Mahu Anak Kuasai Pelbagai Bahasa, Ibu Hantar Anak Masuk SJK

Ibu bapa mana tidak memikirkan kebaikan demi masa depan anak-anak? Pastinya, semua ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka.

Belakangan ini, ramai ibu bapa Melayu yang makin berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan (SJK) berbanding sekolah biasa. Mungkin ada pelbagai faktor yang menyebabkan ibu bapa masa kini cenderung menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan.

Seperti seorang ibu ini, Nurul Fadznie Ashikin Hairul, 27, mengambil keputusan menghantar anak sulungnya, Siti Nur Husna belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk persekolahan tahun 2020.

Memetik laporan Sinar Harian, Nurul Fadzie menghantar anaknya ke sekolah tamil bagi memenuhi hasrat ibu mentua yang mahu cucu-cucunya menguasai pelbagai bahasa.

“Saya dan suami tidak kisah anak belajar di SJKT kerana anak akan menguasai bahasa lain dan kelebihan komunikasi.

“Keputusan itu juga bagi memenuhi hasrat ibu mertuanya, Sharifah Ismail, 60, yang mahukan cucu-cucunya menguasai bahasa lain,” katanya.

Selain anaknya dihantar ke sekolah jenis kebangsaan, anak saudaranya turut dihantar bersekolah di SJK Cina demi memenuhi impian ibu mentuanya itu.

Mengetahui cabaran anak menghadapi pembelajaran di SJK, beliau sebelum ini telah menghantar anaknya ke tadika yang menggunakan bahasa penghantar Tamil sebagai persediaan awal.

Hantar Anak Ke SJK Tunai Hasrat Mentua
Sumber: FB

“Memang di tadika, dia (Husna) satu-satunya pelajar Melayu dan di sekolah kali ini pun situasi sama,” katanya.

Malah, anak sulungnya itu turut bergembira dan teruja serta tidak kekok belajar di sekolah Tamil dan bergaul dengan rakan-rakan berbangsa India. Katanya, Husna kini mampu berkomunikasi dalam bahasa Tamil walaupun belum fasih sepenuhnya.

“Buat masa ini saya dan suami tidak pernah mendengar kritikan atau kata-kata kurang enak dengan keputusan kami menghantar anak ke sekolah Tamil sebaliknya terima kata-kata positif dan rangsangan daripada ahli keluarga lain serta jiran-jiran,” katanya.

Pasangan itu juga merancang untuk menghantar dua anaknya lain ke sekolah berbeza sama ada aliran agama atau bahasa agar masing-masing dapat menguasai kemahiran berlainan.

Jika kebanyakan ibu bapa Melayu menghantar anak ke SJK, berbeza pula dengan ibu bapa warga India ini yang menghantar anaknya ke PASTI.