Misteri Di Sebalik Tarian Tradisional ‘Berhantu’ Ulek Mayang

Sebut sahaja tarian Ulek Mayang, ramai yang mula seram sejuk. Apa misteri di sebalik tarian dan lagu ini? Merupakan antara lagu rakyat yang popular didendangkan, lagu ini seakan mempunyai ‘semangatnya’ yang tersendiri.

Berasal dari Terengganu, Malaysia, Ulek Mayang merupakan tarian penyembahan yang mana biasanya diiringi dengan orkestra Melayu seperti gong, gendang, biola dan akordian dengan kepercayaan boleh menyembuhkan penyakit.

Perkataan ‘ulek’ itu sendiri membawa makna menyeru dengan memujuk supaya kembali semula (merujuk kepada makhluk halus). Biasanya dilakukan pada waktu malam apabila tiba musim puja pantai, lirik Ulek Mayang sebenarnya mempunyai unsur-unsur mantera yang menyeru semangat.

Banyak versi lagenda tarian Ulek Mayang, antaranya berasal daripada upacara rawatan kuno yang dilakukan oleh seorang bomoh ke atas seorang nelayan yang berada dalam keadaan tidak sedar, dipercayai telah dipukau oleh seorang puteri bunian yang jatuh cinta kepadanya.

Percubaan bomoh untuk membawa pulang roh nelayan itu kemudiannya menyebabkan puteri tersebut menyeru lima orang lagi saudaranya untuk ‘bertarung’ dengan bomoh tersebut.

Misteri Di Sebalik Tarian Berhantu Ulek Mayang

Pertarungan antara keduanya telah menyebabkan gegaran pada bumi dan menggolak laut berlanjutan sehinggalah munculnya puteri ketujuh dan puteri sulung.

“Ku tahu asal usulmu. Yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat.” – Puteri ke-7

Terhutang budi dengan puteri sulung, bomoh dan rakan-rakan nelayannya menyampaikan sembahan berbentuk nasi berwarna kuning kepada sang puteri. Tradisi menghargai bantuan semangat-semangat laut ini kemudiannya diamalkan sehinggalah kedatangan Islam ke Tanah Melayu.

Seiring dengan zaman, lagu Ulek Mayang turut mengalami pembaharuan atau pun intrepretasi kontemporari. Antara versi yang popular ialah versi rock nyanyian daripada Ratu Rock Malaysia, Ella dan versi instrumental oleh kumpulan metal Malaysia, Cromok.

Speak Your Mind

*