Ibu Bapa, Jangan Terlalu Taksub Kejar ‘Ranking’ Sekolah Terbaik

Ranking Sekolah
Sumber: SAYS

Gegar di satu Facebook page yang mengumpulkan ibu bapa pelajar-pelajar MRSM seluruh negara tentang ranking sekolah-sekolah terbaik SPM 2018. Terpegun juga saya membaca komen-komen ibu bapa yang gusar kerana SBP mendahului MRSM dalam ranking. Sampai ada yg komen menyesal masukkan anak di MRSM.

Begitu sekali ibu bapa ini prihatin soal ranking. Pendidikan sudah jadi perlumbaan mengejar gred. Kecemerlangan insan dinilai dengan nilaian digit di gred purata. Segalanya tentang siapa yang sampai dulu di tali penamat di medan lumba. Dan begitu ghairah sekali ibu bapa prihatin ini menyemak ranking sekolah untuk membuat konklusi sekolah di ranking atas menghasilkan pelajar-pelajar hebat, terbaik, dan super duper excellent.

Kita tenggelam dalam budaya banding-membanding. Sehingga kita putuskan, anak kita akan lebih cemerlang di sekolah A berbanding sekolah B. Faktor sekolah begitu kita tekankan. Bagaimana pula dengan faktor anak kita dan kawan-kawannya yang membentuk komposisi batch pelajar bagi tahun itu?

Dan yang lebih penting, konsep kecemerlangan itu pun harus dihayati dengan lebih berhikmah. Jangan angkuh dengan bilangan gred A yg diraih, jika anak kita hanyalah mesin yang mengulang semula fakta-fakta dari buku-buku yang mereka baca dan dari guru-guru yang mengajar di hadapan kelas.

Mereka mungkin produk bagus, yang dikeluarkan dari sistem persekolahan berorientasikan gred peperiksaan. Tapi apakah mereka hasilan luhur dari sistem pendidikan yang berorientasikan pembentukan insan?

Ranking tiada masalah, jika digunakan sebagai alat muhasabah dan basis utk peningkatan. Tapi jika ada ibu bapa di MRSM yang sampai guna perkataan “menyesal” masukkan anak di MRSM kerana ranking SPM tahun lepas agak memihak kepada SBP, maka mungkin anda sudah tidak fokus pada matlamat sebenar anda menilih sekolah untuk anak anda belajar dan berkembang sebagai manusia.

Saya tak boleh bercakap mewakili orang lain, tetapi secara peribadi, hebat atau tidak seorang pelajar yang lahir dari sistem pendidikan yang saya turut terlibat sebagai tenaga pendidiik ini, tidak pernah saya nilai daripada bilangan gred A yang mereka perolehi semasa SPM.

Mereka hebat, apabila years and years kemudiannya, selepas lembar-lembar analisis SPM pun sudah jadi kelabu dan berdebu, selepas carta ranking sekolah pun sudah koyak dan lusuh, selepas segala lampu-lampu spotlight merayakan kecemerlangan sudah lama dimatikan, dan pentas itu pun sudah kian sepi, ya selepas semua itu berlalu, mereka tampil ke tengah masyarakat menabur budi bakti, menjadi manusia-manusia perkasa susila dan raksasa jati diri. Yang ingin menyumbang dan memberi, dan bukan hanya tahu meminta dan menyalahkan orang lain pada setiap shortcoming. Yang akan selalu menyanjung tinggi restu ibu bapa, dan masih merendah diri memohon doa guru.

Ya, pada tahun-tahun yang jauh selepas SPM, bila mendengar tentang bekas-bekas pelajar yang teratas di ranking begini, saya akan diam-diam mengucap syukur kerana dia pernah ada dalam kelas saya, di maktab ini, di perkebunan ilmu ini, memaknakan erti sebenar satu proses pendidikan insan.

Dan di waktu itu, saya pun tidak lagi ingat pada bilangan A di slip SPMnya.

**Artikel ini diambil dari laman Facebook Wan Shahriza.