Selain Pengangkutan Udara, Malaysia Pernah Ada Feri Penghubung Semenanjung Dan Borneo

Feri Malaysia Penghubung Semenanjung Borneo
Sumber: Flickr

Sejarah Feri Malaysia – Pengangkutan air yang menghubungkan Semenanjung dan Borneo.

Jika kes menunjukkan penurunan, pergerakan rentas negeri dibenarkan ketika ini, pasti ramai rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing atau pergi melancong.

Lapangan terbang di seluruh negara pasti sesak dipenuhi orang ramai tidak kisahlah sama ada merentas negeri antara semenanjung mahupun ke Sabah dan Sarawak.

Sebelum wujudnya istilah penerbangan tambang murah yang mana ia menjadi alternatif untuk orang ramai menggunakan pengangkutan udara merentas negeri, Malaysia pernah memperkenalkan perkhidmatan feri yang menghubungkan Semenanjung dan Borneo.

Perkhidmatan feri ini beroperasi sekitar tahun 80-an, dinamakan sebagai Feri Malaysia yang menghubungkan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak melalui laluan air.

Pada waktu itu, pengangkutan udara hanya mampu digunakan oleh mereka yang berstatus sosial tinggi dan pengangkutan air ini menjadi alternatif orang kebanyakan.

Feri Malaysia merupakan kapal persiaran dua dalam satu yang didaftarkan dengan nama Cruise Muhibbah di Pelabuhan Klang pada tahun 1986.

Feri Malaysia Penghubung Semenanjung Borneo
Sumber: PNM

Feri Malaysia cetusan idea Tun Dr Mahathir Mohamad

Kapal penumpang Cruise Muhibbah ini pada asalnya merupakan sebuah kapal yang dibeli oleh kerajaan Malaysia dari Helsinki, Finland pada harga RM23.9 juta.

Idea Feri Malaysia ini dicetuskan pada tahun 1982 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Tun Mahathir Mohamad yang melihat kejayaan perkhidmatan feri di negara-negara Skandinavia iaitu di antara Finland, Norway dan Denmark.

Tun Mahathir berpendapat tidak mustahil idea tersebut dilaksanakan untuk laluan antara Semenanjung dan Borneo yang merentasi Laut China Selatan.

Setelah idea dibentang dan perbincangan terperinci dilakukan, kerajaan Malaysia akhirnya membeli kapal tersebut dari Helsinki, seterusnya membaik pulih dan menaik taraf ia selama dua tahun.

31 Ogos 1986, menjadi tarikh keramat kapal ini dirasmikan oleh Sultan Pahang di Pelabuhan Kuantan, sekali gus menjadi kebanggaan warga Malaysia yang diharapkan akan merapatkan lagi jurang antara penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Perjalanan feri ini bermula di Pelabuhan Kuantan (Pahang) dan akan ke Kuching (Sarawak), kemudian ke Kota Kinabalu (Sabah) yang mengambil tempoh masa selama dua hari.

Feri Malaysia Penghubung Semenanjung Borneo
Sumber: Arkib Negara

Feri yang memuatkan hampir seribu penumpang dan 100 kenderaan

Feri ini bukan sahaja mampu menampung kapasiti penumpang tetapi juga ia boleh memuatkan kenderaan sekali.

Turut ditawarkan pelbagai kemudahan seperti restoran, kolam renang, bar, kabin tempat tidur, ruang solat, taman permainan serta pelbagai aktiviti yang diberikan untuk penumpang meluangkan masa selama di atas kapal.

Mempunyai berat sekitar 7,900 tan dengan kepanjangan 134 meter berserta 7 buah dek kapal, Feri Malaysia mampu memuatkan hampir 1,000 penumpang pada satu-satu masa.

Bukan itu sahaja, sebanyak 240 buah kenderaan atau 40 buah lori treler dengan kepanjangan 40 kaki juga boleh dimuatkan dalam kapal feri seumpamanya di Malaysia ini.

Feri Malaysia Penghubung Semenanjung Borneo
Sumber: Facebook Kuantan

Tragedi hitam Feri Malaysia

Jangka hayat Feri Malaysia tidak begitu panjang apabila pada 18 Oktober 1987, berlaku kebakaran pada ruang enjin utama yang mana ketika itu ia belayar menuju ke Kuatan, kira-kira lima kilometer dari Pulau Tioman.

Seramai 300 orang penumpang dan 40 buah kenderaan berada di dalam feri tersebut dan berjaya diselamatkan.

Selepas api berjaya dipadamkan, malangnya kapal tersebut tersadai seketika di laut Pahang.

Sumber mengatakan, punca kebakaran berlaku adalah disebabkan kapal persiaran ini sudah lama dan berusia 16 tahun.

Akhirnya, perkhidmatan Feri Malaysia terpaksa dihentikan selepas empat tahun kerana kos operasinya sangat tinggi berbanding keuntungan yang diperoleh.

Mungkinkah kita perlu wujudkan kembali sistem pengangkutan air ini pada masa kini sebagai alternatif untuk pengguna merentasi Laut China Selatan bagi menghubungkan Semenanjung dan Borneo?

Sumber: Arkib Negara