TATKALA Ramadan al-Kareem menjelma, amalan bertadarus al-Quran sering dilazimkan oleh umat Islam. Ia sejajar dengan penurunan kitab suci itu pada bulan yang penuh keberkatan.
Pun demikian, ibadah tersebut sebenarnya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Sesungguhnya, kalamullah yang agung tersebut diturunkan sebagai petunjuk dan panduan kepada manusia untuk melayari kehidupan di dunia yang fana ini. Malah, inti pati yang terkandung di dalamnya bersifat kekal sepanjang zaman.
Dalam masyarakat kita, bertadarus dilakukan secara berkumpulan. Setiap anggota kumpulan akan membacanya secara bergilir-gilir. Setiap bait yang dilafazkan akan disemak supaya tiada kesilapan. Kemuncaknya, majlis khatam al-Quran akan diadakan.
Namun, sejak wabak Covid-19 membadai dunia, aktiviti mulia itu dilakukan melalui platform media sosial termasuk dalam aplikasi telefon pintar.
Tidak kiralah apa jua pendekatan yang diimplemenkan, misi dan visinya hanya satu iaitu untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT menerusi kalam-NYA, di samping memberatkan timbangan amal masing-masing. Justeru, apakah kelebihan yang bakal diraih dengan bertadarus al-Quran?
Amalan Rasulullah SAW
Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi untuk mendapatkan jawapan. Terlebih dulu, ujarnya, perkataan tadarus atau darasa (dalam bahasa Arab) membawa maksud belajar, meneliti, memahami dan mengkaji.
Kemudian di hadapan kalimah darasa, ditambah dengan huruf ta. Maka, lafaznya menjadi tadarus yang bererti saling belajar, meneliti, memahami dan mengkaji.
“Tadarus al-Quran pada asasnya bererti membaca kalam ALLAH di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan tersebut daripada kesalahan.
“Amalan itu merupakan salah satu ibadah penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Malah, baginda bertadarus bukan dengan sembarangan individu, sebaliknya dengan Malaikat Jibril AS,” katanya.
Ia sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadan. Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan hingga habis bulan itu dan Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun perbuatan mulia itu menjadi kebiasaan baginda, pendakwah berkenaan menjelaskan, tiada cara yang seragam atau kaedah khusus dalam bertadarus.
Namun, beliau mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diikuti. Antaranya dengan membaca al-Quran secara bergilir-gilir dalam satu kumpulan kecil.
“Selain itu, bacalah mengikut tertib surah dan ayat sebagaimana dalam mashaf. Paling penting, semaklah bacaan agar terselamat daripada sebarang kesalahan tajwid dan sebagainya.
“Seperkara lagi, biarlah kita membaca kitab suci itu semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, bukannya untuk segera khatam. Sebaik-baiknya juga, hidupkan aktiviti ini bersama dengan keluarga masing-masing di tempat-tempat yang sesuai seperti masjid, surau atau di rumah sendiri,” ujarnya.
Manfaat bertadarus
Sememangnya mereka yang membaca al-Quran akan diselubungi rahmat dan dikelilingi oleh para malaikat. Ahmad Lutfi yang juga Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif memberitahu, pelbagai riwayat yang masyhur yang menyebutnya.
Antaranya daripada Abu Hurairah RA. Perawi hadis itu berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah dari rumah-rumah ALLAH, mereka membaca kitab ALLAH dan saling mengajarkannya di antara mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka sakinah, rahmat menyirami mereka, para malaikat mengerumuni mereka, dan ALLAH SWT menyebut-nyebut mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisinya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Dawud)
Hadis itu, menurut Maulana Zakariyya al-Khandahlawi dalam kitabnya yang berjudul Fadhilah Amal menerangkan tentang keutamaan khusus madrasah-madrasah dan pondok-pondok agama yang memiliki pelbagai kebesaran.
Setiapnya memiliki darjat yang tinggi sehinggakan jika seseorang menghabiskan umur untuk mendapatkan kemuliaan, ia boleh digapai.
Bukan itu sahaja, Ahmad Lutfi menjelaskan, terlalu banyak riwayat yang memerihalkan tentang turunnya sakinah kepada mereka yang mendampingi kalamullah.
“Sebahagian ulama mengatakan bahawa sakinah adalah suatu rahmat khusus. Imam al-Tabarani mendukung pendapat yang mengatakan bahawa sakinah adalah ketenangan hati. Sementelah, sebahagiannya lagi mentafsirkan sebagai kedamaian. Pendapat lain pula menyatakan sakinah sebagai kewibawaan, malaikat dan lain-lain
“Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari menjelaskan, erti sakinah mencakupi semua yang telah disebutkan tadi, manakala Imam Nawawi menukilkan bahawa sakinah adalah gabungan antara ketenangan, rahmat dan lain-lain yang diturunkan bersama malaikat,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, penceramah itu menceritakan kisah sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Usaid bin Hudhair RA yang banyak dijelaskan dalam kitab-kitab hadis.
Saat bibirnya mengalunkan bait-bait kalam ALLAH, beliau merasakan terdapat segumpal awan yang mendekatinya.
Tatkala ditanyakan kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Itu adalah para malaikat yang datang untuk mendengarkan bacaan al-Quran. Begitu banyak malaikat yang datang sehingga terlihat seperti kumpulan awan.”
Perlu berguru
Mengulas tentang trend bertadarus al-Quran menerusi kemudahan teknologi seperti televisyen, media sosial dan aplikasi dalam telefon pintar, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.
Pada perspektif agamawan berkenaan, pendekatan itu tidak salah dilakukan sebagai galakan kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dengan kitab suci umat Islam.
“Bertadarus pada asalnya adalah membaca al-Quran secara bersemuka dalam kumpulan. Jikalau ada seseorang yang salah (ketika membaca al-Quran), ada individu yang boleh menegurnya.
“Dalam televisyen pula, kita hanya boleh belajar al-Quran, tetapi hanya platform itu bersifat sehala sahaja. Saya secara peribadi berpandangan, untuk peringkat awal ini, tidak salah andai kita mahu menggunakan medium tersebut untuk bertadarus atau mengaji.
“Namun, kalau boleh biarlah cara itu diubah semula kepada yang asal iaitu membaca kalam ALLAH di masjid, surau dan lain-lain,” responsnya.
Ini kerana jelas Hassan Mahmud, bait ayat-ayat suci al-Quran itu sepatutnya dibaca dengan tartil.
Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT menerusi Surah al-Muzammil, ayat 4 yang bermaksud: “…dan bacalah al-Quran dengan tartil.”
“Tartil itu maknanya berguru iaitu berdepan dengan mereka. Begitu juga dengan ayat al-Quran yang berbunyi iqra’ (bacalah) dalam Surah al-’Alaq. Ini bermakna, kita sendiri yang membacanya.
“Jadi jika bertadarus dengan mendengar siaran televisyen yang dibaca oleh individu dalam televisyen tersebut, ia ibarat kita menonton filem. Platform ini sesuai untuk mereka yang baru peringkat mahu belajar al-Quran.
“Sekiranya kita mahu barakah dan hikmahnya, bacalah al-Quran dengan tartil sepertimana yang dianjurkan,” katanya.
Kepada satu soalan, Hassan Mahmud menjawab: “Seeloknya ketika bertadarus, kena ada murabbi (guru). Nabi Muhammad SAW sendiri pun membaca al-Quran dengan Malaikat Jibril.
“Justeru, begitu pentingnya orang yang mengesahkan bacaan kita, selain untuk membimbing.
“Sekalipun kita pandai membacanya, masih tetap perlu ada murabbi yang akan menyemak bacaan al-Quran yang dialunkan.”
Foto: Bernama, 123rf, Freepik, Unsplash & Pexels
Speak Your Mind