5 Sebab Kenyataan “Individu Sambung Master Ada Ego Tinggi” Lelaki Ini Dibidas Seorang Pensyarah UPM

Individu Sambung Master dan PhD Ego 1

Umum mengetahui carta sistem pendidikan di Malaysia yang mana bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti. Pada tahap universiti, ada tahap yang akan bermula dengan asasi, diploma, Ijazah Sarjana Muda (Degree), Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Baru-baru ini, tular mengenai satu video yang memperlihatkan seorang lelaki, Adib Afifi Hasan menyatakan pendapat peribadi beliau mengenai menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah adalah idea terburuk untuk seseorang.

Nak tahu kenapa? Antara isi yang boleh kami simpulkan daripada penjelasan beliau:

1. Pemegang dua ijazah ini memiliki ego yang tinggi dan sukar dibentuk.

2. Kualifikasi Ijazah Sarjana Muda dan Diploma lebih relevan dalam industri di Malaysia.

3. Pemegang Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah ada yang takut masuk ke dalam bidang pekerjaan; tidak tahu mahu lakukan apa selepas selesai pengajian Ijazah Sarjana Muda.

4. Pemegang Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah mahukan gaji yang lebih tinggi, sesuai dengan kualifiikasi mereka.

5. Sambung pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah hanya kerana mahu masuk ke dalam bidang pendidikan.

Seperti biasa, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan pendapat peribadi yang beliau utarakan. Seorang pensyarah di Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hayrol Azril bin Mohamed Shaffril tampil memberikan penjelasan mengapa video saudara Adib Afifi Hasan boleh mencetuskan kontroversi.

1. Sensitiviti

Saudara Adib perlu tahu individu yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah ini ada masalah yang mereka perlu hadapi sama ada daripada segi kesihatan, kewangan, berjauhan dengan keluarga dan sebagainya.

Beliau perlu cakna dengan reaksi emosi atau perasaan individu yang perlu mengharungi segala ini apabila video beliau seakan diperkotak-katikkan matlamat dan tujuan mereka.

2. Stereotaip pada semua pemegang Master dan PhD

Saudara Adib seakan memukul rata bahawa pemegang Ijazah Sarjana mempunyai ego yang tinggi dan sukar dibentuk. Dengan pemerhatian dan kajian yang beliau lakukan sebenarnya agak berat sebelah kerana sampel yang sikit dan langsung tidak boleh menggambarkan keseluruhan pemegang Ijazah Sarjana.

3. Sambung Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah hanya untuk jadi pensyarah?

Tidak semua individu yang menyambung ke dua peringkat pengajian ini berhasrat mahu meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan. Hakikatnya, ada sahaja golongan Pegawai Tadbir Daerah, guru, pemandu teksi, suri rumah, pembantu peribadi dan lain-lain lagi yang menyambung pengajian dalam kedua-dua peringkat pengajian ini.

Individu Sambung Master dan PhD Ego

4. Pemegang Ijazah Sarjana dan Doktor Fasafah mahukan gaji yang tinggi

Saudara Adib ada menyebut mengenai pemegang Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah ini menyambung pengajian kerana mahukan kenaikan dalam pangkat dan mendapatkan gaji yang lebih tinggi.

Hakikatnya, ada sahaja individu yang menyambung pengajian kerana sebab-sebab lain seperti mahukan kepuasan untuk diri sendiri, memberikan contoh yang baik kepada anak-anak, keluarga, mencabar diri mencuba sesuatu yang baru dan mendapatkan ilmu yang baharu.

5. Cukup dengan Ijazah Sarjana Muda, individu boleh berjaya dalam industri di Malaysia

Kenyataan ini amatlah tidak tepat. Kata saudara Adib, untuk berjaya dalam industri di Malaysia, sekurangnya perlu ada kelulusan Ijazah Sarjana Muda. Kenyataan ini memang tidak dinafikan ada benarnya; tak individu yang boleh berjaya dengan hanya kelulusan PMR namun adakah ini bermakna perlu ditutup semua sekolah dan universiti?

Sumber: Hayrol Azril Hayrol

Speak Your Mind

*