Ketika beberapa negara dunia yang lazim dilanda salji dan ais apabila tibanya musim sejuk, namun situasi yang sama berlaku di tanah Arab pasti akan menjadi bualan masyarakat Malaysia kerana ia dianggap fenomena luar biasa.
Media Arab baru-baru ini melaporkan di barat laut Arab Saudi telah dilanda salji tebal iaitu di bahagian bandar utara-barat Tabuk pada hari tahun baru.
Orang ramai di rantau Tabuk, dekat sempadan Jordan, terkejut apabila melihat padang pasir tandus diselimuti hamparan putih salji pada 1 Januari lalu.
Banjaran Gunung Jabal Al-Lawz di Tabuk kerap kali menyaksikan salji turun apabila suhu menjunam ketika musim sejuk. Bagi penduduk di sana, musim sejuk dianggap musim paling indah di rantau berkenaan kerana jarang dapat melihatnya.
“Setiap tahun, kami menunggu salji turun supaya kami dapat menikmati hidangan kabsa yang dimasak di atas salji oleh ibu saudara kami. Ia sudah menjadi tradisi keluarga ini,” kata Faris Al-Harbi yang merupakan seorang jurutera dan membesar di Tabuk kepada Arab News.
Walaupun bukan yang pertama kali, fenomena ini tetap disebut fenomena yang jarang berlaku di Arab Saudi. Fenomena seperti ini pernah terjadi pada tahun 2016, 2018 dan 2021. Para ahli mengungkapkan kejadian salji ini terjadi akibat ribut yang beredar dari selatan Eropah.
Arab Saudi sememangnya terkenal sebagai negara tandus tetapi suhu antara rantaunya berbeza-beza berikutan kepelbagaian lanskap termasuk kawasan pergunungan, pulau, gurun, gua dan lembah.
Salji biasanya turun di kawasan pergunungan di utara Arab Saudi seperti Turaif, Tabuk, Arar, dan Rafha. Memandangkan ia adalah kawasan tanah tinggi, suhu minimum pada musim sejuk boleh mencecah sehingga -10 darjah Celsius.
Malah, beberapa wilayah tersebut akan menjadi destinasi tumpuan orang ramai sama ada dari luar dan dalam untuk tidak melepaskan peluang bermain salji dan menikmati cuaca sejuk.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Meteorologi Kebangsaan mengeluarkan ramalan ribut petir dan angin kuat dijangka berlaku di Asir, Jazan, Al-Madinah, Hail, dan Tabuk manakala lebih banyak salji diramal turun
Sebagai seorang yang beriman, seharusnya setiap kejadian yang berlaku ada hikmah tersendiri yang mengajak kita untuk dijadikan bahan muhasabah diri.
Sumber: The National News, Arab News