Kita mungkin sudah biasa mendengar sambutan hari sedunia seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Pekerja yang disambut setiap tahun. Tapi, tahukah anda ada sambutan hari sedunia yang disambut dalam masyarakat dunia yang kita sendiri tidak terlintas pun wujudnya sambutan tersebut, iaitu ‘Hari Tidur Sedunia’.
Tanggal 13 Mac tahun ini bersamaan hari Jumaat pada hari ini merupakan Hari Tidur Sedunia (World Sleep Day).
Tak sangka wujud juga Hari Tidur Sedunia.
Ia merupakan acara tahunan yang disambut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang kepentingan tidur dan berehat, termasukah dalam bidang perubatan, pendidikan, aspek sosial dan juga memandu.
Sambutan ini diperkenalkan oleh sekumpulan komuniti yang dikenali sebagai World Sleep Day Committee of World Sleep Society dengan menerangkan pentingnya tidur dan juga cara menghalang masalah tidur.
Kumpulan ini terdiri daripada pengamal perubatan yang bekerja dalam bidang kesihatan, khususnya dalam penyelidikan berkenaan tidur.
Pemilihan hari sambutan ini diadakan pada hari Jumaat sebelum fenomena Spring Vernal Equinox yang berlaku setiap tahun. Justeru, sambutan tahun ini diadakan pada 13 Mac dan tahun berikutnya jatuh pada 12 Mac 2021.
Jika tidak cukup tidur belakangan ini, ambillah peluang untuk tidur dengan betul pada kali ini demi kesihatan anda.