31 Julai lalu, genaplah berlalunya 32 tahun selepas tragedi hitam runtuhnya jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim.
Mengenang kembali kisah ini, kejadian yang berlaku pada 31 Julai 1988 (Ahad) pada jam 4.40 petang itu telah menyebabkan seramai 32 orang terkorban dan 1,674 yang lain cedera.
Tragedi yang disebabkan oleh kegagalan struktur konkrit dan muatan berat itu dikatakan berpunca daripada kesesakan teruk di sana susulan sambutan dua perayaan secara serentak, iaitu:
- Pesta Dewi Kwan Yin (Dewi Pemurah) yang melibatkan kaum Cina di Georgetown yang diadakan 60 tahun sekali mengikut kalendar China, dan
- sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam.
Pada ketika itu, dikatakan lebih kurang 10,000 orang berkumpul di sana termasuklah pelancong Singapura, Hong Kong dan Taiwan.
Selain daripada pengunjung yang datang mahu menyambut dua perayaan tersebut, ada juga pengunjung yang datang sekadar untuk menikmati keindahan matahari terbenam dan menggunakannya sebagai laluan ke Padang Kota.
Dibina pada tahun 1956, Pangkalan Sultan Abdul Halim mempunyai dua tingkat yang mana tingkat atas digunakan sebagai laluan penumpang dari stesen bas dan tingkat bawah pula untuk laluan kenderaan keluar dan masuk.
Struktur binaan daripada besi konkrit (tiang), papan tebal (lantai) dan besi tumpat (gelegar lantai, pagar, dinding) tidak mampu menampung ‘berat’ penumpang menyababkan gelegar besi jambatan terminal bengkok dan patah, malah lantai-lantai papan, dinding besi dan bumbung roboh ke bawah.
Disebabkan runtuhan tersebut, penumpang yang berada di bahagian atas menggelongsur ke bawah kemudiannya dihimpit oleh tiang dan pelantar papan. Kenderaan yang melalui tingkat bawah remuk ditindih jambatan bahagan atas.
Siaran Buletin Utama TV3 31 Julai 1988
Selepas daripada tragedi itu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah membuat semula kajian terhadap kesesuaian dan kecekapan penggunaan feri antara Butterwth dengan Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah Pulau Pinang.
Sejak dari itu, penumpang bas ekspres tidak lagi diturunkan di Stesen Butterwoth sahaja, tetapi juga di Sungai Dua dan Gelugor.
Biarpun sudah 32 tahun berlalu, tragedi ini masih segar dalam ingatan mereka yang terselamat.
Menggambarkan kejadian tersebut seperti babak gempa bumi, suri rumah, Alice Mary Albert Rajoo, 45 tahun memberitahu pada ketika itu beliau cuma gadis berusia 13 tahun dan sehingga kini ketakutan untuk menaiki feri masih ada.
“Kesesakan di sana memang luar biasa, sesuatu yang tak pernah saya saksikan sebelum ini. Ramai orang tidak beratur untuk membeli tiket dan memotong barisan ke kawasan menunggu feri. Masing-masing saling bertolakan.
Saya melihat orang ramai jatuh, cedera parah dan meminta tolong dalam keadaan tidak bermaya. Darah di mana-mana. Saya ingat saya melihat bayi tercedera, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia terselamat atau pun tidak.
Hari tersebut merupakan hari terburuk dalam kehidupan kami.”
Tragedi ini kemudiannya dijadikan dokumentari dalam satu program TV3, Detik Tragik pada 11 April 2015 dan 2 Ogos 2015.
Speak Your Mind