Papan Tanda Di Korea Selatan Sudah Mula Sokong Penggunaan Bahasa Melayu

Selain negara jiran, Korea Selatan turut menjadi destinasi percutian paling digemari pelancong Malaysia. Bukan hanya kerana pengaruh muzik K-Pop tetapi keindahan negara itu sendiri yang membuatkan ramai pelancong tertarik untuk ke Korea.

Walaupun belakangan ini kecoh apabila ramai juga rakyat Malaysia terkandas di imigresen atas beberapa faktor yang tidak dapat dipastikan, ia tetap tidak menjadi halangan kepada yang lain untuk ke negara itu.

Jika ke sana, pastilah perlu mengetahui perkara asas dalam bahasa Korea untuk memudahkan komunikasi – walaupun mereka juga pandai berbahasa Inggeris. Namun, kita tidak perlu gusar lagi kerana Korea Selatan telah menyokong penggunaan bahasa Melayu.

Ini dapat dilihat melalui beberapa papan tanda di negara itu mempunyai tulisan yang menggunakan bahasa Melayu. Disebabkan ramai rakyat Malaysia berkunjung ke sana, maka tulisan bahasa Melayu turut disenarai pada papan tanda di sana.

Papan Tanda Bahasa Melayu Di Korea Selatan
Sumber: FB

Perkara ini dikongsi seorang pengguna Facebook iaitu Zakaria Azizi di Group Malay Dialects (Indonesia, Malaysian and Other Malay Variants). Katanya, kebanjiran pelancong Nusantara ke Korea Selatan sejak belakangan ini membuatkan kerajaan sana berbesar hati memasukkan bahasa Melayu pada papan tanda di kawasan tumpuan pelancongan.

Untuk makluman, bahasa Melayu merupakan bahasa keenam paling banyak dituturkan di dunia dengan sebanyak 290 juta manusia merentasi Selat Melaka, termasuklah pantai-pantai di Semenanjung Malaysia dan pantai timur Sumatera. Bahasa Melayu berada dalam keluarga Austronesia dan Malayo-Polynesia – bahasa utama di Malaysia, Brunei, Singapura dan salah satu bahasa di Indonesia.

Papan Tanda Bahasa Melayu Di Korea Selatan
Sumber: FB

Hal ini menunjukkan penerimaan bahasa Melayu masih meluas walaupun bukan dari negara asal bahasa tersebut. Usaha yang dilakukan kerajaan Korea harus dipuji walaupun penggunaan tatabahasanya kurang tepat namun penyampaiannya masih boleh difahami.

Sumber: Malay Dialects (Indonesia, Malaysian and Other Malay Variants)Iluminasi

Speak Your Mind

*