam mengenai perilaku Asnida? Adakah rintihannya dianggap seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang diperoleh sebelum ini?

Istighfar

Kepada Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood, soalan-soalan tersebut Sinar Islam Plus ajukan.

Siti Fatahiyah menjelaskan, mencari rezeki yang halal lagi berkat merupakan salah satu perkara yang dituntut dalam agama Islam.
“Ia juga adalah ibadah kepada ALLAH SWT. Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memastikan keseluruhan proses pencarian rezeki mematuhi syariat bermula daripada niat sehinggalah kita memiliki hasil rezeki tersebut,“ ujarnya.

Dalam Surah al-Jumu‘ah, ayat 10, ALLAH berfirman: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia ALLAH, serta ingatlah akan ALLAH banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).“

Sementara dalam Surah Al-Ankabut, ayat 17, ALLAH berfirman: “Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain daripada ALLAH itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi ALLAH, dan sembahlah akan DIA, serta bersyukurlah kepada-NYA; (ingatlah), kepada ALLAH jualah kamu akan dikembalikan.“

Jelas Siti Fatahiyah, jika diteliti kedua-dua ayat tersebut, kaedah mencari rezeki boleh dirumuskan kepada lima pecahan.
Pertama, jangan meninggalkan solat sepanjang mencari wang. Kedua, dapatkan daripada perolehan yang halal.

Pendekatan seterusnya adalah tidak menyekutukan ALLAH SWT, sentiasa mengingati-NYA dan selalu bersyukur.

“Paling akhir dan penting sekali, beroleh kejayaan di dunia dan akhirat kerana kita semua akan kembali kepada-NYA,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, tidak kira sama ada berkerja di ofis berhawa dingin atau membanting tulang empat kerat di bawah terik mentari, rasa penat memang tidak dapat dielakkan.

Ya, benar keadaan seumpama itu memang sesiapa pun tak boleh nafikan. Namun, tatkala kita rasa penat ataupun lelah ketika mencari rezeki, maka cepat-cepatlah beristighfar dan berselawat agar ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan kita,“ katanya.

Dalam Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, ALLAH menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh-kesah itu kelapangan dan ALLAH juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.“

Menjawab pertanyaan tentang pernyataan bahawa ALLAH SWT akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang keluar mencari nafkah, pendakwah itu lantas berkata: “Apabila berbicara soal dosa dan pahala, ia perlu dirujuk kepada ALLAH SWT YANG MAHA BERKUASA dan MAHA MENGETAHUI. Seperti yang telah saya katakan tadi, untuk mendapat ganjaran dan ibadah diterima, kita perlulah memastikan niat dan proses mencari nafkah tidak lari daripada batasan serta syariat. Setelah kita melaksanakannya dengan baik, kita pasti akan mendapat ganjaran dan tiada sesiapa pun dapat menghalang rezeki kita kerana hanya DIA menentukan semua. Cuma yang membezakannya adalah sama ada cepat atau lambat sahaja.“

Belajar bersyukur

Perunding Motivasi Keluarga itu juga menasihatkan kepada seluruh umat Islam untuk sentiasa mendidik hati dan minda supaya bersyukur di atas segala nikmat dan anugerah yang dikurniakan-NYA.

Jangan pula siang dan malam berhajat itu dan ini, namun apabila segalanya dimakbulkan, kita lupa untuk menitip rasa berterima kasih kepada-NYA, tegur beliau.

ALLAH telah pun memberi peringatan tentang hal tersebut dalam Surah al-‘Araf, ayat 10: “Dan sesungguhnya KAMI telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan KAMI jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.“

Pensyarah tersebut kemudian menambah. Kehidupan seseorang insan akan lebih bermakna sekiranya rezekinya dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan. Pertolongan itu bakal membantu mereka di akhirat kelak.

Sinar Islam Plus turut mengajak pendakwah Muhammad Yusuf A Kadir untuk berdiskusi topik yang sama. Beliau tanpa prejudis bersetuju dengan setiap fakta yang dikemukakan oleh Siti Fatahiyah.

Muhammad Yusuf menjelaskan, tujuan utama kita keluar bekerja adalah untuk mencari reda ALLAH dan ia adalah sebahagian daripada amal soleh.

Selagi pekerjaan itu selari dengan syariat dan halal, maka setiap tindakan sepanjang melaksanakannya akan diberi pahala.
Muhammad Yusuf kemudian memetik sabda baginda: “Sesungguhnya kamu tidak membelanjakan suatu biaya (yang tujuannya) kerana ingin mendapatkan reda ALLAH melainkan kamu akan diberi pahala melaluinya, sehinggakan apa yang kamu beri makan ke dalam mulut isterimu (melalui hasil usaha kerja yang dilakukan).“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Ganjaran besar

Tutur pendakwah itu lagi, segala usaha yang dilakukan untuk mencari nafkah demi keluarga tercinta tidak akan disia-siakan, bahkan diberi ganjaran yang besar daripada ILAHI.

Sesungguhnya, ungkap beliau, membelanjakan wang kepada ahli keluarga adalah sebaik-baik sedekah.

“Justeru, seseorang yang bekerja perlu meletakkan niat di sebalik pekerjaannya adalah untuk bersedekah dengan cara memberi biaya hidup kepada famili dan perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis,“ tegasnya.

Daripada Abu Hurairah, baginda bersabda: “Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan ALLAH, satu dinar yang kamu gunakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang kamu sedekah kepada orang miskin, dan satu dinar yang kamu biaya keluargamu; yang paling besar ganjaran pahalanya ialah yang kamu gunakan untuk membiayai keluargamu.“ (Hadis Riwayat Muslim)

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf memberitahu, Islam memandang tinggi dan menyukai umat yang melaksanakan tugasan dengan tekun dan sentiasa memperbaiki kualiti kerja yang dilakukan.

Sikap seumpama itu menunjukkan bahawa dia seorang yang amanah dengan kewajipan yang diberikan. Pada masa sama, mereka sebenarnya sedang menuju cinta dan kasih sayang ALLAH,“ jelasnya.

Speak Your Mind

*