KETIKA masuk ke dalam tandas, secara automatik kita akan menggunakan kaki kiri dan keluar dari tempat qada hajat itu dengan kaki kanan.
Ya, sememangnya umat Islam diajar berbuat demikian. Begitu juga dalam perihal beristinjak, semuanya dilakukan dengan tangan kiri.
Ketahuilah bahawa terdapat beberapa hadis yang melarang umat Islam menyentuh kemaluan dengan tangan kanan ketika beristinjak, kata pendakwah Azhar Idrus menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Antaranya daripada Abu Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kencing salah seorang daripada kamu, maka janganlah memegang kemaluan dengan tangan kanannya dan janganlah dia beristinjak dengan tangan kanannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Begitu juga disebut dalam sebuah hadis lain yang turut diriwayatkan oleh Abu qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jangan seorang daripada kamu memegang zakarnya dengan tangan kanan ketika dia sedang kencing dan jangan menyapu ketika istinjak dengan tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan nas tersebut, Azhar berkata, jelaslah bahawa kita dilarang memegang kemaluan ketika qada hajat dengan tangan kanan dan tidak menggunakan tangan berkenaan untuk membersihkan qubul serta dubur daripada najis.
“Begitu juga halnya apabila kita menyapu alat sulit tadi dengan alat istinjak lain seperti batu umpamanya dengan tangan kanan.
“Sesungguhnya larangan menggunakan tangan kanan itu bermaksud perintah menggunakan tangan kiri dalam melakukan semua perkara tersebut,” jelasnya.
Begitupun, penceramah terkenal itu menjelaskan, jumhur fuqaha menyatakan, hukum menggunakan tangan kanan ketika bersuci daripada najis adalah makruh dan bukannya haram.
“Justeru, jika seseorang itu ingin beristinjak dengan menggunakan air, maka tuanglah air tadi dengan tangan kanan, manakala tangan kiri pula digunakan untuk menggosok bahagian qubul mahupun dubur.
“Seandainya seseorang tidak dapat menggunakan tangan kiri akibat sakit atau ketiadaan anggota berkenaan, maka tidak mengapa dia melakukannya dengan tangan kanan. Hanya orang yang uzur sahaja diberi kelonggaran,” jelasnya.
Foto: Unsplash & Pexels
Speak Your Mind