Tahukah anda ada kucing yang memiliki kertas saintifiknya sendiri? Jom kenali satu-satunya kucing bijak yang ‘menulis’ kertas kajian.
Chester merupakan baka kucing jenis siam yang diberikan pengiktirafan dalam menulis kertas kajian saintifik bersama pemiliknya, Profesor Michigan Jack Hetherington.
Sejarah ini bermula apabila Hetherington secara tidak sengaja telah menggunakan perkataan we (kami) dan our (kami) yang sepatutnya ditulis sebagai I (saya) dalam kertas kajiannya.
Jack H. Hetherington bukanlah satu nama asing dalam bidang fizik. Merupakan seorang profesor di Universiti Michigan State, kesalahan perkataan tersebut dalam kertas kajian bertajuk “Two-, Three-, and Four-Atom Exchange Effects in bcc 3He” yang disiapkan pada awal tahun 1975 itu disedari apabila beliau memberikannya kepada rakan sekerja beliau untuk bacaan.
Menurut rakannya, kertas kajian yang menggunakan kata ganti nama jamak itu hanya akan diterbitkan pihak Physical Review Letters sekiranya kertas kajian tersebut dikarang lebih daripada seorang pengarang.
Sedar dengan kesalahan yang membawa kepada makna kertas tersebut ditulis lebih daripada seorang penulis dan terlalu malas untuk menaip semula kertas tersebut menggunakan mesin taip menyebabkan Hetherington menambah Chester sebagai penulis bersama kajian tersebut.
Sedar sekiranya meletakkan nama Chester, kertas kajiannya akan menimbulkan persoalan terutamanya kepada rakan-rakannya yang mengenali kucing peliharaannya itu, Hetherington mendaftarkan nama F.D.C Willard yang merujuk kepada maknan Felis Domesticus Chester, dan menambah nama ayah Chester iaitu Willard di belakang singkatan tersebut.
Dan akhirnya, kertas kajian Hetherington berjaya diterbitkan dalam Isu ke-35 oleh pihak Physical Review Letters dengan tapak kaki Chester sebagai tanda tangan F.D.C Willard.
Untuk pengetahuan anda, Felis domesticus merupakan nama saintifik yang merujuk kepada kucing domestik.
Sumber: F.D.C Williard, Info Kini
Speak Your Mind