Sesuatu ritual atau budaya yang kita sendiri tidak mengalaminya pasti akan menganggap aneh dan pelik. Walaupun kedengaran aneh, tetapi tradisi itu telah pun dilakukan bertahun-tahun malah bertahan lebih lama.
Ingin merasai pengalaman bagaimana keadaan berada di dalam kubur? Di Korea Selatan ada penyelesaiannya dan perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma.
Sebenarnya, ritual ini telah pun diadakan sejak 2012 yang mana lebih 25,000 orang telah mengambil bahagian dalam acara pengebumian diri sendiri di Hyowon Healing Center. Ia bertujuan dengan harapan mampu memperbaiki kehidupan peserta dengan mensimulasikan kematian mereka.
Upacara ini turut popular dalam kalangan remaja hingga pesara akan memakai pakaian pengembumian, memegang potret, menandatangani surat terakhir dan berbaring di dalam keranda tertutup selama 10 minit.
Ketua pusat berkenaan, Jeong Yong-mun berkata kebanyakan peserta yang hadir itu mengalami masalah kemurungan dan mahu ‘muhasabah diri’ jika mengambil keputusan mengambil nyawa mereka sendiri.
“Saya mahu mereka tahu bahawa mereka sangat penting dan orang lain akan sedih jika mereka pergi,” katanya.
Nampaknya, amalan mengingati mati semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia.