LAILA AMINA AMIN seorang wanita yang alim. Beliau menjaga aurat, solat, taat kepada ibu bapa dan sesekali tidak akan menjebakkan diri dengan perkara-perkara yang dilarang agama.
Meskipun seusai tamat Sijil Pelajaran Malaysia dirinya tidak berpeluang menuntut di universiti kerana kekangan kewangan, beliau sedikit pun tidak mengeluh. Namun, apabila meniti usia 28 tahun, semangatnya untuk melanjutkan pengajian semakin berkobar-kobar.
“Disebabkan ibu hanya bekerja di kilang, sementara ayah bekerja sebagai buruh binaan, saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah pada usia yang muda.
“Selain membantu meringankan beban mak ayah dan empat adik yang lain, saya menabung demi realisasikan impian untuk menyambung pengajian sekurang-kurangnya di peringkat Diploma saja,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Selain menyimpan wang, Laila Amina berterusan berdoa siang dan malam agar hasrat murninya itu dimakbulkan ALLAH SWT. Bertahun-tahun lamanya amalan itu dilakukan, namun ada sahaja halangan yang menerjah.
Lima tahun lalu saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah institusi kemahiran dengan yuran yang murah, tetapi saya tak dapat pergi kerana ibu sakit. Selepas itu, permohonan saya di sebuah universiti berjaya, tetapi sayangnya saya terpaksa dulukan duit simpanan untuk bayar yuran adik di sebuah kolej universiti. Saya tak pernah menyesal berkorban untuk mereka semua, namun dari lubuk hati yang terdalam, saya sentiasa mengharapkan cita-cita saya dapat ditunaikan,” katanya yang sering bermuhasabah diri.
Melihat kepada situasi dan karakter Laila Amina, kita mesti tertanya-tanya mengapa doa yang dipanjatkan oleh wanita baik itu masih lagi tidak terjawab? Mengapa permintaan yang kudus tersebut lambat diperkenankan-NYA? Apa yang tidak kena?
4 formula ampuh
Bagi menjawab pertanyaan itu, Sinar Islam Plus mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood untuk berdiskusi lanjut.
Pendakwah berkenaan berkata, apabila kita diuji seperti doa masih tidak tercapai, jangan terus berputus asa, apalagi bersangka buruk dengan YANG MAHA ESA.
Ujar beliau, sesungguhnya dalam kitabullah, ALLAH SWT telah menyediakan beberapa formula istimewa kepada umat Islam untuk mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan sebarang pancaroba walau seberat mana pun.
Formula yang pertama terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 286. ALLAH SWT berfirman: “Setiap ujian yang diberikan, pasti kita mampu hadapinya kerana ALLAH tidak akan uji hamba-NYA yang tidak ada berkemampuan.”
Dalam surah yang sama, ayat 45, DIA secara jelas menyatakan: “Pada saat kita berasa berat dengan ujian tersebut, mohonlah bantuan daripada ALLAH SWT dengan cara bersabar dan bersolat.”
Kedua-dua ayat yang mulia itu secara izharnya memberitahu manusia yang sedang berdepan dengan rintangan perlu bersabar dan jangan meninggalkan solat. Pada masa sama, ALLAH tidak akan mendatangkan sebarang tantangan melainkan ia mampu dipikul oleh insan yang dipilih-NYA.
Seterusnya, ALLAH turut membimbing umat Islam menerusi Surah Ghafir, ayat 60: “Di samping berusaha mencari jalan keluar, banyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh taat dan ikhlas kerana ALLAH pasti akan perkenankan doa-doa kita apabila sampai masanya kelak.”IKLAN
Begitu juga dalam Surah Al-Furqan, ayat 70 hingga 71: “Ketika kita menyulamkan usaha kita dengan doa, sabar dan solat, jangan lupa untuk muhasabah diri. Bertaubatlah di atas segala kealpaan dan keterlanjuran kita. Gandakan usaha kita dengan memperbanyakkan amal soleh agar segala taubat kita diterima ALLAH SWT.”
Siti Fatahiyah merumuskan, dengan mengamalkan empat formula yang diusulkan dalam kalamullah itu, kita semua termasuk Laila Amina akan berasa tenang dan reda, sambil berusaha mencari jalan keluar.
“Kita kena yakin bahawa setiap janji ALLAH SWT itu adalah benar! Setiap kali ALLAH menghantar ujian, DIA pasti akan iringinya (ujian) dengan kekuatan,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.
Pun demikian, seandainya keinginan yang dimahukan termakbul, cepat-cepatlah melafazkan kesyukuran.
Jangan pula kita berasa sombong, bongkak dan beranggapan segala kurniaan tersebut diperoleh semata-mata kerana usaha kita. Sedarlah segala yang dimiliki adalah pinjaman semata-mata. ALLAH SWT boleh menarik balik segala yang kita ada dengan sekelip mata sahaja. Oleh itu, tambahkanlah amal ibadah, berkongsilah rezeki dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jangan lupa diri dan berasa takbur,” katanya.
1,001 hikmah
Menjawab pertanyaan sama ada doa seseorang mungkin diterima atau ditolak, Perunding Motivasi Keluarga itu berpandangan, kesemuanya adalah di atas kehendak ALLAH SWT.IKLAN
DIA mendengar setiap doa hamba-NYA. Adakala ALLAH akan terus perkenankan doa tersebut di dunia ini, jika tidak ia dimakbulkan di akhirat kelak.
Namun, apa yang pasti, percayalah setiap yang ALLAH takdirkan untuk kita mempunyai 1,001 hikmah yang terindah buat kita, ujar Siti Fatahiyah.
ALLAH pasti berikan apa yang diperlukan dan bukannya apa yang kita mahu. DIA juga akan menyelamatkan umat-NYA daripada kemungkaran, bukan membiarkan selamanya berada dalam kepompong (perbuatan mungkar) itu. Ketahuilah, ALLAH pasti akan memberikan yang terbaik, walaupun kita terpaksa melalui onak dan duri sebelum menggapai apa yang dihajati,” jelas beliau optimis.
Kepada mereka yang terlalu kecewa, nasihat pendakwah berkenaan, usah terlalu resah, jangan menyalahkan-NYA dan melakukan lebih banyak kemungkaran serta kemaksiatan. Hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan melakukan kemusnahan demi kemusnahan dalam dirinya, tegas beliau.
“Kumpul kekuatan dan buangkan segala perkara yang menyesakkan jiwa dan minda. Seperti yang saya kata pada awal tadi, renungkanlah empat formula yang disyorkan dalam al-Quran itu,” katanya.
ALLAH sebaik-biknya perancang
Sementara itu, pendakwah Dr Mohd Faisol Ibrahim berkongsi hujahnya mengenai mengapa doa manusia tidak dimakbulkan?
Antaranya kata Dr Mohd Faisol, ia mempunyai kaitan apabila seseorang makan makanan haram.
Dalam Islam, konsep halal dan tayyibbah merupakan pelengkap antara satu sama lain. Halal tanpa wujudnya tayyibah, maka hilanglah keberkatan terhadap sesuatu. Sebagai contoh, seseorang yang membeli makanan yang bersih dan sihat serta halal menurut agama, tetapi hasil daripada aktiviti menipu dalam jualan dan memanipulasi harga dengan pelanggan.
“Apatah lagi makanan yang dibeli atau yang dimakan daripada sumber yang haram seperti menang loteri dan kemudian digunakan untuk membeli ayam goreng dan kek untuk keluarganya,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia menegaskan, pendekatan sebegitu nescaya akan mendatangkan implikasi yang buruk kepada individu itu sendiri termasuk ahli keluarganya.
Sebagai umat Islam yang taat kepada-NYA, menjadi kewajipan ke atas kita memperoleh makanan daripada sumber yang halal. Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Tutur agamawan itu lagi, kadangkala kita berasakan sesuatu itu baik untuk kita, tetapi tidak bagi ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI dan sebaik-baiknya perancang.
Peringatan itu ‘dikhabarkan’ dalam Surah al –Baqarah, ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.”
Justeru, sebagai hamba, kita perlu sentiasa bersyukur sama ada berada dalam keadaan senang atau pun susah. Kedua-dua situasi tersebut mempunyai natijah yang tersendiri dan merupakan perancangan terbaik ALLAH untuk kita sebagai umat-NYA,” ujar beliau.
Speak Your Mind