Pihak berkuasa Kabupaten Raja Ampat mewujudkan inisiatif program menawarkan syiling emas sebagai pertukaran untuk sampah sarap yang dikumpul bagi mengekalkan kebersihan pulau itu.
Memetik laporan agensi berita Antara, bersempena Festival Bahari (Maritime Commemoration) dari 19 hingga 22 Oktober ini, para penduduk dan pelancong boleh menukar sampah plastik seberat 15 kilogram dengan 1 gram syiling emas!
Menurut Pengurus Lembaga Pelancong Raja Ampat, Ranny Iriani Tumundo, program pertukaran sampah dengan syiling emas itu akan diadakan di Pantai Raja Ampat bagi mendidik masyarakat setempat dan pelancong kepentingan memulihara alam sekitar.
Kepulauan Raja Ampat terdiri daripada empat pulau utama iaitu Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati dan Pulau Batanta. Kepulauan Raja Ampat, yang terletak di bahagian barat wilayah Papua Barat, terkenal dalam kalangan penyelam kerana keindahan batu karang, panorama kepulauan yang memukau.
Diiktiraf sebagai syurga laut tercantik di dunia bagi peminat rekreasi selam skuba kerana memiliki kepelbagaian hidupan laut yang sangat tinggi. Daerah ini memiliki sekitar 550 jenis karang, 700 kerang, 500 siput, 150 sotong dan lebih 1000 jenis ikan karang tropika.
Sumber: Bernama