Tradisi Gaul Yee Sang Ketika Tahun Baharu Cina Sebenarnya Berasal Dari Negeri Sembilan

Tradisi Yee Sang Berasal Dari Negeri Sembilan

Tradisi Gaul Yee Sang Ketika Tahun Baharu Cina Sebenarnya Berasal Dari Negeri Sembilan

Bagi masyarakat Cina di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan Yee Sang yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.

Dengan campuran hirisan sayur-sayuran seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang yang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

Yee Sang yang merupakan antara hidangan tradisi dan popular tahun baharu mempunyai maksud yang tersendiri berdasarkan bahan yang digunakan, sejarah dan sebutan nama makanan itu.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk Yee Sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran.

Dalam bahasa Cina, Yee bermaksud ‘Ikan’ yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan ‘senang’ dan Sang bermaksud ‘mentah’ yang sering disamakan dengan ‘kelahiran semula’.

Tradisi Yee Sang Berasal Dari Negeri Sembilan

Sejarah Yee Sang

Yee Sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun yang lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.

Ia dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan Yee Sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan ketika itu bagi memperingati kisah itu.

Idea menghasilkan hidangan ini muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.

Bagi mengelakkan pembaziran, lebihan makanan itu akan ditambah dengan perasa seperti sos plum, lada hitam dan putih serta minyak untuk membangkitkan rasa.

Tradisi Yee Sang mula popular di Negeri Sembilan

Walaupun Yee Sang berasal dari Tanah Besar China, namun masyarakat di sana tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya memakan dan menggaul hidangan itu ketika Tahun Baru Cina.

Ramai yang tidak tahu sebenarnya Yee Sang dipopularkan oleh seorang ahli perniagaan dari Seremban, Negeri Sembilan iaitu Loke Ching Kee pada tahun 1940-an.

Loke datang ke Tanah Melayu dan menetap di Seremban pada tahun 1920-an, menubuhkan katering memasak hidangan makanan Cina seperti majlis perkahwinan dan majlis-majlis khas lain.

Tradisi Yee Sang Berasal Dari Negeri Sembilan
Sumber: Sos Cili

Namun, perniagaan Loke semakin perlahan selepas Jepun menyerang Tanah Melayu. Masyarakat Cina pada masa itu terpaksa berjimat untuk berbelanja pada musim perayaan mereka.

Untuk membangkitkan kembali semangat mereka, Loke cuba menghidupkan tradisi masyarakat Kantonis dengan mengolah semula resipi Yee Sang.

Beliau mencadangkan untuk menikmati Yee Sang, perlu dalam suasana jamuan dan ceria.

Pelanggan mula menyukai gaya persembahan Yee Sang dan kemudian makin terkenal hingga menjadi tradisi setiap kali perayaan.

Yee Sang versi Malaysia

Tradisi Yee Sang Berasal Dari Negeri Sembilan

Walaupun Yee Sang dikatakan bermula di tanah besar China, Yee Sang versi Malaysia sangat berbeza dengan versi China kuno daripada segi bahan, cara menghias dan cara memakannya.

Persamaan dengan Yee Sang pada hari ini adalah dari segi ikan mentahnya sahaja, manakala bahan-bahan lain, cara menghias malah cara memakannya termasuk melambung Yee Sang, tidak dipraktikkan sama sekali oleh mereka.

Jika dahulu Yee Sang hanya dihidangkan semasa Tahun Baru Cina, namun seiring dengan peredaran masa, Yee Sang mula dijual di restoran-restoran Cina, hotel-hotel dan gedung membeli-belah kira-kira sebulan sebelum tibanya hari perayaan.

Sumber: Cili SosBernama