Sebagai seorang Muslim, memang tidak dapat dinafikan perasaan gembira apabila menerima saudara baharu yang memeluk agama Islam.
Selepas lapan tahun jatuh cinta dalam diam terhadap Islam, malah kerap mengalami mimpi ditauliahkan sebagai penceramah agama dan menjejakkan kaki ke Mekah membuatkan pemuda cina ini nekad memeluk Islam.
Mohd Dylan Yap Abdullah telah melafazkan dua kalimah syahadah pada 14 Mei tahun lalu kini sedang mendalami Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa.
Memetik laporan BH, beliau tertarik terhadap Islam ketika belajar di sekolah mengengah dan seorang rakaanya pernah menghadiahkan sebuah buku mengenai kisah 25 rasul.
“Dalam buku itu ada dinyatakan mengenai peraturan dalam Islam, solat lima waktu dan segala yang baik mengenai Islam. Namun ketika itu pemahaman saya masih belum jelas dan tiada sesiapa yang boleh dirujuk sehingga tahun lalu saya diberi petunjuk oleh Allah melalui mimpi yang sama selama empat bulan membuatkan saya nekad memeluk Islam,” katanya.
Tidak semua perkara baharu yang kita lakukan diterima orang sekeliling. Begitu juga apa yang menimpa Mohd Dylan kerana tahun ini merupakan tahun pertama beliau meraikan sambutan Tahun Baharu Cina tanpa keluarga di sisi.
Hasratnya memeluk Islam mendapat tentangan hebat daripada keluarga terutama ibunya, malah mereka belum mengetahui Mohd Dylan benar-benar sudah menjadi mualaf.
Mohd Dylan turut berasa sedih kerana layanan tunangnya tidak semesra dahulu apabila bertukar agama. Meskipun ramai dalam ahli keluarganya tidak bersetuju, tetapi ibu saudaranya merestui tindakannya, malah menasihati agar memilih wanita yang baik dan berakhlak mulia untuk dijadikan isteri suatu hari nanti.
“Saya juga berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Jordan suatu hari nanti dan jika diberi peluang, ingin berkhidmat di mana-mana institusi agama Islam,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Speak Your Mind