Rasulullah Tidak Berhijrah Bulan Muharam, Ini Sejarah Bagaimana Takwim Islam Mula Digunakan

Sejarah Permulaan Takwim Islam Hijrah Rasulullah

Sejarah Bagaimana Takwim Islam Mula Digunakan.

Umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharam 1443 Hijrah bersamaan 10 Ogos 2021.

Bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’, sambutan tahun baharu Hijrah mempunyai pengertian yang amat besar bagi umat Islam dalam mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.

Namun, ada yang beranggapan dan salah faham dengan mengaitkan tahun pertama Hijrah itu bermula pada detik penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah.

Sejarah mencatatkan, Nabi Muhammad SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622 Masihi.

Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabiulawal barulah mereka tiba di Madinah.

Sejarah Permulaan Takwim Islam Hijrah Rasulullah
Sumber: Republika

Permulaan sejarah takwim Islam digunakan

Dalam tradisi kehidupan orang Arab, mereka tidak ada ketetapan bilangan tahun, sebaliknya kiraan hanya mengikut bulan seperti Safar, Rejab dan Rabiulawal yang berlaku sekian lama serta berterusan.

Apabila kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengajar penting untuk memiliki penanda tarikh, tetapi waktu itu masih belum wujud bilangan tahun.

Maka, sejarah takwim Islam sebenarnya hanya bermula pada zaman pemerintahan Khalifah Saidina Umar al-Khattab RA pada 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah.

Ia bermula apabila pengaruh Islam mula berkembang luas ke seluruh pelosok negara Arab, termasuk di Basrah, Iraq.

Pada ketika itu, Umar menghantar surat kepada gabenor di Basrah, iaitu Abu Musa al-Ashaari dan ketika membalas semula, antara ungkapan disebut adalah ketidakpastian sama ada dihantar pada Syaaban tahun sebelumnya atau pada tahun berkenaan.

Disebabkan perkara itu boleh menimbulkan implikasi kepada tadbir urus sesebuah negara, Umar ingin melakukan inovasi supaya urusan pentadbiran lebih telus dan mantap.

Hasil perbincangan dengan sahabat lain, muncul pelbagai pandangan berbeza mengenai bagaimana untuk memulakan kalendar Islam.

Umar waktu itu mendengar pelbagai cadangan, termasuk dikira sempena tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan detik Baginda diangkat menjadi Rasul.

Bagaimanapun, pendapat diterima dan disepakati Umar bersama Saidina Uthman Affan RA dan Saidina Ali Abu Talib RA, adalah mengira kalendar Islam bermula detik hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah kerana ia melambangkan pemisahan antara hak dan batil.

Bulan Muharam dipilih sebagai permulaan Kalendar Hijrah

Para sahabat dalam perbincangan tersebut sepakat menjadikan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam takwim Islam meskipun penghijrahan Rasulullah SAW berlaku pada bulan Safar.

Berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari, ia antara empat bulan haram, iaitu dimuliakan dan ini dipraktikkan seperti tidak boleh berlakunya peperangan sepanjang tempoh itu.

Bulan Muharam dipilih kerana umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Muharam juga istimewa kerana dimuliakan sebagai bulan Allah SWT. Apabila makhluk atau perkara itu dinisbahkan kepada-Nya, maka ia menunjukkan kemuliaan.

Maka daripada sinilah bermulanya perayaan sambutan Hijrah pada setiap kali tibanya Muharam.

Sumber: BHMufti Perlis