Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan lafaz sumpah muhabalah di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.
Akuan sumpah itu adalah sebagai penafian terhadap dakwaan Azilah Hadri. bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Polis bahawa beliau telah mengeluarkan arahan untuk membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Mengulas kepada isu berkenaan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menguatkuasakan larangan majlis berkaitan sumpah dan sumpah laknat dilakukan di masjid.
Ini kerana fungsi dan peranan masjid dalam Islam adalah sebagai lokasi pembinaan kerohanian, pengukuhan sosial umat Islam, pembelajaran dan pendidikan selain daripada tempat meleraikan permasalah kehidupan dan sebagainya.
Kata beliau, institusi masjid tidak seharusnya dimanipulasi oleh mana-mana pihak walaupun ianya membabitkan kepentingan awam atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.
Tambahnya lagi, pada masa ini wujud mahkamah untuk menyelesaikan isu perundangan yang lebih sesuai dan tepat untuk melakukan sumpah.
Akan tetapi, sumpah laknat tiada dalam perundangan Islam, sebaliknya hanya wujud dalam bab berkaitan li’an yang mana suami menuduh isterinya melakukan zina atau menafikan bayi yang dikandung isterinya sebagai anak.
Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya akan diambil kira atau dilakukan apabila diminta kadi atau hakim yang dilaksanakan selepas pendakwaan sudah dilakukan, bahan bukti sudah dikemukakan serta keterangan saksi didengar.
Malah perkara berkaitan sumpah laknat ini turut disentuh oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menyatakan ianya adalah tidak wujud dalam Islam, sebaliknya yang ada hanya sumpah dengan menyebut nama Allah dan tidak semestinya dilakukan di masjid.
Bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad pula memberitahu sumpah memang dibenarkan dalam Islam bagi menyatakan sesuatu perkara itu tidak dilakukan, namun bukannya sumpah laknat seperti yang disebut kini.
Sumber: Berita Harian
Speak Your Mind