Tekanan Emosi Seawal Usia Sekolah Rendah Antara Punca Pelajar Tiada Semangat Belajar

Tekanan emosi dalam kalangan pelajar bukanlah sesuatu yang baharu pada era ini. Kita sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja.

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2012 menunjukkan peratusan golongan muda mengalami masalah kesihatan mental lebih tinggi berbanding golongan dewasa.

Pendedahan yang dikongsi oleh penceramah motivasi, Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi sungguh mengejutkan bahawa tekanan emosi turut dihidapi mereka seawal umur 11 tahun dan perkara ini sememangnya berlaku dalam kalangan pelajar Malaysia.

Menurutnya, kanak-kanak boleh mengalami tekanan emosi seperti merasai kebimbangan, ketakutan berlebihan dan jika tidak dikawal boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.

Tekanan emosi yang terjadi kepada anak-anak muda ini berpunca daripada keadaan sekeliling misalnya keluarga yang menyebabkan mereka tiada semangat untuk belajar.

“Setiap kali ceramah motivasi, saya akan minta pelajar datang ke depan dan tulis kenapa rasa tak semangat belajar,” coretnya di Twitter.

Akhi Fairuz Al-Jengkawi@akhifairuz_Setiap kali ceramah motivasi, sy akan minta pelajar dtg ke depan & tulis knp rasa tak semangat belajar. Maka, inilah jwpn yg kerapkali ditulis. Murid darjah 5. Bygkan baru umur 11 tahun tp dah lalui semua ni. Stress dikalangan bdk2 zmn skrg real! Mrk tak ada tempat nak luahkan.

Ciapan beliau yang turut memuat naik tiga foto menunjukkan luahan perasaan pelajar peserta program motivasi. Antaranya mengakui tertekan kerana dibandingkan dengan sepupu, dipandang rendah guru sendiri, dipukul ibu bapa, kehilangan ahli keluarga dan terlibat dengan jenayah dadah.

Tekanan Emosi TIada Semangat Belajar
Sumber: Twitter

Pendedahan itu membuatkan ramai terkejut dan berpendapat ibu bapa dan keluarga sekeliling perlu memainkan peranan cukup penting sebelum isu tekanan emosi menjadi parah.

Justeru, ibu bapa seharusnya selami hati dan jiwa raga anak. Jangan sekadar menaruh harapan atau menabur kemewahan dan perasaan mereka semakin jauh dipinggirkan.

Sumber: Twitter Akhi Fairuz Al-Jengkawi

Speak Your Mind

*