SELINGAN KLASIK : DI SEBALIK BABAK PERGADUHAN BESAR DI PENAMBANG SAMPAN SUNGAI KEMUNTING

FILEM Pendekar Bujang Lapok sememangnya popular bagi peminat filem klasik. Salah satu filem yang menjadi kegemaran ramai dikalangan peminat Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Filem ini sangat banyak menyelitkan sindiran dan kritikan masyarakat yang disampaikan secara tersurat mahupun tersirat.

Babak awal dalam filem ini sangat menarik perhatian. Tentunya, babak pergaduhan besar di Penambang Sampan Sungai Kemunting. Semestinya babak ini sentiasa diingati peminatnya. Ramai yang akan teruja dan bergelak tawa menonton aksi gaduh yang dipaparkan.

Dalam babak ini, P.Ramlee ingin sampaikan sesuatu yang besar kepada penonton. Jika kita lihat gelagat samseng-samseng yang menjaga penambang sampan begitu biadap lagi kurang ajar kepada pelanggan-pelanggan mereka. Berlakunya birokrasi dan penindasan yang begitu jelas.

Kata-kata kasar mereka kepada para pelanggan samada tua atau muda juga begitu menyakitkan hati. Tentunya, ramai yang berasa geram dan ‘panas’ dengan gelagat biadap samseng-samseng ini.

Sehinggalah Pendekar Mustar Pinang Sebatang yang berani melawan mereka ini. Pendekar Mustar berjaya mengalahkan dua orang dari kalangan mereka hanya menentang bersendirian.

Bujang lapok tiga sekawan ini terus memberanikan diri mendapatkan perahu bagi mengikuti jejak Pendekar Mustar untuk belajar silat. Disini, kita dapat lihat watak Ramli memulakan ‘revolusi’ kepada semua pengunjung supaya menentang kebiadapan dan kezaliman yang berlaku di Penambang Perahu.

Sehinggalah berlakunya pergaduhan besar antara para pengunjung dan samseng-samseng yang bekerja di Penambang Perahu itu. Mereka melepaskan geram akan ketidakadilan dan kebiadapan yang dilakukan oleh samseng-samseng itu terhadap mereka sebelum ini.

Disini P.Ramlee mahu memberitahu kita bahawa setiap kezaliman dan ketidakadilan seharusnya ditentang. Bukan hanya melihat, berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa.

Hakikatnya, ramai yang membenci kezaliman yang berlaku tetapi tidak ramai yang berani bertindak. Apabila ada yang berani bertindak atas kezaliman yang berlaku, pasti ramai yang akan menyokong dan berdiri dibelakangnya.

Bagi Brader… Babak ini mempunyai mesej yang besar dan jelas disebalik aksi dan gelagat lucu yang dipaparkan. Kita memerlukan orang yang berani untuk memulakan sesuatu revolusi dalam menentang kezaliman dan ketidakadilan.

Dalam dunia ini, orang jahat tidak akan mampu merosakkan dunia. Tetapi orang baik yang berdiam diri atas kezaliman yang berlaku didepan mata, akan menghancurkan keamanan dunia.

Sumber: BraderFilem