Sebagai sebuah negara membangun yang kadar celik huruf sekitar hampir 95 peratus, pelbagai subjek diajar di sekolah. Malang sekali, mata pelajaran Pendidikan Sivik ditenggelami dengan subjek lain yang dianggap lebih kritikal untuk keperluan negara seperti Matematik dan Sains.
Dalam ucapan untuk merasmikan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan 2019 pada Selasa, Tun Dr. Mahathir meluahkan rasa malu dengan keadaan tadas awam di Malaysia yang tidak bersih dan busuk sekali gus mencerminkan sikap rakyat tanah air ini tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
Dr. Mahathir berkata, Malaysia berdepan masalah sivik dalam kalangan masyarakat yang melakukan pelbagai perkara tidak baik seperti membuang sampah merata-rata dan mencuri air, paip, elektrik serta lampu-lampu jalan.
“Saya malu kerana saya sering kali pergi ‘inspection’ tandas di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak dan biasanya tidak dan busuk. Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita, sepatutnya kita berasa malu dengan keadaan itu.
“Sekarang kita mempunyai masalah sampah di sekeliling yang dibuang merata tempat selain kes kecurian air, paip, elektrik dan juga lampu jalan. Ini berlaku kerana kita tiada nilai sivik yang tinggi,” katanya.
Katanya lagi, keadaan itu berbeza dengan tandas awam di negara lain yang sentiasa bersih dan tidak berbau busuk.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir berharap, pendidikan sivik yang diperkenalkan di sekolah sejak Jun lalu akan membentuk masyarakat dan individu di Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin, bertimbang rasa terhadap pihak lain.
Konklusinya, rakyat Malaysia perlu mempunyai tahap kesedaran sivik yang tinggi selaras dengan status kita sebagai negara yang membangun maju dari semasa ke semasa.
Sumber: Utusan