Kepentingan Ketelusan Dalam Muamalat. Ini Inti Pati Yang Perlu Diperhalusi

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi. Ia merujuk kepada persetujuan bersama antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati. Tuntutan memenuhi prinsip taradhi dalam muamalat dijelaskan oleh Allah dalam  al-Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”

Memang tidak dinafikan kerelaan hati itu adalah suatu yang tersembunyi dalam hati yang sememangnya hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Namun bagi memastikan kerelaan itu dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu ada tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

Ijab dan qabul inilah yang menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan ada yang ada dalam hati. Malah setiap ijab dan qabul tersebut perlu memenuhi syarat-syaratnya agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma’qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting. Kerana di sinilah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Disebakan itulah dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

“Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada dalam kandang dengan harga RM1500” atau “Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5000” atau “Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1000 sebulan”.

Kesemua bentuk tawaran di atas tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan kerana ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual hendaklah dinyatakan dengan jelas sama ada dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog jika ianya tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta`yin) supaya pembeli mengetahui secara jelas apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan jelas tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka ketelusan dan kejelasan ini mampu membuahkan kerelaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Ketelusan ini sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay` murabahah yang menggunakan mekanisma tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di Malaysia, kebanyakan transaksi murabahah komoditi  menggunakan platform Bursa Suq al-Sila’. Bay` murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah di mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil.

Ketelusan dalam aspek ini jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain daripada itu, ketelusan juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya  menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah ini memang diambil berat dalam industri kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Speak Your Mind

*