Nota Penting Di Sebalik Surah Al-Kafirun. Selain Ditakuti Iblis, Ini Fadilat Lain Yang Perlu Kita Ketahui

SALAH seorang sahabat saya baru beberapa bulan memeluk agama Islam. Vektor kecintaannya terhadap agama suci ini dapat dilihat menerusi kesungguhannya menghafal surah dalam al-Quran.

Setakat ini, wanita itu sudah lancar membaca Surah al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, Surah an-Nas dan terkini sedang berdikit-dikit mengarah kepada Surah al-Kafirun pula.

Ketika kami bersembang di corong telefon, beliau banyak bertanyakan semantik di sebalik setiap baris ayat dalam Surah al-Kafirun.

Antaranya tentang saranan bertolak ansur dalam beragama yang semestinya mempunyai perkaitan antara beliau dengan ahli keluarga, terutama ibunya.

Pun demikian, rakan saya itu memahami, walaupun Islam meminta agar umatnya menghormati penganut agama lain, tiada tolak ansur dalam bab agama dan keimanan.

Inti perbualan bersamanya kemudian dipanjangkan dengan berdiskusi lanjut bersama dua agamawan yang lebih arif mengenainya. Apakah nota penting yang mahu disampaikan ALLAH YANG MAHA ESA melalui Surah al-Kafirun yang diturunkan kepada baginda SAW? Apa pengajaran dan fadilatnya sehingga kita dianjurkan untuk membacanya ketika solat ataupun sebelum tidur?

Tidak ada tolak ansur dalam akidah dan ibadah

Bersama Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Panji Alam Mazhisham, enam ayat yang terkandung dalam Surah al-Kafirun diperhalusi satu persatu.


Terdahulu, Panji Alam memetik pernyataan Imam ibn Kathir Rahimahullah di dalam Kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim mengenai surah tersebut:

“Surah ini adalah surah yang melepaskan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik. Ia meliputi seluruh orang kafir di atas muka bumi, tetapi ayat ini secara khususnya telah diturunkan ke atas orang kafir Quraisy.

Orang kafir Quraisy yang penuh kejahilan telah mengajak Rasulullah SAW menyembah berhala-berhala mereka selama setahun, kemudian mereka pula menyembah ALLAH selama setahun, maka ALLAH SWT menempelak dengan menurunkan surah ini dan mengarahkan Rasulullah SAW berlepas diri daripada agama mereka secara keseluruhannya.”

Ujar penceramah tersebut, surah tersebut yang diturunkan di Makkah itu menceritakan tentang harapan orang kafir untuk memujuk Nabi Muhammad SAW agar berkompromi dengan mereka dari tiga aspek iaitu penyembahan, ibadat dan agama.

“Daripada kesemua aspek itu, apa yang boleh disimpulkan, orang mukmim mengabdikan diri kepada ALLAH SWT, sedangkan golongan kafir (kuffar) menyembah berhala, patung, bintang, manusia, malaikat dan pelbagai lagi objek.

Umat Islam juga tidak syirik kepada-NYA, apalagi menukar syariat, tetapi orang kafir beribadat mengikut cara ciptaan akal atau mengikut hawa nafsu,” terangnya.

Surah ke-109 dalam al-Quran itu juga mengisahkan bagaimana kaum kafir Quraisy tidak henti-henti mencari cara untuk menghentikan Rasulullah SAW daripada terus menyebarkan agama Islam.

Pegawai agama itu kemudian menceritakan kembali kisah Al Walid bin Al Mughirah, Al Ash bin Wa’il, Al Aswad bin Al Muththalib dan Umayyah bin Khalaf yang mana ketiga-tiganya sangat memusuhi Rasulullah. Mereka berkata kepada baginda: “Wahai Muhammad! Marilah engkau menyembah apa yang kami sembah. Maka, kami pun menyembah apa yang engkau sembah. Kita bekerjasama dalam segala hal.”

Selepas itu, ALLAH SWT menurunkan Surah al-Kafirun untuk memupuskan harapan mereka dengan penegasan pada ayat dua dan empat iaitu ‘Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah’ dan ‘Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.’


Berdasarkan sejumlah tafsir, Panji Alam berkata, surah tersebut antara lain jelas mengajar manusia bahawa tiada tolak ansur dalam agama. Pun demikian, beliau ingin memberi pencerahan maksudnya berdasarkan perspektif Islam.

Terlebih dahulu ungkap beliau, kepelbagaian agama tidak lagi dapat dielakkan dalam sesuatu kumpulan atau negara. Maka, bertolak ansur dalam kehidupan masyarakat adalah amat digalakkan.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, kita wajib memahami definisi yang sebenar yang dibawakan oleh Islam. Tolak ansur atau tasaamuh dalam bahasa Arab bermaksud kita menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, pegangan dan adat resam penduduk dunia. Ini tidak bermakna orang Islam mesti tunduk dalam setiap perkara atau urusan. Surah Al-Kafirun dengan izharnya telah menyatakan, tiada tolak ansur dan kompromi untuk mencampur adukkan ajaran agama, terutama dalam soal akidah dan ibadah serta menolak sebarang cara penyembahan atau amalan syirik,” katanya.


Panji Alam menambah, pada zaman pemerintahan Rasulullah SAW, baginda turut menerapkan amalan bertolak ansur, namun tiada penindasan secara jelas seperti menghapus agama lain dan sebagainya.

Menjawab tentang tanggapan salah segelintir umat Islam yang memikirkan kononnya sikap menghormati agama dan kepercayaan bererti kita lemah dan mengiyakan kebenaran golongan kuffar, penceramah itu tampil menerangkan satu persatu bagi mengelak kekeliruan.

Dalam ayat 6, Surah al-Kafirun ini, ia menyeru kita untuk respek kepada agama lain, tetapi bukan mengiktiraf segala kesyirikan dan kekufuran atau membenarkan ajaran yang dibawa oleh mereka. Ayat itu sebenarnya memberikan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak beriman dan mengambil ajaran selain daripada Islam,” tuturnya.

Amaran yang sama turut dinyatakan dalam Surah Ali-Imran, ayat 85 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak ia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.”

Oleh yang demikian, nasihat Panji Alam, usahlah kita mencela agama lain secara terang-terangan, tetapi usulkanlah hujah yang benar dan nyata bagi membuktikan Islam adalah agama sebenar-benarnya.

Sunnah membaca dalam solat

Mengulas lanjut, agamawan itu berkata, Surah al-Kafirun mempunyai kekuatannya tersendiri.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas merujuk an-Nukat wa al-‘Uyun: “Tiada surah di dalam al-Qur’an yang lebih dimarahi atau ditakuti iblis daripada surah ini.”

Selain itu, terdapat seruan ke arah ketauhidan dan melepaskan diri daripada syirik, sekali gus mensia-siakan usaha syaitan dalam memesongkan akidah seseorang Muslim, ungkap beliau.

Kongsi Panji Alam, betapa istimewanya surah itu apabila Imam Ahmad pernah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad membaca Surah al-Kafirun ketika solat sunat dua rakaat selepas Maghrib dan dalam solat sunat witir.


Intipati yang sama turut disebut oleh Ibnu Umar yang mengatakan: “Rasulullah SAW membaca Surah al-Ikhlas dan Surah al-Kafirun dalam dua rakaat sebelum solat Subuh (solat sunat fajar) dan dua rakaat setelah Mahgrib (ba’diyyah Maghrib) lebih daripada 20 atau 10 kali.”

Penceramah itu juga diajak berdiskusi tentang pernyataan bahawa pahala membaca Surah al-Kafirun sama dengan membaca satu perempat daripada al-Quran.

Katanya, dalam membicarakannya, kita harus mengetahui perbezaan maksud nilai dan juga amal.

Sebahagian ahli ulama ujar Panji Alam, mengatakan satu perempat itu bermaksud nilai pahala seperti membaca satu perempat daripada keseluruhan al-Quran, namun sebenarnya ia tidak menyamai nilai amal.

Pandangan itu diperkukuhkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah bersabda: “Bukankah kamu hafal (Surah al-Kafirun)?” Orang itu menjawab: “Benar.” Baginda menjawab: “(Ia senilai) dengan seperempat al-Quran.” (Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi)

Dalam hadis yang sama, sabda baginda: “Sesiapa yang membaca Surah Al-Kafirun, maka bandingannya seperti membaca satu perempat dari al-Quran, di samping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa bencana yang mengejutkan.”

Justeru, kata Panji Alam, berdasarkan hadis tersebut jelas menunjukkan, al-Quran yang terkandung intipati seperti hukum, berita dan tauhid turut terangkum dalam Surah al-Kafirun.

Pun demikian, tegas beliau, ia bukanlah satu alasan untuk seseorang tidak membaca surah yang lain dalam al-Quran.

Suka saya ingatkan bahawa terdapat perbezaan antara al-Jaza (sama nilai dengan pahala yang dijanjikan) dan al-Ijza (sama nilai dengan amal yang digantikan). Oleh itu, membaca Surah Al-Kafirun umpama membaca satu perempat al-Quran adalah dari segi nilai pahala sahaja.

“Sebagai contoh, seseorang bernazar ingin khatam al-Quran, tetapi ia bukan sekadar membaca Surah al-Kafirun sebanyak empat kali berturut-turut, tetapi wajib membaca keseluruhan surah dalam al-Quran dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas,” terangnya.


Dalam pada itu, Panji Alam berkata, umat Islam disunnahkan untuk membaca surah berkenaan dengan Surah al-Ikhlas pada solat-solat malam berdasarkan beberapa sebab yang utuh.

Pertama, ia merupakan salah satu amalan yang dilakukan oleh baginda. Seperti yang kita sedia maklum, setiap perbuatan, ucapan dan amalan Rasulullah merupakan sunnah. Keduanya, dalam Surah al-Ikhlas ia merangkumi tiga perkara iaitu hukum (perintah dan larangan), janji dan ancaman serta penceritaan mengenai ALLAH yang membicarakan nama dan sifat-sifat-NYA.

“Ulama tafsir berpendapat, Surah al-Kafirun turut mengandungi keterangan yang sama termasuk amaran dan larangan daripada mensyirikkan ALLAH. Justeru, membaca dua surah ini amat sesuai untuk solat malam yang merupakan cara kita mengabdikan diri dengan mengagungkan kebesaran-NYA dan untuk memohon rahmat,” katanya.

Foto UNSPLASH & PEXELS

Speak Your Mind

*