BULAN Muharam ialah bulan yang pertama di dalam kalendar Hijrah. Ia merupakan antara bulan yang
suci dan dimuliakan.
Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana sebaik-sebaik
puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam.
Daripada Abu Hurairah RA. beliau berkata:
سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ
Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah
(wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? maka Baginda menjawab:
Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan
sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam. [HR Muslim, Hadis Sahih]
Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
“Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana
sesungguhnya ia bulan di mana ALLAH telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan
taubat kepada kaum yang lain.” [HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]
Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ini ialah:
1. Puasa sunat Isnin dan Khamis
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku
dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)
Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis
hasan).
2. Puasa sunat Tasu’a
• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam (kelmarin) dalam kalendar hijrah Islam.Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud;
“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke
sembilan (Muharam).” [HR Muslim, Hadis Sahih]Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a
نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana ALLAH Ta’ala”.
3. Puasa sunat ‘Asyura
• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.
• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam (semalam).
• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA yang
bermaksud;
“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]
Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ
Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura. [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]
Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka
kata Baginda SAW:
أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
[HR Muslim, Hadis Sahih]
Lafaz Niat Puasa Asyura;
نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana ALLAH Ta’ala”.
4. Puasa sunat hari putih (Ayyamul Bidh)
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga
belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)
Lafaz niat puasa sunat Ayyamul Bidh
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana ALLAH Taala.
Justeru, marilah bersama-sama mengambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang dimasukkan ke dalam Syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang tercatat di dalam hadis berikut;
Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sumber: Asma’ Harun
Speak Your Mind