Masalah Rumah Tangga Jangan Kongsikan Dengan Rakan Sekerja, Kalau Tidak, Ini Padahnya

masalah rumah tangga

Kehidupan berumah tangga bukannya selalunya indah. Masalah rumah tangga antara punca berlakunya kepincangan dalam hubungan antara suami dan isteri.

Walau bagaimanapun, seteruk mana jua masalah rumah tangga yang dihadapi, adalah amat tidak digalakkan untuk berkongsi dengan rakan sekerja. Seorang pengguna Facebook bernama Firdaus Mokhtar telah berkongsi satu kes tentang masalah yang serupa. Mari kita baca perkongsian beliau di bawah.

“Maaf bukan nak bercerita hal buruk isteri saya dan tak ada niat pun. Cuma saya buntu.”

Itu ayat dia bagi lepas dia kenalkan diri sebagai S. Dia sedang dalam kemelut masalah rumah tangga. Ada konflik dengan isteri entah bermula dengan perkara apa.

Cuma yang lebih memburukkan keadaan, sekarang isteri ada kawan lelaki lain. Kawan lelaki yang rapat dan selalu ada dengan isteri.

Dalam tempoh dia bergaduh dengan isteri, isteri ambil keputusan untuk tak dengar langsung cakap suami. Keluar rumah ikut suka, tak beritahu dan paling mengejutkan isteri mula tak sembahyang. Tanda protes dengan suami.

Encik S ini cuba bertenang dan dia kata dia cuma mampu berdoa untuk tak burukkan lagi keadaan. Sebab isteri dah tak boleh nak berbincang. Bila cuba berbicara dengan isteri, mesti keluar semua kata-kata kesat ke suami. Itu buatkan suami lebih banyak berdiam.

Satu hari encik S perasan isteri dia macam berubah. Berubah sudut tiba-tiba dah solat semula. Walau pun tak solat dengan suami, tapi solat lah.

Suami ni suka. Mula cuba nak bersembang sebab ingatkan dah baik. Rupanya berita lain yang dia dapat.

masalah rumah tangga

Isteri bagi amaran jangan ingat dia berubah sebab suami. Dia berubah sebab ada kawan di pejabat nasihatkan dia.

“Kau jangan ingat aku solat ni atas nasihat kau. Aku solat ni sebab seseorang telah nasihatkan aku. Dan dia selalu bawa aku pergi solat dengan dia.”

Begitu isterinya jawab. Bila diasak soalan lagi, isteri dia mengaku yang ajak dia solat tu lelaki. Kawan tempat kerja. Siap pesan ke suami;

“Kau patut berterima kasih dengan abang K. Sebab dia sudi nak bimbing aku.”

Urut dada suami tu dengar. Siap ajak solat sama selalu. Di tempat kerja bila abang K tadi nak solat, dia akan ajak sekali isteri encik S ni. Caringlah tu, ajak isteri orang pergi solat berdua. Abang K ni duda pula.

Allahu.

Dia begini, selalunya jadi begini sebab bila ada masalah di rumah, perempuan akan keluar ke tempat kerja dan mengadu masalah rumah tangga dengan lelaki di pejabat. Tak kiralah sama-sama staf, tukang kebun, office boy atau ke bos sekali pun.

Bila bercerita dengan lelaki, percayalah akan ada yang ambil kesempatan. Tunjuk simpati dan paling ngeri tunjuk baik ajak kembali ke jalan Allah padahal tak suruh isteri tadi kembali ke suami dia.

Isteri yang sedang dalam tekanan konflik tadi, kurang perhatian dan kasih sayang. Dapat pula lelaki bagi telinga untuk dengar masalah, bagi hati untuk dia mengadu kasih dan bagi nasihat keagamaan memang akan jatuh hatilah. Sekali pun dia isteri orang.

Sebab tu kami pesan, masalah rumah tangga bukan untuk mudah-mudah dikongsi dengan orang lain. Tak kesahlah perempuan cerita ke lelaki, atau lelaki cerita ke perempuan.

Rasulullah kata, lelaki ini memang ujiannya perempuan. Bila datang perempuan yang ada masalah, berharap pada seorang lelaki walau pun cuma harap untuk beri sedikit perhatian, di situ ujiannya besar dan berat.

Mula-mula betul konon nak bantu. Tapi bila hari-hari bercakap, mendengar rintihan dan rayuan, tak sudah di pejabat balik mesej-mesej pula sampai lewat malam, akhirnya jatuh hati. Bila dah jatuh hati, status isteri orang tu dah jadi benda ke berapa entah. Yang penting kemahuan sendiri dah meninggi.

“Aku kena selamatkan dia ni”. Bisik hati sendiri. Padahal itu bisikan syaitan. Patutnya selamatkan rumah tangga orang lain. Minta dia kembali pada suami dan keluarga dia.

Tapi sebaliknya berlaku. Bawa isteri orang tadi ke diri dia. Dialah penyelamat, dialah yang buatkan isteri orang berubah kembali kepada Tuhan.

Kalau betul dia kembali kepada Tuhan, dia akan kembali kepada perintah agama. Agama suruh kembali pada suami, bukan pada lelaki yang tak ada kena mengena.

Kawan-kawan, kalau di pejabat kita berlaku perkara begini dan kita tahu, nasihatkanlah sebaiknya. Kita bukannya nak sangat jaga tepi kain orang lain, tapi bila hal yang tak betul kita nampak, tegurlah.

Pesan baik-baik. Sebab punca daripada berlarutannya perkara macam ini, banyaknya zina berlaku antara kawan sepejabat. Zina yang berlaku antara isteri orang dan suami orang.

Bersepah berlaku sana sini, berpunca daripada rapatnya hubungan hati yang terkait di tempat kerja. Iyalah bila dah berkongsi masalah, dekatlah hati dan jiwa.

Dan para lelaki, jika kita didatangi isteri orang yang nak cerita masalah rumah tangga, sebolehnya jauhkanlah. Kalau kita bukan orangnya, silap hari bulan kita pun sama macam abang K tadi.

Suruh dia kembali pada suami. Kembali ke rumah tangga dia. Balik kepada anak-anak di rumah. Di sana ada jawapan setiap persoalan rumah tangga dia.

Saya tak tahu apa yang berlaku sekarang pada pasangan encik S tadi. Ada nasihat yang saya tinggalkan buat dia, harap dia tabah dan dapat berdepan ujian yang sedang menimpa rumah tangga dia dan isteri.

Begitulah.

Firdaus Mokhtar,
Moga rumah tangga kita dipelihara sampai syurga.

Sumber: Firdaus Mokhtar