Archives for January 9, 2022

Tip Latih Anak Berpuasa Seawal Usia 5 Tahun Cara Angkasawan Negara

Tip Latih Anak Berpuasa

Tibanya bulan Ramadan memberi keterujaan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk mendidik mereka berpuasa.

Bayangkanlah si kecil berusia lima dan enam tahun yang semakin petah berbicara dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai puasa menjadikan ibu bapa lebih prihatin untuk menjelaskan mengenai ibadah puasa serta membuat persiapan untuk si kecil.

Ini disebabkan tanpa persediaan mental dan fizikal, dikhuatiri puasa itu tidak dapat memberikan kesan positif kepada anak-anak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan paksaan.

Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor mendedahkan kedua-dua anaknya, Sophea Isabella, 8, dan Sophea Natasha, 7 mula berpuasa ketika usia mereka mencecah lima tahun di laman Instagramnya.

Berdasarkan pengalamannya melatih anak berpuasa, Sheikh Muszaphar berkongsi lima amalan yang diterapkan kepada anak-anaknya.

5 tip mudahkan anak berpuasa:

1. Beri galakan kepada mereka

Kita mungkin berfikir mereka terlalu muda untuk berpuasa tetapi jangan memandang rendah dengan kemampuan mereka. Beritahu mereka mengapa umat Islam perlu berpuasa dan manfaat Ramadan.

Puji apabila mereka dapat berpuasa walaupun sehari. Kanak-kanak akan memahami apabila kita memberitahu mengenai puasa dalam bentuk cerita. Ia membuatkan mereka berkobar-kobar mahu seperti orang dewasa dan membuktikan sesuatu.

2. Alihkan perhatian mereka

Kadangkala apabila sudah tiba waktu petang, mereka tidak mampu bertahan dan mahu berbuka puasa. Kebanyakan ibu akan membenarkan anak-anak mereka untuk minum sebab tidak sampai hati.

Jangan melakukan sedemikian, sebaliknya lakukan aktiviti yang boleh mengalihkan perhatian mereka. Contohnya, berjalan di taman, pusat membeli-belah, bermain dan sebagainya.

Tip Latih Anak Berpuasa
Sumber: Cempedak Cheese

3. Teruskan dengan aktiviti harian mereka

Dengan aktiviti yang padat mereka ada, masa akan berjalan begitu cepat sehingga tidak sedar seharian mereka sudah berpuasa.

* Jika dalam bulan Ramadan ini aktiviti mereka kurang, carikan aktiviti lain tetapi tidak terlalu memenatkan untuk mereka.

4. Makan makanan yang memberi tenaga ketika sahur

Disyorkan makanan tinggi karbohidrat untuk pastikan mereka bertenaga sepanjang hari. Seperti anak-anak Angkasawan Negara, mereka diberi makan bijirin dan roti ketika sahur (kurma pun bagus juga).

Nasi membuatkan mereka mudah mengantuk dan sukar untuk bangun ke sekolah. Tidurkan anak-anak seawal 10 malam selepas solat tarawih dan kejutkan mereka pada pukul 5 pagi untuk sahur. Boleh berikan mereka tidur sekejap sebelum bangun untuk solat Subuh dan bersiap-siap ke sekolah.

5. Kekal hidrasi

Kanak-kanak perlu banyak minum air kosong untuk mengekalkan hidrasi. Elakkan minuman manis setiap masa (boleh minum untuk berbuka sahaja).

Ketika anak-anak berumur 5 tahun, itulah waktu terbaik untuk mengajar mereka berpuasa walaupun setengah hari. Jangan cepat mengalah berikan anak anda minuman apabila mereka memintanya. Ajarkan mereka untuk bersabar selagi boleh.

Menerusi entri yang sama beliau turut memuat naik video anak-anak ketika bersahur. Rata-rata pengikutnya gembira dengan perkongsian tersebut kerana memberi inspirasi mereka untuk mendorong anak-anak mereka berpuasa.

Jadi, bolehlah cuba tip yang diberikan Angkasawan Negara kita ini. Ikuti laman Instagram beliau untuk mengetahui lebih banyak lagi cara didikan anak-anak.

Senarai Aplikasi Untuk Anda Gandakan Ganjaran Pahala Sepanjang Ramadan

Aplikasi Bulan Ramadan

Bila tiba bulan Ramadan, ramai yang berlumba-lumba melakukan kebaikan disebabkan mahu merebut ganjaran pahala berganda. Bulan Ramadan bukan sahaja mengajar umat Islam menahan lapar dan dahaga, tetapi juga merupakan bulan muhasabah diri.

Dalam bulan Ramadan, kita cuba memperbaiki diri menjadi lebih baik sama ada daripada segi rohani atau jasmani. Dengan penggunaan telefon bimbit masa kini yang menjadi keperluan, Google telah senaraikan beberapa aplikasi yang boleh anda muat turun bagi ‘menggemukkan’ pahala anda sepanjang bulan mulia ini.

1. Al-Quran Melayu

Tak perlu lagi risau jika tertinggal Al-Quran. Sambil-sambil menunggu LRT atau di lampu isyarat, anda boleh sahaja membaca Al-Quran bersama terjemahan dalam Bahasa Melayu kerana dengan ciri tambahan seperti audio, pembacaan Al-Quran sudah boleh dilakukan di mana-mana.

Aplikasi Bulan Ramadan

2. Journey: Diary, Journal, Mood Tracker

Susah nak urus masa bulan Ramadan sebab banyak benda yang nak dilakukan? Apa kata muat turun aplikasi ini dan anda boleh lihat bagaimana urusan seharian anda disusun dengan teratur. Dengan aplikasi ini, tiada lagi alasan tak cukup masa.

Aplikasi Bulan Ramadan

3. Muslim Pro Malaysia

Risau jika terlepas waktu solat? Muslim Pro kan ada. Hanya dengan satu kali muat turun anda bukan sahaja up-to-date dengan waktu-waktu solat, tetapi juga arah kiblat, Al-Quran dan banyak lagi. Memang aplikasi ini wajib adalah dalam setiap telefon bimbit Muslim.

Aplikasi Bulan Ramadan

4. ShareTheMeal

Tujuan berpuasa selain daripada menahan lapar dan dahaga adalah untuk memahami dan meningkatkan rasa bersyukur terhadap apa yang kita miliki sekarang jika dibandingkan dengan mereka di Somalia, Lubnan dan Gaza.

Aplikasi Bulan Ramadan

Dengan aplikasi ShareTheMeal ini, anda boleh membantu menyumbangkan jumlah wang mengikut kemampuan supaya mereka juga turut dapat menikmati rasa mempunyai hidangan semasa berbuka atau bersahur.

5. Cookpad

Anda gemar memasak? Pada bulan Ramadan ini, anda bolehlah kongsikan resipi masakan kegemaran dan istimewa di aplikasi Cookpad kepada rakan-rakan, keluarga dan warganet.

Aplikasi Bulan Ramadan 1

6. Tasty

Sesuai dengan namanya, anda tak perlu lagi pening-pening fikir menu berbuka atau bersahur yang boleh membangkitkan selera keluarga tersayang. Dalam aplikasi ini beratus resipi telah disediakan untuk anda sama ada dalam bentuk manual bertulis atau pun video.

Aplikasi Bulan Ramadan

7. Yummly Recipes & Shopping List

Bukan hanya menawarkan resipi menarik, tetapi juga mencadangkan kepada anda bahan apa yang patut anda beli berserta dengan kandungan nilai nutrisinya. Buat mereka yang mementingkan nilai kalori dan sedang berdiet, aplikasi ini memang sangat sesuai dengan anda.

Aplikasi Bulan Ramadan

8. Halal Navi

Merantau atas alasan kerja? Jangan risau, dengan aplikasi Halal Navi ini, anda boleh dapatkan lokasi restoran halal yang berdekatan. Kalau masih ragu-ragu dengan status halal mereka, boleh sahaja semak status halal mereka dengan membaca maklum balas daripada pengguna lain.

Aplikasi Bulan Ramadan 2

9. PicMix

PicMix membantu anda berkongsi momen-momen indah dan kelakar yang berlaku sepanjang bulan Ramadan. Nak berkongsi hidangan berbuka atau berbuka di mana, bolehlah gunakan PicMix.

Aplikasi Bulan Ramadan

Semoga bulan Ramadan ini kita dapat aturkan segala urusan duniawi dan akhirat dengan seimbang serta merebut pahala sebanyak mungkin. Semoga senarai aplikasi ini dapat membantu anda yang masih lagi mencari rentak Ramadan yang sesuai.

Selamat mencuba!

Susah juga belakang tabir permainan video ini.

Kaum Wanita Kena Ambil Tahu 5 Amalan Utama Penjagaan Rahim Yang Betul

Kaum Wanita Kena Ambil Tahu 5 Amalan Utama Penjagaan Rahim Yang Betul

Penjagaan Rahim 1

Setiap wanita dikurniakan dengan rahim sebagai sistem reproduktif. Dengan adanya rahim, wanita dapat menjalani proses mengandung yang mana di rahimlah akan terjadinya pertumbuhan janin dan terbentuk anggota tubuh badan bayi.

Terpanggil untuk memberikan tip penjagaan rahim, Dr. Hamid Arshat, seorang pakar perubatan memberitahu bahawa rahim wanita sering mengalami masalah kesihatan tumbuhan yang menyebabkannya membesar seperti hamil.

1. Mendapatkan nasihat daripada doktor bertauliah

Anda sepatutnya bertemu doktor sekiranya merasakan kelainan pada tubuh badan. Sekiranya terbukti sakit, dapatkan nasihat dan rujuk nasihat daripada doktor sebelum menjalankan kaedah alternatif.

2. Kawal stress secara berkesan

Tanpa secara, stress turut membawa kepada penyakit. Kawal stress anda dengan melakukan aktiviti-aktiviti sihat dan jangan lupa juga untuk dapatkan rehat yang mencukupi.

3. Buat pemeriksaan rahim

Jika anda sering mengalami senggugut yang teruk, kitaran haid tidak teratur dan pendarahan dalam tempoh panjang, dapatkan pemeriksaan awal supaya masalah tersebut dapat dikesan.

Penjagaan Rahim

4. Amalkan pemakanan seimbang

Jaga diet pemakanan anda dengan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kurangkan makan makanan segera, makanan diawet, makanan dalam tin dan makanan yang diproses. Makanan tidak seimbang menyebabkan gangguan kepada sistem tubuh badan untuk berfungsi dengan betul.

5. Pantau berat badan

Berat badan yang berlebihan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik. Pastikan berta badan anda ideal dengan tinggi anda. Sekiranya berat badan anda sudah melebihi tahap yang sepatutnya, amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat supaya berat badan sentiasa berada dalam kawalan.

Banyak lagi amalan lain yang boleh anda cuba untuk dapatkan rahim yang sihat. Rahim merupakan salah satu anggota badan yang tiada gantinya. Oleh itu, jagalah kurniaan istimewa yang Tuhan hanya berikan kepada kita (kaum wanita) dengan sebaiknya.

Sumber: The Asian Parent

Kajian Buktikan Individu Jalan Laju Lebih Panjang Umur

Berjalan Laju Lebih Panjang Umur

Penyelidik dari Universiti Leicester, London mendapati mereka yang berjalan kaki dengan cepat berkemungkinan besar dapat hidup dengan 15 tahun lebih lama tanpa mengira ketinggian atau berat badan.

Dapatan ini didapati menerusi kajian analisis data yang dijalankan pada 474,919 orang denga purata usia 52 tahun di UK Biobank antara tahun 2006 hingga 2016.

Yang berjalan perlahan?

Untuk individu yang berjalan perlahan atau terlebih santai, masing-masing daripadanya hanya mempunyai jangka hayat sehingga 72.4 tahun (wanita) dan 64.8 tahun (lelaki).

Berjalan Laju Lebih Panjang Umur

Kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal Mayo Clinic Proceedings ini dibuktikan benar walaupun pejalan kaki cepat mempunyai berat badan yang berlebihan.

Tapi ini tidak bermakna pejalan kaki akan hidup lebih lama. Ianya sekadar membuktikan hubungan gaya hidup dengan jangka masa hidup, bukannya sebab dan akibat daripada gaya hidup.

Anda yang mana satu? Individu yang berjalan dengan santai atau pun dengan laju?

Sumber: Harian Metro

Penguin Emperor ‘Kritikal’ Gagal Membiak Sejak 3 Tahun Lepas

Penguin Emperor Pupus

Penguin merupakan keluarga burung yang tidak boleh terbang. Hidup dalam iklim yang sejuk, penguin kini diancam kepupusan setelah jumlahnya semakin berkurang sejak tempoh 40 tahun belakangan ini.

Perubahan cuaca terutamanya di sebelah barat Antartika menyebabkan ais menjadi cair dan memberikan kesan secara langsung kepada habitat dan populasi penguin terutamanya penguin Emperor.

Penguin Emperor Pupus

Kajian terbaharu oleh saintis menemui bahawa penguin Emperor yang boleh berada di suhu -60°C dan merentas angin selaju 195 kilometer per jam gagal membiak untuk tempoh tiga tahun lepas.

Daripada imej satelit resolusi tinggi, para pengkaji British Antarctic Survey (BAS) mendapati kegagalan pembiakan ini adalah berpunca daripada pengurangan ais di laut Antartika.

Penguin Emperor Pupus

Penguin jenis Emperor ini memerlukan ais laut yang stabil untuk membiak dari April hingga Disember.

Dapatan kajian ini telah diterbitkan di Jurnal Antarctic Science pada hari ini bersempena dengan Hari Penguin Sedunia.

Sumber: Metro UK

Panggilan Telefon Befrienders Bantu Kurangkan Kesunyian Dan Rasa Ingin Bunuh Diri Rakyat Jepun

Perkhidamatan Telefon Di Jepun

Kemajuan teknologi Jepun menjadikan Jepun gah sebagai sebuah negara yang maju di mata dunia. Sehingga ada negara-negara di dunia menjadikan Jepun sebagai contoh seperti Malaysia yang mengamalkan dasar pandang ke Timur.

Namun sedarkah anda, di sebalik kemegahan kemajuan teknologi, rakyat negara matahari terbit ini sentiasa hidup dalam keadaan tertekan dan kemurungan?

Laporan pada 2017 menunjukkan hampir 20% daripada 10,000 orang rakyat Jepun mati disebabkan terlalu banyak bekerja (karoshi). Dalam sebulan, sekurang-kurangnya mereka bekerja lebih masa selama 80 jam.

Peningkatan kadar kematian disebabkan karoshi menjadikan kerajaan Jepun mengambil inisiatif seperti menggalakkan rakyat pulang kerja tepat pada waktu dan mengambil cuti untuk berehat dan melancong.

Akibat daripada tekanan dan masalah kemurungan juga, ramai rakyat Jepun bertindak dengan memilih untuk menamatkan riwayat hidup mereka sendiri dan menjadikan Jepun sebagai negara yang mempunyai kadar kes bunuh diri tertinggi di dunia.

Bagi mengatasi masalah tersebut, sebuah organisasi sosial di Tokyo, Befrienders Worldwide Tokyo telah menawarkan perkhidmatan panggilan hotline yang membolehkan rakyat Jepun mengadu dan bercerita mengenai masalah mereka.

Rakyat Jepun tidak mempunyai masa untuk melakukan hal-hal peribadi, oleh itu golongan pakar dan sukarelawan berpendapat dengan adanya talian ini, mereka boleh membantu rakyat untuk meluahkan perasaan dan mengurangkan bebanan perasaan.

Hampir kesemua daripada pengguna talian itu menyuarakan hasrat mereka untuk membunuh diri kerana sudah tidak tahan untuk hidup. Mengikut rekod, talian tersebut berjaya memberikan kesan sehingga 40% jika dibandingkan dengan trend yang pernah memuncak pada 2003.

Menawarkan perkhidmatan di seluruh Jepun, Befrienders menjalankan operasi setiap hari bermula 8 malam hingga 5.30 pagi. Setiap panggilan telefon akan disambut oleh 40 orang sukarelawan yang mana setiap kumpulan akan bekerja dalam kumpulan (empat orang satu kumpulan).

Di laluan dan lokasi popular pembunuhan diri akan ada iklan poster yang membolehkan rakyat menelefon talian hotline dengan mesej, “Adakah anda berasa sedih? Ada orang yang akan membantu anda.”

Pada 2018, kebanyakan daripada pemanggil adalah daripada mereka yang berusia 30-an dan 40-an dengan 56% adalah pemanggil wanita dan 43% adalah daripada golongan lelaki.

Sikap masyarakat yang tertutup menjadikan mereka sangat sukar untuk bersikap terbuka bercerita mengenai hal-hal peribadi, terutamanya lelaki.

Sumber: Astro Awani

Gara-Gara Anak, Bapa Terpaksa Tunggu 47 Tahun Untuk ‘Unlock’ iPad

Unlock iPad

Gara-gara anak, bapa terpaksa tunggu 47 tahun untuk unlock iPad.

Anak-anak zaman milenia ini semuanya dihidangkan dengan gajet. Seakan menjadi satu kemestian, ada di antara golongan ibu bapa yang memberikan gajet kepada anak mereka sebagai peneman dan alat pembelajaran.

Seorang bapa, Evan Osnos terpaksa menanti selama 47 tahun atau paling tepat lebih 25,536,442 minit gara-gara anak lelakinya terlalu banyak memasukkan kata laluan yang salah.

Gajet keluaran Apple akan meningkatkan amaun masa yang membolehkan pengguna melakukan cubaan memasukkan kata laluan betul setiap kali bilangan kata laluan salah dimasukkan.

Meletakkan gambar paparan muka depan iPad yang terkunci di laman Twitter dengan harapan pengikutnya dapat memberikan bantuan bagaimana mahu menyelesaikan masalah tersebut, Osnos menerima pelbagai reaksi.

Unlock iPad
Unlock iPad
Unlock iPad

Kesimpulannya, jangan beri anak anda bermain dengan iPad yang memerlukan kata laluan. Jika tidak mungkin anda akan menerima nasib yang sama.

Sekiranya anak anda tidak mahu berhenti bermain gajet, ada beberapa cara yang boleh anda cuba.

Ramai kanak-kanak didedahkan dengan gajet sehingga menjadikan mereka ketagihan. Biarpun sudah ada kajian gajet berbahaya kepada anak-anak, masih ada ibu bapa yang tidak mengendahkannya kerana berpendapat gajet membantu mereka dalam ‘mengawal’ tingkah anak-anak.

Di Surabaya, Indonesia, datuk bandar, Oded M. Danial telah memberikan idea agar anak-anak muda atau remaja di Surabaya menggantikan ketagihan gajet dengan menternak ayam.

Oded memberikan cadangan tersebut selepas melihat kecenderungan anak-anak hari ini Oded berjanji sekiranya anak ayam yang mereka miliki berjaya dibesarkan, maka beliau akan menghadiahkan mereka dengan tiga ekor anak ayam lagi.

Sumber: Metro UK

Bezanya Kasih Mak Ayah Jika Dibandingkan Dengan Kasih Anak

kasih sayang mak ayah
Sumber: Remaja

POST INI PANJANG.
AKU TAK MAMPU NAK RINGKASKAN LAGI.
KALAU ADA MASA, BACALAH…

1) Teramat biasa, seorang ibu atau ayah bawa anak kecilnya atau bayi ke klinik… Waima atas benda yang kita tengok ‘amat remeh’ ataupun ‘benda macam ini pun nak risau?’. Contohnya, bayi keluar ruam merah sikit. Ala macam ruam panas. Setompok besar duit 5 sen. Dan memang bila diperiksa, ianya just normal rash.

-Macam itulah kasih sayang ibu ayah pada anaknya. Kalau boleh, nyamuk seekor gigit pun tak diberi. Berhingus selsema sikit pun tak mahu, dan biar anak cepat sembuh (walhal badan si anak perlukan masa untuk sembuh dan develop immunity).

Kita bila dah dewasa? Mak atau ayah mengadu pening sakit kepala. ada yang jawab, “alah. Biasalah tu dah tua-tua”. Baik sikit, kita bagi duit “Ini duit ayah atau mak beli Panadol ya”. Kita tak akan sampai ke tahap beria-ia jaga mak ayah kita macam mereka jaga kita dahulu.

Kita tak pantau 24 jam. Kita lena saja tidur malam walaupun mak ayah tengah demam di kampung. Kulit mak ayah yang dah tua kering, bersisik, dan sebab kering rasa gatal. Kita tak appreciate pun bila jumpa mereka. Kita guna lagi alasan, “biasalah kulit orang tua”.

2) Semalam, seorang pakcik usia 60-an datang. Nak periksa tekanan darah (BP). Sebab dia kata bila check sendiri di rumah, BP asyik tinggi. Anaknya belikan mesin BP digital.

Bila aku terangkan tentang cara guna yang betul mesin BP tu, barulah pakcik tu tepuk dahi. Salah cara dia gunakan mesin itu. Cara balutan kat lengan pun silap. Tak ada siapa ajar dia guna, katanya.

-Dah baguslah anaknya belikan mesin BP itu untuk ayahnya. Tapi anak itu tak mampu buat sebaik si ayah dahulu. Masa kita kecil dulu, ayah belikan mainan. Tanpa kita minta, ayah ajar kita cara nak main mainan itu. Ayah ajar kita cara naik basikal sampai kita pandai.

Tapi pak cik tu, anaknya tak ajar dia cara guna mesin BP. Aku tak salahkan anak pakcik itu ya. Usaha dia belikan set BP itu dah bagus. Tapi kita memang tak akan dapat layan dan balas jasa mak atau ayah sebagaimana mereka layan kita dulu

3) Pagi tadi, seorang wanita lewat awal 60-an datang untuk pemeriksaan kencing manis. Dah lama dia skip follow-up di sebuah hospital. Alasannya sebab kalau ke hospital tu, walaupun swasta, tetap lama menunggu. At least datang pagi, baliknya mesti jam 1 atau 2 petang.

Dia memikirkan menjaga dua cucunya yang masing-masing ada masuk sekolah sesi pagi dan seorang sesi petang. Jadi kalau dia ke hospital, tak ada siapa nak jaga cucunya. Wanita ni kata, “kesian pula nak susahkan anaknya, sebab anaknya bekerja”.

-Pengorbanan ibu ini, sampai kita dah besar dan ada anak sendiri pun, dia yang jaga. Dapat cucu, ditatangnya cucu. Cucu dah besar, dia jaga cucu. Demi anak yang mungkin sibuk urusan cari rezeki. Kita ni mampu berkorban macam tu?

Mak ayah panggil balik, kita bagi alasan banyak meeting nak jumpa client, tunggu hujung bulan. Mak ayah panggil balik, buah rambutan dah masak kat kampung, kita kata kita dan anak-anak tak kisah makan buah (padahal mak ayah nak jumpa kita dan cucu, buah rambutan tu alasan saja).

4) Aku sendiri. Walaupun aku dah tua bangka umur 40 tahun, aku sendiri seorang doktor. Bila aku tak sihat, demam batuk, mak ayah dengar suara di telefon aku tak sihat. Macam-macam nasihat dia beri. Adakah aku tak tahu pasal kesihatan? Mereka nasihat, keep on follow-up, hari-hari tanya sampai aku sihat. Sebab mereka sayangkan aku.

-Berapa kerap kita follow-up bila mak ayah kita sakit? Adakah kita buat yang terbaik utk mak ayah kita bila kita belikan sesuatu produk yang kononnya bagus? Walhal produk itu boleh rosakkan buah pinggang mereka, walhal produk itu menunggang agama?

Kita rasa kita dah buat yang terbaik, keluar duit ribu-ribu belikan produk. Tapi kita culas mengkaji dan bertanya pada yang ahlinya. Kita cepat-cepat beli produk kononnya nak berbakti pada mak ayah.

**Artikel ini diambil daripada Facebook Khairul Faizie.

Ibu Bapa, Jangan Terlalu Taksub Kejar ‘Ranking’ Sekolah Terbaik

Ranking Sekolah
Sumber: SAYS

Gegar di satu Facebook page yang mengumpulkan ibu bapa pelajar-pelajar MRSM seluruh negara tentang ranking sekolah-sekolah terbaik SPM 2018. Terpegun juga saya membaca komen-komen ibu bapa yang gusar kerana SBP mendahului MRSM dalam ranking. Sampai ada yg komen menyesal masukkan anak di MRSM.

Begitu sekali ibu bapa ini prihatin soal ranking. Pendidikan sudah jadi perlumbaan mengejar gred. Kecemerlangan insan dinilai dengan nilaian digit di gred purata. Segalanya tentang siapa yang sampai dulu di tali penamat di medan lumba. Dan begitu ghairah sekali ibu bapa prihatin ini menyemak ranking sekolah untuk membuat konklusi sekolah di ranking atas menghasilkan pelajar-pelajar hebat, terbaik, dan super duper excellent.

Kita tenggelam dalam budaya banding-membanding. Sehingga kita putuskan, anak kita akan lebih cemerlang di sekolah A berbanding sekolah B. Faktor sekolah begitu kita tekankan. Bagaimana pula dengan faktor anak kita dan kawan-kawannya yang membentuk komposisi batch pelajar bagi tahun itu?

Dan yang lebih penting, konsep kecemerlangan itu pun harus dihayati dengan lebih berhikmah. Jangan angkuh dengan bilangan gred A yg diraih, jika anak kita hanyalah mesin yang mengulang semula fakta-fakta dari buku-buku yang mereka baca dan dari guru-guru yang mengajar di hadapan kelas.

Mereka mungkin produk bagus, yang dikeluarkan dari sistem persekolahan berorientasikan gred peperiksaan. Tapi apakah mereka hasilan luhur dari sistem pendidikan yang berorientasikan pembentukan insan?

Ranking tiada masalah, jika digunakan sebagai alat muhasabah dan basis utk peningkatan. Tapi jika ada ibu bapa di MRSM yang sampai guna perkataan “menyesal” masukkan anak di MRSM kerana ranking SPM tahun lepas agak memihak kepada SBP, maka mungkin anda sudah tidak fokus pada matlamat sebenar anda menilih sekolah untuk anak anda belajar dan berkembang sebagai manusia.

Saya tak boleh bercakap mewakili orang lain, tetapi secara peribadi, hebat atau tidak seorang pelajar yang lahir dari sistem pendidikan yang saya turut terlibat sebagai tenaga pendidiik ini, tidak pernah saya nilai daripada bilangan gred A yang mereka perolehi semasa SPM.

Mereka hebat, apabila years and years kemudiannya, selepas lembar-lembar analisis SPM pun sudah jadi kelabu dan berdebu, selepas carta ranking sekolah pun sudah koyak dan lusuh, selepas segala lampu-lampu spotlight merayakan kecemerlangan sudah lama dimatikan, dan pentas itu pun sudah kian sepi, ya selepas semua itu berlalu, mereka tampil ke tengah masyarakat menabur budi bakti, menjadi manusia-manusia perkasa susila dan raksasa jati diri. Yang ingin menyumbang dan memberi, dan bukan hanya tahu meminta dan menyalahkan orang lain pada setiap shortcoming. Yang akan selalu menyanjung tinggi restu ibu bapa, dan masih merendah diri memohon doa guru.

Ya, pada tahun-tahun yang jauh selepas SPM, bila mendengar tentang bekas-bekas pelajar yang teratas di ranking begini, saya akan diam-diam mengucap syukur kerana dia pernah ada dalam kelas saya, di maktab ini, di perkebunan ilmu ini, memaknakan erti sebenar satu proses pendidikan insan.

Dan di waktu itu, saya pun tidak lagi ingat pada bilangan A di slip SPMnya.

**Artikel ini diambil dari laman Facebook Wan Shahriza.

Penting! Jenis-Jenis Khairat Kematian Yang Perlu Anda Ambil Tahu

Khairat Kematian
Sumber: E2M

Ada sahabat Facebook saya baru diuji kehilangan suaminya yang tercinta bulan lepas. Beliau dalam proses buat tuntutan yang patut seperti KWSP, Perkeso, insurans dan sebagainya.

Selain tuntutan tersebut, ada lagi perkara yang ramai terlepas pandang. Ianya hak kita, maka tuntutlah bila berlaku kematian. Saya cakna akan hal ini pun lepas mak ayah tolong uruskan hal berkaitan selepas kematian almarhum adik saya pada 2017 dulu.

KHAIRAT KEMATIAN

Ada beberapa khairat kematian yang boleh kita tuntut:

1. Khairat Kematian ASB
*Jika ada buat simpanan ASB, boleh tuntut. Kadar bayarannya ialah antara RM200 ke RM2,000, bergantung kepada baki pelaburan kita yang terakhir.

2. Khairat Kematian Pencen
*Jika kita atau mak ayah pesara kerajaan, boleh tuntut khairat ini. Bernilai RM3,000.

3. Khairat Kematian Takaful
*Jika ada mencarum dalam skim takaful, boleh tuntut. Bayaran antara RM 2,000 ke RM5,000, bergantung skim yang disertai. Boleh rujuk agen takaful anda,

4. Khairat Kematian Bank Rakyat
*Kalau ada akaun Bank Rakyat, nilai khairat kematiannya ialah RM3,000.

5. Khairat Kematian KWSP
*Buat pencarum KWSP, khairat kematian ialah RM2,500.

6. Khairat Kematian PERKESO
*Kalau pernah mencarum PERKESO, nilai khairat kematiannya RM 2,000.

7. Khairat Kematian Penjawat Awam (JPA)
*Kalau pesara kerajaan atau kakitangan kerajaan nilai khairatnya RM3,000.

Edited:
*Untuk pesara kerajaan dan penjawat awam (meninggal dalam perkhidmatan) kita sebut sebagai BANTUAN MENGURUS JENAZAH, jumlahnya betul RM3,000.
Boleh tuntut melalui jabatan akhir gemulah (penjawat awam), dan melalui KWAP untuk pesara yang meninggal dunia (borang boleh mohon melalui KWAP).

8. Khairat Kematian Masjid
*Mencarum dalam skim khairat kematian masjid kariah kita. Jumlahnya bergantung pada masjid masing-masing.

9. Khairat Kematian Bantuan Sara Hidup (BSH)
*Sekiranya dulu menerima BR1M (sekarang BSH), ada khairat kematiannya. Jumlah saya tak pasti.

10. Khairat Kematian Pembayar Zakat
*Yang ini info baharu saya terima. Saya tak pasti mekanismanya. Boleh rujuk pusat zakat negeri masing-masing.

11. Khairat Kematian Ahli RELA
*Untuk yang pernah jadi ahli RELA, ada peruntukan khairat kematian RM2,500. Boleh rujuk kepada pejabat RELA berkenaan.

**Artikel ini diambil daripada Khairul Faizie.