Baru-baru ini, penyelidik Israel telah menemui ganja yang dipercayai sudah berusia 3,000 tahun di sebuah kuil kuno yang dibangunkan sekitar 750SM.
Ganja yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan kesan halusinasi dalam ritual keagamaan itu ditemui di kawasan pintu masuk kuil kuno yang digali kira-kira 50 tahun lalu.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Tel Aviv mengaitkan kesan pembakaran yang ditemui berserta dengan kesan bahan kemenyan dibakar kemungkinan merupakan sebahagian daripada ritual yang dijalankan di kuil tersebut bagi merangsang ekstasi sebagai sebahagian daripada upacara kebudayaan.
Menurut jurnal tersebut, sejak zaman prasejarah lagi ganja seringkali digunakan di kawasan Timur Kuno dan sekitarnya sebagai salah satu bahan untuk menimbulkan halusinasi dalam ritual keagamaan. Namun ini adalah pertama kali bukti fizikal dikenal pasti menunjukkan suku Judah turut menggunakan ganja dalam upacara.
Pasukan penyelidik dari Muzium Israel dan Pusat Volcani yang bekerjasama menggunakan dua kaedah untuk mengenal pasti kanabinoid iaitu kromatografi cecair dan kromatografi gas.
Penyelidik memberitahu mereka tidak jelas bagaimana ganja tersebut diperoleh namun menjangkakan ianya mungkin diimport dari satu lokasi yang jauh menggunakan resin kering atau pun hasyis. Bagi membakar ganja dan mengeluarkan asap, ganja akan dicampurkan dengan najis haiwan untuk membolehkan pemanasan ringan.
Dalam satu kajian yang berasingan yang diterbitkan dalam dokumentasi tahun lalu mendapati pengamal daripada pelbagai budaya telah menggunakan ganja selama ribuan tahun dalam bentuk dan tujuan yang berbeza.
Antaranya, ganja di Tibet dianggap sebagai satu tanaman suci, memudahkan meditasi dalam Buddhisme Tantrik dan digunakan sebagai ubat dalam perubatan Arab bagi mengubati jangkitan telinga, penyakit kulit, kembung perut, demam serta muntah.
Sumber: Marijuana Moment
Speak Your Mind