Oleh DR AZRI BIN BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor
TANGGAL 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh bersejarah bagi seluruh umat Islam apabila lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kehadiran baginda adalah rahmat dan anugerah teragung daripada ALLAH SWT kepada alam semesta.
Lazimnya, di Malaysia, kita akan menyambut peristiwa penting itu dengan mengadakan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan seperti berselawat, berqasidah, berzanji termasuk menganjurkan kuliah, ceramah, atau bagi menterjemahkan rasa syukur kepada-NYA atas kelahiran insan agung dan mulia ini.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)
Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan yang hebat dan keunggulan keperibadian baginda sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara tiada tolok bandingnya sehinggakan tiada makhluk di muka bumi ini, waima tokoh atau pemimpin terkenal di dunia ini dapat menandingi Rasulullah.
Seorang penulis dan pengkaji dari Barat, Michael H Hart turut memperakui kehebatan dan ketokohan Nabi Muhammad SAW. Dalam karyanya yang bertajuk 100 Most Influential People In The World, beliau telah menobatkan baginda sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.
Amalan berterusan
Kita sebagai umat Islam pastinya mencintai Rasulullah yang banyak berkorban dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah dan sentiasa berusaha mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.
Terdapat beberapa kaedah dan cara yang dianjurkan oleh agama kepada kita untuk menzahir dan membuktikan kecintaan kepada baginda. Berikut adalah perinciannya:
PERTAMA: Mencintai baginda melebihi diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.” (Surah al-Ahzab, ayat 6)IKLAN
Dalam Hadis Riwayat Muslim pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya.”
Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu ALLAH dan Rasul-NYA lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
KEDUA: Mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Tanda mencintai seseorang adalah wujud keinginan untuk sentiasa dekat dan bersama dengannya. Dalam konteks mencintai baginda, cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah yang boleh dipelajari daripada hadis sahih dan sirah hidup Rasulullah.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi ALLAH, maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.” (Surah Ali Imran, ayat 31)
Sementara itu, dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati ALLAH.”IKLAN
Justeru, marilah melakukan perubahan dengan menjadikan baginda sebagai contoh terbaik, seterusnya menjunjung sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada ALLAH SWT.
KETIGA: Memperbanyakkan selawat kepada baginda.
Selawat tidak wajar hanya dizahirkan pada sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian. ALLAH SWT dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)
Terdapat kelebihan lain jika kita sering membasahkan bibir dengan berselawat. Dalam Hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH SWT berselawat ke atasnya 10 kali.”
Kesimpulannya, meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan ALLAH SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman dan membuktikan kecintaan kita kepada baginda yang kita sayangi.
Foto UNSPLASH dan AFP
Speak Your Mind