Digelar ‘Pintu Neraka’, Kawah Api Gergasi Angkara Manusia Ini Masih Belum Padam.
Baru-baru ini berlakunya kejadian di Teluk Mexico sehingga membentuk ‘lautan api’ gara-gara saluran paip minyak bawah laut terbakar dan meletup.
Syarikat pengeluar minyak di situ, Pemex mengatakan ia berpunca daripada kebocoran gas yang berlaku pada saluran paip bawah laut.
Mujur, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kebakaran itu berjaya dipadamkan kira-kira lima jam kemudian dengan menggunakan nitrogen.
Ramai yang mengatakan kejadian sebegitu adalah bencana alam akibat daripada kerakusan manusia sendiri.
Ia mengingatkan kepada salah satu lokasi yang dikategori sebagai ‘menakutkan di dunia’ yang terletak di Turkmenistan.
Dikenali sebagai Kawah Gas Darvaza, kawah berapi yang diberi julukan ‘pintu neraka’ ini terletak di gurun Karakum, kira-kira 150 kilometer dari ibu negara Turkmenistan Ashgabat.
Dilaporkan, sehingga kini api di kawah itu masih menyala sejak 1971 dan turut menjadi lokasi tarikan pelancong yang mahu merasai pengalaman berada berdekatan kawah itu.
Pemerintah setempat pula tidak mengetahui sampai bilakah api di kawah yang mempunyai kedalaman 30 meter dengan kelebaran 69 meter itu akan terpadam.
Mengikut sejarah, kawah berapi itu sebenarnya adalah medan gas asli di Derweze, Turkmenistan yang diruntuh ke dalam secara tidak sengaja oleh sekumpulan jurutera petrokimia Soviet dalam misi pencarian sumber gas mereka, lalu menjadi sebuah kawah gas asli.
Gas asli yang keluar kebanyakannya diketahui daripada gas metana, yang dapat menyerap oksigen dan membuatkan hidupan liar dan orang-orang yang tinggal berhampiran kampung Darvaza sukar untuk bernafas. Ia terbukti selepas keruntuhan itu, haiwan di sekitar gurun mulai mati.
Risau jika gas berkenaan akan terlepas ke atmosfera, mereka menyalakan api dengan harapan ia akan lenyap dalam tempoh beberapa minggu. Sangkaan mereka ternyata meleset kerana ia tidak pernah padam, sehingga hari ini.
Misteri alam, Kawah Gas Darvaza, selepas lima dekad terbakar ia tidak pernah mengeluarkan gas beracun dan ini membuatkan orang ramai teruja untuk mengunjunginya.
Sumber: CNN