Saban hari ada sahaja berita mengenai kanak-kanak sudah berani melakukan maksiat yang menaikkan syahwat seperti perbuatan merogol. Terbaharu, kes mengenai pelajar 12 tahu merogol kanak-kanak berumur 4 tahun.
Dalam pada itu, pelakon Yana Samsudin memuat naik status mengenai anaknya di laman sosial. Yana terkejut apabila anaknya, Aisy Mateen yang kini berusia iga tahun mencium mulutnya ketika sedang membuat siarang langsung di Instagram biarpun sudah pernah melarang anaknya melakukan aksi itu.
Yana memuat naik status menasihati netizen tidak mengamalkan perbuatan itu. Katanya, ciuman terbaik untuk anak adalah pada ubun, dahi, pipi dan tangan.
Sebagai ibu, Yana berkata, dia risau sekiranya perbuatan itu dilakukan anaknya terhadap orang lain yang mungkin menimbulkan salah faham.
Persoalannya, benarkah ibu bapa tidak boleh memberi ciuman mulut kepada anaknya?
Menurut penjelasan Profesor Madya Datuk Dr Izhar Ariff -Pensyarah Kanan Fiqh Kepenggunaan Semasa, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), harus bagi ibu bapa mencium mulut anak yang belum baligh selagi tidak menimbulkan fitnah.
“Ini kerana Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah mencium mulut Hassan bin Ali hingga menyebabkan bibir disentuh Rasulullah itu tidak akan disentuh oleh api neraka…(Hadis Riwayat Ahmad).
“Namun begitu, Ibnu Hajar berpendapat mencium mulut anak atau cucu itu perlu dilihat dari sudut pandang adat setempat.
“Jika ia membawa fitnah, adalah lebih baik ditinggalkan kerana keburukan lebih banyak berbanding kebaikan,” jelasnya.
Beliau berkata, Rasulullah SAW sendiri mengungkapkan rasa kasih sayang baginda dengan mencium anak dan cucunya. Katanya, mencium kanak-kanak, anak atau cucu sendiri adalah sunnah Rasulullah SAW.
Beliau turut berkongsi sebuah lagi riwayat yang dikisahkan dari Abu Hurairah RA, yang bermaksud Rasulullah SAW mencium Hassan bin Ali dan di sisi Rasulullah SAW ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk.
“Lalu Al-Aqro’ berkata, Aku punya 10 anak, namun tidak seorang pun dari mereka yang pernah aku cium. Lalu Rasulullah SAW melihat kepada Al-Aqro’ dan berkata, Barang siapa tidak merahmati (menyayangi) maka ia tidak akan dirahmati (HR Bukhari dan Muslim),” katanya.
Sumber: Harian Metro