Produk Halal dari New Zealand

Permintaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat di seluruh dunia. Kajian menunjukkan industri halal global semakin meningkat antara $3 trilion (RM12.55 trilion) dan $4 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, dan disokong dengan permintaan tinggi dari kedua-dua pengguna umat Islam dan bukan Islam.

halal New Zealand
Sumber: About Islam

Peningkatan penganut agama Islam di seluruh dunia, tahap peningkatan pendapatan dan tahap kesedaran tentang makanan halal merupakan tonggak utama terhadap pertumbuhan industri halal ini. Asia ialah penyumbang utama ke arah pasaran halal antarabangsa memandangkan dua pertiga penduduk Muslim dunia berada di rantau ini.

Perkembangan industri halal ini menjadi pemacu bukan sahaja untuk Muslim, tetapi mereka yang bukan beragama Islam juga mencari makanan berstatus halal kerana percaya dengan produk yang dijamin bersih dan berkualiti tinggi.

halal New Zealand
Sumber: Bron Marshall

Melihat pada itu, tidak hairanlah syarikat industri makanan berebut peluang untuk membangunkan produk makanan halal dan menginginkan produk mereka menjadi produk makanan halal terbaik dunia. Negara New Zealand juga tidak terkecuali merebut peluang seperti itu.

Sejak beberapa tahun, syarikat New Zealand telah menjadi rakan kongsi Malaysia yang ingin memperluaskan penawaran halal mereka kepada pengguna di seluruh dunia. Selain itu, status Malaysia sebagai peneraju dunia dalam ekonomi halal memberikan syarikat makanan New Zealand pilihan yang jelas untuk menjadi rakan kongsi.

Sebagai rakan kongsi, Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) bekerjasama rapat dengan JAKIM untuk memastikan produk makanan yang datang dari New Zealand ke Malaysia dilengkapi dengan sijil halal yang disahkan JAKIM. Ini juga membantu mengubah pemikiran tradisional tentang status halal yang hanya menjadi simbol agama Islam sahaja.

Di New Zealand pula, New Zealand Trade and Enterprise juga membantu syarikat tempatan mematuhi konsep halal dalam penghasilan produk mereka. Ini bermakna mereka tidak perlu menembusi pasaran Malaysia dahulu untuk mendapatkan status halal.

Sehingga kini, lebih daripada 90 peratus daripada daging lembu dan kambing telah mematuhi piawaian halal Malaysia. Syarikat seperti ANZCO FoodAngel Bay Beef and Lamb dan juga SHOTT Beverages yang berpangkalan di Wellington sudah menyaksikan jualan mereka meningkat setelah mendapat status halal.

halal New Zealand
Sumber: C4 Coffee

Ternyata ia membawa keuntungan kepada syarikat produk makanan dan minuman New Zealand apabila menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi produk halal. Begitu juga dengan negara-negara luar Asia Tenggara yang mengambil langkah ke arah pematuhan halal.

Contohnya, sebagai persediaan untuk Piala Dunia Rugby pada tahun 2019 dan Sukan Olimpik 2020, Jepun mengambil peluang memperbanyakan produk makanan halal untuk meningkatkan pasaran mereka di peringkat dunia.

Natijahnya, perkara ini merupakan berita baik kepada pengguna Muslim berdasarkan peningkatan permintaan makanan halal di seluruh dunia. Semoga industri halal terus meningkat di seluruh dunia agar pengguna seluruh dunia mendapat jaminan kebersihan makanan dan berkualiti.

Sumber: New Straits Times