Tip Latih Anak Berpuasa Seawal Usia 5 Tahun Cara Angkasawan Negara

Tip Latih Anak Berpuasa

Tibanya bulan Ramadan memberi keterujaan bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk mendidik mereka berpuasa.

Bayangkanlah si kecil berusia lima dan enam tahun yang semakin petah berbicara dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai puasa menjadikan ibu bapa lebih prihatin untuk menjelaskan mengenai ibadah puasa serta membuat persiapan untuk si kecil.

Ini disebabkan tanpa persediaan mental dan fizikal, dikhuatiri puasa itu tidak dapat memberikan kesan positif kepada anak-anak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan paksaan.

Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor mendedahkan kedua-dua anaknya, Sophea Isabella, 8, dan Sophea Natasha, 7 mula berpuasa ketika usia mereka mencecah lima tahun di laman Instagramnya.

Berdasarkan pengalamannya melatih anak berpuasa, Sheikh Muszaphar berkongsi lima amalan yang diterapkan kepada anak-anaknya.

5 tip mudahkan anak berpuasa:

1. Beri galakan kepada mereka

Kita mungkin berfikir mereka terlalu muda untuk berpuasa tetapi jangan memandang rendah dengan kemampuan mereka. Beritahu mereka mengapa umat Islam perlu berpuasa dan manfaat Ramadan.

Puji apabila mereka dapat berpuasa walaupun sehari. Kanak-kanak akan memahami apabila kita memberitahu mengenai puasa dalam bentuk cerita. Ia membuatkan mereka berkobar-kobar mahu seperti orang dewasa dan membuktikan sesuatu.

2. Alihkan perhatian mereka

Kadangkala apabila sudah tiba waktu petang, mereka tidak mampu bertahan dan mahu berbuka puasa. Kebanyakan ibu akan membenarkan anak-anak mereka untuk minum sebab tidak sampai hati.

Jangan melakukan sedemikian, sebaliknya lakukan aktiviti yang boleh mengalihkan perhatian mereka. Contohnya, berjalan di taman, pusat membeli-belah, bermain dan sebagainya.

Tip Latih Anak Berpuasa
Sumber: Cempedak Cheese

3. Teruskan dengan aktiviti harian mereka

Dengan aktiviti yang padat mereka ada, masa akan berjalan begitu cepat sehingga tidak sedar seharian mereka sudah berpuasa.

* Jika dalam bulan Ramadan ini aktiviti mereka kurang, carikan aktiviti lain tetapi tidak terlalu memenatkan untuk mereka.

4. Makan makanan yang memberi tenaga ketika sahur

Disyorkan makanan tinggi karbohidrat untuk pastikan mereka bertenaga sepanjang hari. Seperti anak-anak Angkasawan Negara, mereka diberi makan bijirin dan roti ketika sahur (kurma pun bagus juga).

Nasi membuatkan mereka mudah mengantuk dan sukar untuk bangun ke sekolah. Tidurkan anak-anak seawal 10 malam selepas solat tarawih dan kejutkan mereka pada pukul 5 pagi untuk sahur. Boleh berikan mereka tidur sekejap sebelum bangun untuk solat Subuh dan bersiap-siap ke sekolah.

5. Kekal hidrasi

Kanak-kanak perlu banyak minum air kosong untuk mengekalkan hidrasi. Elakkan minuman manis setiap masa (boleh minum untuk berbuka sahaja).

Ketika anak-anak berumur 5 tahun, itulah waktu terbaik untuk mengajar mereka berpuasa walaupun setengah hari. Jangan cepat mengalah berikan anak anda minuman apabila mereka memintanya. Ajarkan mereka untuk bersabar selagi boleh.

Menerusi entri yang sama beliau turut memuat naik video anak-anak ketika bersahur. Rata-rata pengikutnya gembira dengan perkongsian tersebut kerana memberi inspirasi mereka untuk mendorong anak-anak mereka berpuasa.

Jadi, bolehlah cuba tip yang diberikan Angkasawan Negara kita ini. Ikuti laman Instagram beliau untuk mengetahui lebih banyak lagi cara didikan anak-anak.

Speak Your Mind

*