Oleh MUHAMMAD NAZREEN ADNAN
Bahagian Dakwah Am,
Zakat Pulau Pinang, MAINPP
PADA zaman serba canggih kini, masyarakat dapat menggapai informasi dengan cepat sama ada melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, mahupun YouTube.
Melalui capaian itu semua, pelbagai ilmu dapat diperoleh termasuk berkaitan dengan zakat.
Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu tentang zakat? Menurut Profesor Dr Mustafa al-Bugha dalam Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat sebagai kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat yang digariskan.
Seperti yang kita maklum, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah sahaja, sebaliknya ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian.
Antaranya ialah zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.
Sembilan pembahagian zakat harta itu bukanlah diwajibkan secara mutlak untuk dilaksanakan, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat, maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.
Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.
Tujuan
Alhamdulillah, pada tahun ini, ramai dalam kalangan umat Islam mulai sedar tentang peri pentingnya kewajipan berzakat.
Saban tahun, hampir semua institusi zakat di Malaysia menunjukkan trend prestasi kutipan yang sentiasa meningkat, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negara ini.
Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing.
Namun, sejauhmana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah itu tujuan utamanya?
Persoalan berkenaan telah pun dijawab oleh ALLAH YANG MAHA ESA sejak sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya.
Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat ke-103: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.”
Daripada ayat tersebut, ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.
Pada zaman yang penuh mehnah (cabaran), kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat merupakan ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.
Sesungguhnya, harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan atau dicuci. Maka, ia akan kotor, berbau dan tentunya wujud virus yang akhirnya membawa penyakit kepada pemakainya.
Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki.
Pun demikian, apabila seseorang berzakat, pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan daripada-NYA yang ironinya akan memberi kesan positif dan cahaya dalam kehidupan sehari-hari.
Cara
Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri.
Misalnya, bagi umat Islam di Pulau Pinang, mereka boleh melakukan ibadah itu di Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Terdapat lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri ini iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.
Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat termasuk kaunter permohonan zakat.
Bagi memudahkan orang ramai pada era pandemik ini, menunaikan ibadah zakat telah dipermudahkan, lebih cepat dan selamat. Segalanya boleh dilakukan secara online melalui portal https://zakatpenang2u.com.
Kesimpulannya, sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan ‘kotoran’, keluarkanlah zakat. Marilah sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.
Speak Your Mind