Panggilan Telefon Befrienders Bantu Kurangkan Kesunyian Dan Rasa Ingin Bunuh Diri Rakyat Jepun

Perkhidamatan Telefon Di Jepun

Kemajuan teknologi Jepun menjadikan Jepun gah sebagai sebuah negara yang maju di mata dunia. Sehingga ada negara-negara di dunia menjadikan Jepun sebagai contoh seperti Malaysia yang mengamalkan dasar pandang ke Timur.

Namun sedarkah anda, di sebalik kemegahan kemajuan teknologi, rakyat negara matahari terbit ini sentiasa hidup dalam keadaan tertekan dan kemurungan?

Laporan pada 2017 menunjukkan hampir 20% daripada 10,000 orang rakyat Jepun mati disebabkan terlalu banyak bekerja (karoshi). Dalam sebulan, sekurang-kurangnya mereka bekerja lebih masa selama 80 jam.

Peningkatan kadar kematian disebabkan karoshi menjadikan kerajaan Jepun mengambil inisiatif seperti menggalakkan rakyat pulang kerja tepat pada waktu dan mengambil cuti untuk berehat dan melancong.

Akibat daripada tekanan dan masalah kemurungan juga, ramai rakyat Jepun bertindak dengan memilih untuk menamatkan riwayat hidup mereka sendiri dan menjadikan Jepun sebagai negara yang mempunyai kadar kes bunuh diri tertinggi di dunia.

Bagi mengatasi masalah tersebut, sebuah organisasi sosial di Tokyo, Befrienders Worldwide Tokyo telah menawarkan perkhidmatan panggilan hotline yang membolehkan rakyat Jepun mengadu dan bercerita mengenai masalah mereka.

Rakyat Jepun tidak mempunyai masa untuk melakukan hal-hal peribadi, oleh itu golongan pakar dan sukarelawan berpendapat dengan adanya talian ini, mereka boleh membantu rakyat untuk meluahkan perasaan dan mengurangkan bebanan perasaan.

Hampir kesemua daripada pengguna talian itu menyuarakan hasrat mereka untuk membunuh diri kerana sudah tidak tahan untuk hidup. Mengikut rekod, talian tersebut berjaya memberikan kesan sehingga 40% jika dibandingkan dengan trend yang pernah memuncak pada 2003.

Menawarkan perkhidmatan di seluruh Jepun, Befrienders menjalankan operasi setiap hari bermula 8 malam hingga 5.30 pagi. Setiap panggilan telefon akan disambut oleh 40 orang sukarelawan yang mana setiap kumpulan akan bekerja dalam kumpulan (empat orang satu kumpulan).

Di laluan dan lokasi popular pembunuhan diri akan ada iklan poster yang membolehkan rakyat menelefon talian hotline dengan mesej, “Adakah anda berasa sedih? Ada orang yang akan membantu anda.”

Pada 2018, kebanyakan daripada pemanggil adalah daripada mereka yang berusia 30-an dan 40-an dengan 56% adalah pemanggil wanita dan 43% adalah daripada golongan lelaki.

Sikap masyarakat yang tertutup menjadikan mereka sangat sukar untuk bersikap terbuka bercerita mengenai hal-hal peribadi, terutamanya lelaki.

Sumber: Astro Awani

Speak Your Mind

*