Malaysia Negara Keempat Bimbang Menginjak Usia Tua

Malaysia Bimbang Usia Tua

Secara umum pada usia 50 tahun kebanyakan daripada kita masih perlu bekerja, sama ada untuk menyara hidup atau mengelak mati kebosanan di rumah.

Bagi orang Islam khususnya, inilah juga usia untuk bertenang dan meningkatkan amalan dengan mengerjakan solat serta tuntutan lain.

Menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd, Malaysia merupakan negara keempat daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua.

Dalam satu kenyataan, kajian mengenai ‘Penuaan di Malaysia’, menunjukkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan selepas Brazil, China dan Rusia yang masing-masing menduduki tempat pertama hingga ketiga.

Kajian itu mendapati bahawa sejumlah 62% warga Malaysia risau tentang penuaan, berbanding dengan 52% jumlah kebimbangan di seluruh dunia. Manakala bagi warga India hanya 45%, Amerika Syarikat sebanyak 48% dan United Kingdom cuma 50% tidak begitu bimbang apabila menginjak usia tua.

Malaysia Bimbang Usia Tua
Sumber: Malaysia World Times News

Ia turut mendedahkan 49% warga Malaysia tidak optimis tentang penuaan serta bimbang meniti usia tua.

Namun, kajian itu mendapati sejumlah 76% warga Malaysia merasakan bahawa persediaan boleh dibuat bagi meniti usia tua dan keyakinan ini berpunca daripada hakikat bahawa 85% rakyat tempatan menjangkakan kesihatan baik pada usia tua.

“Secara global, hanya 29% bersetuju bahawa warga tua mempunyai pengaruh terlalu banyak dari segi politik. Bagaimanapun, sehingga 44% responden warga Malaysia merasakan warga tua mempunyai pengaruh politik,” menurut kenyataan itu.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa kekurangan optimisme warga Malaysia tentang penuaan diimbangi kepercayaan mereka terhadap teknologi dengan sejumlah 60% warga Malaysia percaya bahawa perkembangan teknologi akan memudahkan kehidupan mereka pada usia tua.

Namun berlainan pula dengan kira-kira 50% warga Eropah percaya bahawa teknologi dapat meningkatkan kehidupan mereka secara drastik pada usia tua. Kajian itu turut menunjukkan warga Malaysia juga beranggapan bahawa usia 56 tahun sebagai permulaan peringkat hidup tua mereka.

Sumber: Berita Harian

Speak Your Mind

*