Kalimah Bukan Arab Terdapat Dalam Al-Quran, Berikut Perinciannya

Kalimah bukan Arab dalam al-Quran

PENURUNAN al-Quran diketahui umum dalam bahasa Arab. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan.

Ia sebagaimana disebutkan dalam ayat 2, Surah Yusuf. ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMI menurunkan kitab suci itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”

Menurut mantan Ketua Jawatankuasa Fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr (1914 – 2006), sebahagian ulama berpandangan, semua perkataan dalam kitab suci umat Islam itu adalah dalam bahasa Arab dan kalimah asing yang terdapat dalam al-Quran pula adalah sebahagian daripada ucapan Arab.

“Ulama lain pula berpendapat, terdapat perkataan bukan Arab dalam al-Quran seperti as-Qistas, tetapi kalimah itu telah menjadi bahasa Arab kerana orang Arab menggunakannya dengan lembut dan mereka telah memasukkannya pada aturan tatabahasa Arab,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal aboutislam.net.

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, orang Arab terdahulu pernah menggunakan perkataan yang bukan berasal dari bahasa mereka kerana terkesan dengan budaya lain.

“Sepertimana orang lain, masyarakat Arab juga tidak terlepas daripada situasi tersebut. Mereka menggunakan nama yang asing kepada budaya masing-masing, tetapi kalimah tersebut mudah disepadukan dengan peredaran zaman.

“Malah, mereka menjadikannya sebagai sebahagian daripada perkataan Arab yang disesuaikan dengan tatabahasa bahasa Arab,” katanya.

Meskipun kalam ALLAH SWT itu diturunkan dalam bahasa Arab, namun Sheikh ‘Atiyyah Saqr menjelaskan, terdapat serapan perkataan dari bahasa yang berbeza kerana hubungan rapat antara individu dan kumpulan.

Kalimah bukan Arab dalam al-Quran

AL-QURAN diturunkan dalam bahasa Arab.

“Interaksi sebegini sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan sosial kita.

“Oleh itu, interpolasi perkataan sedemikian mungkin hasil daripada peralihan dari satu bahasa ke bahasa yang lain atau disebabkan fakta bahawa dua bahasa memiliki asal yang sama.

“Justeru itu, selagi perkataan bukan Arab mudah disesuaikan ke dalam bahasa tersebut, ia dianggap sebagai perkataan Arab,” katanya.

Begitu juga halnya dengan al-Quran yang mana jelas beliau, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, tidak ada perbezaan di antara empat empat mazhab utama bahawa terdapat perkataan bukan Arab dan nama-nama khas dalam kitabullah seperti Nuh, Lut, Imran dan Jibril.

“Begitupun terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam kalangan ulama sama ada bahasa al-Quran termasuk perkataan asing.

“Antaranya seperti kalimah al-Qistas (Surah al-Isra’, ayat 35) yang berasal dari bahasa Yunani; al-Sijjil (Surah al-Hijr, ayat 74) berasal dari bahasa Parsi; al-Ghasaq (Surah an-Naba, ayat 25) dari bahasa Syria dan al-Kifl (Surah al-Hadis, ayat 28) dari bahasa Habsyah.

“Malah, terdapat segelintir ulama telah menulis buku mengenai topik perbendaharaan kata asing dalam al-Quran. Sebagai contoh, al-Suyuti menyusun sebuah buku kecil dengan senarai 118 ungkapan dalam pelbagai bahasa,” jelasnya.

Foto: Pexels

Speak Your Mind

*