Muntah Paus

May be an image of text

Muntah paus harga kira-kira RM500,000 jika tulen

Kuala Terengganu: “Jika ia (muntah ikan paus) tulen dan berkualiti tinggi, nilai dengan berat yang dikatakan lima kilogram itu, ia dianggarkan bernilai sekitar RM500,000,” kata Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.

Menurutnya, bagi memastikan objek itu tulen atau sebaliknya, kajian terperinci perlu dilakukan dan kini pihaknya sedang menunggu sampel muntah berkenaan daripada Jabatan Perikanan Negeri.

Tiga pihak nyatakan minat beli muntah paus

Katanya, objek terbabit akan diserahkan ke UMT hari ini dan proses ujian mengambil masa kira-kira seminggu.

“Setakat ini, bermula Januari lalu hingga kini, kita sudah melakukan analisa membabitkan 18 sampel namun semuanya didapati tidak tulen.

“Saya juga teruja untuk melakukan ujian terhadap sampel muntah paus yang ditemui di perairan Marang itu,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu beberapa sampel yang dipercayai muntah paus yang ditemui di perairan negara untuk diuji ketulenannya.

Dr Hasrizal berkata, muntah paus yang bernilai tinggi mempunyai tiga bahan utama iaitu ambrein (25 hingga 45 peratus), epicoprosterol (30 hingga 40 peratus) dan coprostanone (tiga hingga empat peratus).

“Tanpa kandungan tiga bahan aktif ini, ia langsung tiada harga di pasaran,” katanya.