Jika ditanya para pendaki, gunung apakah yang teringin sekali untuk ditawan walaupun sekali seumur hidup, pastilah antaranya Gunung Rinjani yang terletak di Lombok, Indonesia.
Baru-baru ini, Agensi Taman Nasional Gunung Rinjani (TNGR) ingin perkenalkan peraturan baharu iaitu khemah penginapan buat para pendaki bujang lelaki dan perempuan di kaki gunung akan dipisahkan.
Peraturan ini diusulkan sebagai usaha pemerintah tempatan menyokong industri pelancongan halal di Lombok.
“Perkara ini masih dibincangkan, kami dalam usaha untuk melaksakan peraturan itu,” kata Ketua TNGR, Sudiyono seperti dilaporkan di portal berita The Jakarta Post.
Menurut Sudiyono, setakat ini agensi berkenaan memperkenalkan peraturan berteraskan syariah itu pada pihak swasta dan berkepentingan. Beliau turut memberi jaminan bahawa terdapat ruang yang mencukupi untuk memisahkan khemah bagi pengunjung lelaki dan wanita.
“Kami perlu mengasingkan (kawasan khemah) khemah lelaki di sebelah kanan dan khemah wanita di sebelah kiri,” katanya sambil memberitahu bahawa peraturan itu hanya terpakai untuk pendaki bujang.
Manakala, bagi pendaki yang ada pasangan (berkahwin) dibenarkan duduk dalam khemah yang sama.
Katanya, idea pelaksanaan peraturan baharu itu dikemukakan oleh masyarakat tempatan di persekitaran Gunung Rinjani.
Masyarakat di kawasan pelancongan itu percaya bahawa kejadian gempa bumi yang berlaku tahun lalu disebabkan aktiviti tidak bermoral dilakukan pendaki.
Polisi itu akan diperkenalkan kepada orang awam pada bulan hadapan.
Bagus juga jika peraturan ini dilaksanakan. Datang ke tempat orang, kita perlu hormati dengan menjaga adab tidak kiralah sama ada terhadap masyarakat tempatan dan alam sekitar.
Sumber: The Jakarta Post
Speak Your Mind