Hijrah Ke Bandar Tak Mampu Ubah Taraf Hidup – Penganalisis Ekonomi

Kuala Lumpur bandar rendah kerjaya hidup seimbang
Sumber: Twitter

Ramai anak muda yang lebih gemar bekerja di kawasan bandar berbanding kawasan luar bandar kerana merasakan hidup di bandar boleh menjanjikan taraf hidup yang selesa dan mewah.

Namun, hakikatnya masalah kewangan masih lagi tidak mampu diselesaikan malah sebahagian besar daripada mereka termasuk dalam golongan miskin bandar.

Penganalisis sosial, Mohammad Shatar Sabran berkata tanggapan yang sudah ada dalam kalangan masyarakat sejak 20 tahun lalu perlu dihapuskan dan masyarakat luar bandar harus lebih kreatif mencari dan mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan mereka.

Ekoran daripada proses modenisasi yang pesat, jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan kawasan luar bandar tidak jauh beza. Pemain industri perlu bijak memainkan peranan dalam menarik perhatian tenaga buruh untuk bekerja di kawasan luar bandar.

Sebagai contoh, bekerja di kawasan luar bandar boleh menjimatkan daripada segi masa dan ekonomi kerana tidak perlu berdepan dengan kesesakan lalu lintas serta kos sara hidup yang lebih murah.

Penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai pula berkata Malaysia menghadapi masalah miskin bandar kerana hampir 70% daripada isi rumah luar bandar berhijrah ke bandar sejak lima tahun lepas.

Kerja di Bandar

Kualiti hidup juga akan merosot kerana penginapan di kawasan bandar yang mahal menyebabkan ada di antara penghijrah yang terpaksa duduk di kawasan setinggan, berbanding jika di kawasan luar bandar yang jauh lebih selesa dengan pembayaran sewa yang sama.

Walaupun bekerja tetap dan ada yang bekerja di sektor awam, pendapatan dengan gaji minimum RM1,100 jauh lebih rendah dengan kos sara hidup minimum gaji RM2,500 untuk isi rumah berkahwin.

Untuk menyelesaikan masalah ini beliau menyarankan agar menggalakkan penghijrahan ke kampung kerana dalam masa 20 tahun lagi, hampir 80 kawasan di luar bandar di seluruh negara akan menjadi kawasan perbandaran.

Sumber: FMT

Speak Your Mind

*