Archives for January 2022

Kerap Panggil Pekerja ‘Sayang’ Jadi Punca Bos Durjana Ini Dipecat

Tahukah anda, tindakan panggil rakan sekerja anda dengan panggilan ‘Sayang’ boleh menyebabkan anda dipecat?

Menurut seorang peguam, Liyana menerusi satu perkongsian di hantaran Facebooknya, Mahkamah Industri L M v.Murphy Sarawak Oil Co Ltd [2020] 2 ILR seorang majikan telah dipecat kerana didapati bersalah di atas tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas setiausahanya.

Majikan tersebut didapati bersalah di atas tuduhan memanggil setiausahanya ‘Sayang’ secara berkali-kali bukan sahaja dalam komunikasi menerusi platform sosial, WhatsApp tetapi juga kita dalam urusan rasmi (mesyuarat) bersama kakitangan lain.

Tindakan Panggil Rakan Sekerja ‘Sayang’ Boleh Jadi Punca Anda Dipecat
Sumber: Bright HR

Namun majikan tersebut cuba berdalih memberi alasan bahawa panggilan ‘Sayang’ tersebut dibenarkan oleh setiausahanya (mangsa) dan menganggap mangsa seperti anaknya sendiri.

Namun lain yang berlaku sepanjang prosiding mahkamah berlangsung. Mangsa tidak suka dengan panggilan tersebut dan merasa malu sehinggakan rakan sekerjanya yang lain ramai mengusik mangsa sebagai ‘Sayang Boss’.

Bukan itu sahaja, majikan tersebut turut didapati melakukan beberapa tindakan lain yang menyebabkan mangsa tidak selesa, iaitu:

  1. Meminta agar mangsa membeli baju untuk acara makan malam kerja kumpulan dengan mengatakan beliau mahu setiausahanya kelihatan paling cantik pada malam tersebut.
  2. Meminta mangsa bersalam tangan dan memegang lama tangan mangsa selain daripada memberi komen tangan mangsa kasar dan membelikan mangsa losyen tangan kerana inginkan kulit tangan mangsa mulus dan lembut.
  3. Tidak mahu dijemput pemandu dan meminta mangsa menjemput beliau sendiri yang mana ianya merupakan luar skop kerja mangsa.

Liyana turut menjelaskan, pada awalnya mangsa mahu meletak jawatan keran tertekan dengan tindakan majikannya namun hasil siasatan mendapati majikan tersebut memang bersalah berdasarkan kepada kesemua tuduhan berdasarkan saksi dan bukti-bukti yang kukuh.

Liyana menegaskan sekiranya para wanita merupakan mangsa kepada gangguan ini, bolehlah melaporkannya pada jabatan pengurusan sumber manusia berserta bukti-bukti kukuh yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang diambil.

Beberapa contoh lain yang boleh dikaitkan dengan gangguan seksual adalah memberikan perhatian yang melebih-lebih seperti meminta mengambil beliau di lapangan terbang, memberi hadiah seperti minyak wangi dan bunga pada hari Valentines serta menyentuh tanpa mendapat kebenaran.

Pemangsa Daripada Kumpulan Ikan Ini Miliki Kuasa Luar Biasa Serap Cahaya

Pemangsa daripada kumpulan ikan ini miliki kuasa serap cahaya.

Dalam penemuan terbaharu, satu pasukan saintis yang mengkaji mengenai makhluk eksotik telah berjaya membongkar rahsia di sebalik sekumpulan ikan yang dikenali sebagai pemangsa laut dalam ultra hitam.

Spesis fangtoothPacific blackdragonanglerfish dan black swallower didapti mampu mengubah bentuk fizikal mereka terutamanya ketika ingin memburu mangsa digolongkan dalam 16 spesis di dalam kumpulan ini.

Malah pemangsa daripada kumpulan ini juga mampu menyerap sehingga 99.95% cahaya dan hanya memantulkan kurang daripada 0.05% cahaya yang menyuluh menjadikan mereka sukar untuk dilihat di laut dalam.

Pemangsa Daripada Kumpulan Ikan Ini Miliki ‘Kuasa’ Serap Cahaya
Sumber: Science Times

Disebabkan cahaya tidak dapat menembusi kawasan laut dalam, spesis pemangsa ini akan memancarkan cahaya bioluminescence yang boleh menarik perhatian mangsanya. Dengan cahaya itu juga mereka mampu menakutkan kumpulan pemangsa lain di kawasan tersebut.

Kulit ikan pemangsa berwarna hitam mampu menyerap cahaya sehingga di kawasan bercahaya, mereka ini akan kelihatan seperti bayang-bayang.

Menurut ahli zoologi Institut Muzium Kebangsaan Alam Semula Jadi Washington, Karen Osborn terdapat banyak jenis pemangsa laut yang masih belum diketahui kewujudan mereka.

Terdahulu, Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) secara rasmi mengesahkan pengenalan spesies baru lain: Bathynomus raksasa ataupun lipas laut yang biasanya dijumpai menggali dan mengorek sisa-sisa haiwan laut mati di dasar lautan..

Sumber: Scimex

32 Tahun Selepas Tragedi Hitam Runtuhnya Jambatan Terminal Feri Sultan Abdul Halim

31 Julai lalu, genaplah berlalunya 32 tahun selepas tragedi hitam runtuhnya jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim.

Mengenang kembali kisah ini, kejadian yang berlaku pada 31 Julai 1988 (Ahad) pada jam 4.40 petang itu telah menyebabkan seramai 32 orang terkorban dan 1,674 yang lain cedera.

Tragedi yang disebabkan oleh kegagalan struktur konkrit dan muatan berat itu dikatakan berpunca daripada kesesakan teruk di sana susulan sambutan dua perayaan secara serentak, iaitu:

  1. Pesta Dewi Kwan Yin (Dewi Pemurah) yang melibatkan kaum Cina di Georgetown yang diadakan 60 tahun sekali mengikut kalendar China, dan
  2. sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam.

Pada ketika itu, dikatakan lebih kurang 10,000 orang berkumpul di sana termasuklah pelancong Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

32 Tahun Selepas Tragedi Hitam Runtuhnya Jambatan Terminal Feri Sultan Abdul Halim 1
Sumber: Tankiasu

Selain daripada pengunjung yang datang mahu menyambut dua perayaan tersebut, ada juga pengunjung yang datang sekadar untuk menikmati keindahan matahari terbenam dan menggunakannya sebagai laluan ke Padang Kota.

Dibina pada tahun 1956, Pangkalan Sultan Abdul Halim mempunyai dua tingkat yang mana tingkat atas digunakan sebagai laluan penumpang dari stesen bas dan tingkat bawah pula untuk laluan kenderaan keluar dan masuk.

Struktur binaan daripada besi konkrit (tiang), papan tebal (lantai) dan besi tumpat (gelegar lantai, pagar, dinding) tidak mampu menampung ‘berat’ penumpang menyababkan gelegar besi jambatan terminal bengkok dan patah, malah lantai-lantai papan, dinding besi dan bumbung roboh ke bawah.

32 Tahun Selepas Tragedi Hitam Runtuhnya Jambatan Terminal Feri Sultan Abdul Halim
Sumber: Today In Horror

Disebabkan runtuhan tersebut, penumpang yang berada di bahagian atas menggelongsur ke bawah kemudiannya dihimpit oleh tiang dan pelantar papan. Kenderaan yang melalui tingkat bawah remuk ditindih jambatan bahagan atas.

Siaran Buletin Utama TV3 31 Julai 1988

Selepas daripada tragedi itu, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah membuat semula kajian terhadap kesesuaian dan kecekapan penggunaan feri antara Butterwth dengan Pangkalan Raja Tun Uda di sebelah Pulau Pinang.

Sejak dari itu, penumpang bas ekspres tidak lagi diturunkan di Stesen Butterwoth sahaja, tetapi juga di Sungai Dua dan Gelugor.

32 Tahun Selepas Tragedi Hitam Runtuhnya Jambatan Terminal Feri Sultan Abdul Halim 2
Sumber: Storyblocks

Biarpun sudah 32 tahun berlalu, tragedi ini masih segar dalam ingatan mereka yang terselamat.

Menggambarkan kejadian tersebut seperti babak gempa bumi, suri rumah, Alice Mary Albert Rajoo, 45 tahun memberitahu pada ketika itu beliau cuma gadis berusia 13 tahun dan sehingga kini ketakutan untuk menaiki feri masih ada.

“Kesesakan di sana memang luar biasa, sesuatu yang tak pernah saya saksikan sebelum ini. Ramai orang tidak beratur untuk membeli tiket dan memotong barisan ke kawasan menunggu feri. Masing-masing saling bertolakan.

Saya melihat orang ramai jatuh, cedera parah dan meminta tolong dalam keadaan tidak bermaya. Darah di mana-mana. Saya ingat saya melihat bayi tercedera, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia terselamat atau pun tidak.

Hari tersebut merupakan hari terburuk dalam kehidupan kami.”

Tragedi ini kemudiannya dijadikan dokumentari dalam satu program TV3, Detik Tragik pada 11 April 2015 dan 2 Ogos 2015.

‘Pencuri 1 Sen’ Mahu Tulis Buku Jelas Kekeliruan Mengenai Kes Jenayahnya

Masih ingat lagi mengenai kes kecurian 1 sen oleh seorang eksekutif bank pada tahun 1990 sehingga menyebabkan beliau digelar ‘pencuri 1 sen’?

Pelaku, Aman Shah, 24 tahun yang merupakan seorang eksekutif di Hock Hua Bank cawangan Raja Laut tertangkap kerana mampu membeli enam kereta sport mewah berjumlah RM3.05 juta secara tunai biarpun gaji beliau pada ketika itu cuma RM1,800.

Dua buah daripadanya didaftarkan atas namanya, tiga daripadanya tidak didaftarkan dan tidak dibayar cukai import dan sebuah lagi didaftarkan di atas nama kekasihnya, Raha V V Aboo.

‘Pencuri 1 Sen’ Mahu Tulis Buku Jelas Kekeliruan Mengenai Kes Jenayahnya
Sumber: Olympus

Menjalani kehidupan mewah lagak seorang jutawan, jenayah Aman Shah dikatakan dilakukan dengan perancangan teliti tanpa disedari sesiapa.

‘Pencuri 1 Sen’ Mahu Tulis Buku Jelas Kekeliruan Mengenai Kes Jenayahnya 4
Sumber: Illuminasi

Namun Mei lalu, seorang pengguna Twitter, @aidi_ezzhar telah membuka cerita bahawa kisah yang dipaparkan media selama ini tidaklah 100% benar. Menurut beliau, kisah ‘pembetulan’ ini beliau dapatkan sendiri daripada empunya badan, Aman Shah.

Antara isi yang diceritakan adalah, Aman Shah sebenarnya memegang jawatan Pegawai Bank Trainee dan mendapat surat kenaikan pangkat kepada jawatan Internal Officers Class 2, namun tidak menerimanya.

Malah beliau pernah membuat beberapa proposal yang menyatakan mengenai kelemahan sistem yang digunakan bank, namun ditertawakan kerana ‘orang bank’ menganggap adalah mustahil sistem bank tersebut mempunyai kelemahan dan cadangan itu tidak logik.

Aidi ER@aidi_ezzhar4. Tuan Aman Shah pernah membuat beberapa proposal bagi menyatakan kelemahan sistem yang digunakan bank. Tetapi kemudian cadangan tersebut telah ditertawakan sendiri oleh orang bank tersebut kerana menganggap cadangan tersebut adalah tidak logik dan mustahil terdapat kelemahan.5:42 AM · May 19, 202060

Wang yang dikatakan dicuri daripada orang ramai berjumlah RM41 juta sebenarnya bukanlah wang orang ramai, tetapi wang keuntungan bank yang dipindahkan kepada akaunnya sendiri dan lain-lain. Malah jumlah sebenarnya bukanlah RM41 juta.

Aidi ER@aidi_ezzhar7. Beliau menyatakan bahawa wang yang diambil (curi) itu bukanlah wang orang ramai. Tetapi wang bank tersebut (keuntungan bank bahasa mudahnya).6:12 PM · May 18, 20205417

Meninjau sendiri Facebook Aman Shah, beliau pada Jun lalu sedang bergiat aktif menghasilkan projek bukunya bagi menjelaskan kekeliruan orang awam mengenai kesalahan jenayahnya. Masih lagi tiada tajuk, beliau hanya menulis ‘Aman 1 Sen’ sebagai header kepada coretan kisahnya.

Hukuman penjara yang dikenakan selama lima tahun hanya dijalani selama tiga tahun tiga bulan dan daripada 213 pertuduhan kepadanya, kes berjaya dikurangkan kepada tujuh sahaja.

Sejarah Kota A Famosa Yang Dibina Dari Batu Masjid Dan Kubur Melayu

Tahukah anda ada apa di sebalik sejarah Kota A Famosa di Melaka?

Kota A Famosa dibina sebaik sahaja Portugis berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Membawa makna ‘Yang Termasyur’,  Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kota ini yang berfungsi sebagai kubu sementara bagi menangkis serangan daripada orang-orang Melayu.

Mengambil masa lima bulan untuk dibina, ramai buruh paksa yang digunakan untuk membina kota ini meninggal dunia akibat daripada cuaca panas dan kekurangan makanan.

Pembinaan Kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque menjadi lambang kepada penentangan penduduk Melaka pada ketika itu hingga memaksa mereka membina kota pertahanan sebaik sahaja menguasai bandar Melaka. Kota ini kemudiannya dimusnahkan oleh Inggeris pada 10 Ogos 1807.

Sejarah Kota A Famosa Yang Dibina Daripada Batu Masjid Dan Batu Nisan 3
Sumber: Colonial Voyage

Akan tapi tahukah anda sejarah bahan binaan kota ini adalah daripada batu masjid dan kubur orang Melayu?

Ini dibuktikan dengan penemuan surat daripada Giovanni da Empoli (1483-1517) kepada bapanya di Itali.

Siapa Giovanni da Empoli?

Beliau merupakan pedagang yang pada usia belasan tahun telah meninggalkan Lisbon mengikut angkatan laut Alfonso de Albuquerque mengembara ke Asia Tenggara (6 April 1503). Dilahirkan di Florence, beliau mempunyai kebolehan bertutur banyak bahasa.

Awal kurun ke-16. Portugal giat meluaskan pengaruh dengan menakluk laluan maritim ke Asia Tenggara (pada ketika itu dikenali sebagai Asia Jauh); menakluk Goa pada 1510 dan Melaka pada 1511.

Berada di Melaka selama enam bulan sejak 28 Jun 1511, Giovanni dan anak kapal lain dipaksa melibatkan diri dalam penaklukan di bawah pimpinan Alfonso biarpun tidak mempunyai latar belakang sebagai askar.

Sepanjang pengembaraannya, Giovanni telah menulis dua surat kepada ayahnya di Florence yang berjarak 10 tahun. Dalam surat itu beliau menceritakan mengenai peristiwa-peristiwa yang disaksikan sendiri sepanjang tahun 1511.

Sejarah Kota A Famosa Yang Dibina Daripada Batu Masjid Dan Batu Nisan 2
Sumber: WIkipedia

Antara isi surat yang didedahkan:

“Kami menyediakan satu [kubu] batu yang kami bina dengan merombak rumah-rumah orang ‘Moor’, masjid-masjid dan bangunan-bangunan mereka yang lain.

Kami bangunkannya penuh susah payah dengan menanggung batu-batan tersebut di atas belakang kami; dan setiap kami menjadi buruh kasar, tukang bina dan pemotong batu.

Keadaannya sungguh sukar:
Kami membina kota dengan senjata kami di bawah terik matahari yang sukar digambarkan. Makanan yang ada cuma nasi (…)

Tiada sesiapa yang terlepas dari menghidapi demam yang menggerunkan, di mana mayat terbaring di kediaman kapten selama dua atau tiga hari (…)

Saya jatuh sakit mulai Oktober, dan selama lima puluh hari saya berada dalam keadaan demam teruk dan berpanjangan sehingga saya kehilangan akal.”

Mengapa penulisan Giovanni da Empoli dianggap penting?

Berbeza dengan penulisan lain mengenai Melaka pada ketika itu, Giovanni menjadi saksi kepada peristiwa-peristiwa tersebut.

Yang menariknya, Giovanni kadangkala menulis dalam nada orang kanan Alfonso de Albuquerque dan kadangkala menulis dalam nada orang dagang yang menumpang angkatan laut Portugis.

Namun penulisannya lengkap dengan unsur kemanusiaan selain daripada unsur peradaban, muamalat, bahasa, budaya dan bangsa hasil daripada pemerhatiannya.

Menjadi saksi hari-hari akhir sebuah empayar, jatuhnya kota Melaka dan naiknya kota A Famosa, surat Giovanni kini disimpan di perpustakaan Bibloteca Nazionale centrale, Florence.

Sumber: Melaka In FactWikipedia, CLIOHRES

‘Mereka Sangat Pentingkan Imej’ – Netizen Kongsi Ketegasan Jepun ‘Ajar’ Pemandu Mabuk

Ketegasan Jepun ‘Ajar’ Pemandu Mabuk

Walaupun acapkali kita mendengar berita tentang kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk, namun sehingga hari ini undang-undang yang dilaksana negara masih tidak gentarkan golongan ini.

Akhir-akhir ini, orang ramai terkesan dan kecewa apabila melihat nyawa melayang disebabkan kecuaian pemandu yang mementingkan diri sendiri memandu dalam keadaan mabuk.

Susulan itu, netizen di laman sosial melancarkan kempen tanda pagar #PemanduMabukMembunuh hingga trending teratas di Twitter semalam.

Meskipun kerajaan seringkali memberitahu akan membawa usul cadangan untuk memperketatkan lagi undang-undang berkaitan pemandu mabuk di sini, ia masih tidak memberi jalan penyelesaian.

Seorang pengguna Twitter, Dr Fitri Yusof berkongsi bagaimana kerajaan Jepun ‘mengajar’ pemandu mabuk sama ada menyebabkan kemalangan ataupun tidak. Katanya, Jepun dan arak sangat sinonim yang mana hampir semua pesta pasti disekalikan dengan arak, tidak kiralah arak tradisional (sake) atau atau arak moden (beer).

Mengambil contoh bagaimana cara kerajaan Jepun ‘melayan’ pemandu mabuk, Dr Fitri Yusof menjelaskan kesalahan berkenaan diletakkan di bawah dua kategori.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol atau ‘driving under influence’ (DUI), jika pemeriksaan alkohol menunjukkan 0.15 miligram (mg) bagi seliter nafas, mereka boleh dikenakan penjara tiga tahun dan denda 500,000 Yen (RM20,000).

“Memandu ketika mabuk pula, pemandu boleh dipenjara lima tahun dan denda 1 juta Yen (RM40,000).

“Jika memandu ketika DUI dan DWI yang mengakibatkan kemalangan lebih keras. Jika akibatkan kecederaan penjara 15 tahun dan kematian pula 20 tahun,” ciapnya dalam Twitter.

Berbanding di Malaysia, pemandu yang memandu dibawah pengaruh alkohol atau dadah yang melebihi had yang ditetapkan sebanyak 80 mg/100 ml, cuma di penjara minimum tiga tahun dan maksimum pula 10 tahun. Denda pula sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pemandu Mabuk Di Jepun

Manakala seorang lagi pengguna Twitter, Ridzwan Mahazan mengatakan masyarakat Jepun sangat mementingka imej. Justeru, jika seseorang yang meminum arak ‘kantoi’ membawa kereta, ia tetap akan menjadi kes polis walaupun mabuknya tidak terlampau teruk.

“Dan bila jadi kes polis, akan beri kesan buruk dekat imej syarikat.”

Setiap kali perlu menghadiri majlis keraian atau jamuan makan, mereka akan suruh isteri atau keluarga hantar atau menaiki pengangkutan awam. Ada juga yang akan tidur di hotel berdekatan.

Di sana, kaedah pelaksanaan dan pencegahan kesalahan pemandu mabuk bukan sahaja dilakukan kerajaan semata-mata. Ia turut mendapat kerjasama daripada pengusaha-pengusaha kedai dan restoran yang menyediakan hidangan minuman keras kepada pelanggan mereka. capa ajuan@CapaAjuan@drfitriyusof Sempat training 3 bulan di jepun dan ya, sangat ketat kalau nak mabuk. Dorang akan isi form, nk mabuk ke tak malam tu. if mabuk kena declare nak balik nnt mcm mana. Use public transport (sana xde grab), jalan kaki or wife ambik, atau ada satu org yg x mabuk akan drive12:36 AM · Jun 2, 202025448

Harapnya, kerajaan Malaysia bolehlah mengambil pendekatan seperti yang dilaksanakan Jepun terhadap isu ini memandangkan pemimpin kita sering mengambil contoh dasar pandang ke Timur.

Penyelidik Israel Temui Ganja Berusia 3,000 Tahun Yang Digunakan Bagi Ritual Keagamaan

Baru-baru ini, penyelidik Israel telah menemui ganja yang dipercayai sudah berusia 3,000 tahun di sebuah kuil kuno yang dibangunkan sekitar 750SM.

Ganja yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan kesan halusinasi dalam ritual keagamaan itu ditemui di kawasan pintu masuk kuil kuno yang digali kira-kira 50 tahun lalu.

Penyelidik Israel Temui Ganja Berusia 3,000 Tahun Yang Digunakan Bagi Ritual Keagamaan 1
Sumber: Marijuana Moment

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Tel Aviv mengaitkan kesan pembakaran yang ditemui berserta dengan kesan bahan kemenyan dibakar kemungkinan merupakan sebahagian daripada ritual yang dijalankan di kuil tersebut bagi merangsang ekstasi sebagai sebahagian daripada upacara kebudayaan.

Menurut jurnal tersebut, sejak zaman prasejarah lagi ganja seringkali digunakan di kawasan Timur  Kuno dan sekitarnya sebagai salah satu bahan untuk menimbulkan halusinasi dalam ritual keagamaan. Namun ini adalah pertama kali bukti fizikal dikenal pasti menunjukkan suku Judah turut menggunakan ganja dalam upacara.

Pasukan penyelidik dari Muzium Israel dan Pusat Volcani yang bekerjasama menggunakan dua kaedah untuk mengenal pasti kanabinoid iaitu kromatografi cecair dan kromatografi gas.

Penyelidik Israel Temui Ganja Berusia 3,000 Tahun Yang Digunakan Bagi Ritual Keagamaan
Sumber: Marijuana Moment

Penyelidik memberitahu mereka tidak jelas bagaimana ganja tersebut diperoleh namun menjangkakan ianya mungkin diimport dari satu lokasi yang jauh menggunakan resin kering atau pun hasyis. Bagi membakar ganja dan mengeluarkan asap, ganja akan dicampurkan dengan najis haiwan untuk membolehkan pemanasan ringan.

Dalam satu kajian yang berasingan yang diterbitkan dalam dokumentasi tahun lalu mendapati pengamal daripada pelbagai budaya telah menggunakan ganja selama ribuan tahun dalam bentuk dan tujuan yang berbeza.

Antaranya, ganja di Tibet dianggap sebagai satu tanaman suci, memudahkan meditasi dalam Buddhisme Tantrik dan digunakan sebagai ubat dalam perubatan Arab bagi mengubati jangkitan telinga, penyakit kulit, kembung perut, demam serta muntah.

Sumber: Marijuana Moment

Logik Kucing: Mangkuk Berisi Sedikit Makanan Adalah Kosong, Ini Sebabnya

Kebanyakan daripada pemilik kucing pasti arif benar dengan beberapa tabiat kucing mereka yang kadangkala tidak masuk akal. Antara logik kucing yang tak dapat diterima oleh pemilik kucing adalah mangkuk yang berisi makanan seringkali dianggap kosong tanpa makanan.

Ketahui sebab mengapa ini berlaku.

1. Jarak penglihatan

Tahukah anda, meskipun kucing tergolong dalam kumpulan pemburu, kucing sebenarnya mempunyai jarak penglihatan yang terhad, terutamanya dalam jarak di hadapan hidung mereka.

Disebabkan mempunyai titik buta di bawah hidung dan dagu, kucing tidak dapat melihat makanan yang masih ada di kawasan tepi mangkuk.

2. Misai yang sensitif

Misai merupakan salah satu bahagian yang penting kepada kucing kerana berperanan sebagai sensor yang membantu deria serta sistem navigasi persekitaran kucing.

Tekanan yang dirasa melalui misai akibat tersentuh sisi mangkuk menyebabkan ada sesetengah kucing yang hanya akan makan makanan dari bahagian tengah mangkuk tanpa menyentuh misai pada mangkuk.

3. Mahu makanan yang baharu

Dengan hanya menggunakan deria bau, kucing dapat mengesan sama ada makanan yang diberikan masih segar atau pun sudah lama. Disebabkan itu jugalah ada kucing yang masih tetap mengiau meminta makanan meskipun masih ada baki di dalam mangkuk mereka.

Apa yang boleh dilakukan bagi mengatasi logik kucing ini?

  1. Sediakan makanan dalam bekas berpemukaan lebar dan rata.
  2. Kurangkan kuantiti makanan daripada kebiasaan.
Logik Kucing Ketahui Sebab Mengapa Mangkuk Ada Sedikit Makanan Sering Dianggap Kosong
Sumber: Awesome Inventions

Sumber: The MamamiowVetdepot

Produk Halal dari New Zealand

Permintaan produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat di seluruh dunia. Kajian menunjukkan industri halal global semakin meningkat antara $3 trilion (RM12.55 trilion) dan $4 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, dan disokong dengan permintaan tinggi dari kedua-dua pengguna umat Islam dan bukan Islam.

halal New Zealand
Sumber: About Islam

Peningkatan penganut agama Islam di seluruh dunia, tahap peningkatan pendapatan dan tahap kesedaran tentang makanan halal merupakan tonggak utama terhadap pertumbuhan industri halal ini. Asia ialah penyumbang utama ke arah pasaran halal antarabangsa memandangkan dua pertiga penduduk Muslim dunia berada di rantau ini.

Perkembangan industri halal ini menjadi pemacu bukan sahaja untuk Muslim, tetapi mereka yang bukan beragama Islam juga mencari makanan berstatus halal kerana percaya dengan produk yang dijamin bersih dan berkualiti tinggi.

halal New Zealand
Sumber: Bron Marshall

Melihat pada itu, tidak hairanlah syarikat industri makanan berebut peluang untuk membangunkan produk makanan halal dan menginginkan produk mereka menjadi produk makanan halal terbaik dunia. Negara New Zealand juga tidak terkecuali merebut peluang seperti itu.

Sejak beberapa tahun, syarikat New Zealand telah menjadi rakan kongsi Malaysia yang ingin memperluaskan penawaran halal mereka kepada pengguna di seluruh dunia. Selain itu, status Malaysia sebagai peneraju dunia dalam ekonomi halal memberikan syarikat makanan New Zealand pilihan yang jelas untuk menjadi rakan kongsi.

Sebagai rakan kongsi, Persatuan Islam New Zealand (FIANZ) bekerjasama rapat dengan JAKIM untuk memastikan produk makanan yang datang dari New Zealand ke Malaysia dilengkapi dengan sijil halal yang disahkan JAKIM. Ini juga membantu mengubah pemikiran tradisional tentang status halal yang hanya menjadi simbol agama Islam sahaja.

Di New Zealand pula, New Zealand Trade and Enterprise juga membantu syarikat tempatan mematuhi konsep halal dalam penghasilan produk mereka. Ini bermakna mereka tidak perlu menembusi pasaran Malaysia dahulu untuk mendapatkan status halal.

Sehingga kini, lebih daripada 90 peratus daripada daging lembu dan kambing telah mematuhi piawaian halal Malaysia. Syarikat seperti ANZCO FoodAngel Bay Beef and Lamb dan juga SHOTT Beverages yang berpangkalan di Wellington sudah menyaksikan jualan mereka meningkat setelah mendapat status halal.

halal New Zealand
Sumber: C4 Coffee

Ternyata ia membawa keuntungan kepada syarikat produk makanan dan minuman New Zealand apabila menjadikan Malaysia sebagai rakan kongsi produk halal. Begitu juga dengan negara-negara luar Asia Tenggara yang mengambil langkah ke arah pematuhan halal.

Contohnya, sebagai persediaan untuk Piala Dunia Rugby pada tahun 2019 dan Sukan Olimpik 2020, Jepun mengambil peluang memperbanyakan produk makanan halal untuk meningkatkan pasaran mereka di peringkat dunia.

Natijahnya, perkara ini merupakan berita baik kepada pengguna Muslim berdasarkan peningkatan permintaan makanan halal di seluruh dunia. Semoga industri halal terus meningkat di seluruh dunia agar pengguna seluruh dunia mendapat jaminan kebersihan makanan dan berkualiti.

Sumber: New Straits Times

Kenali Satu-Satunya Kucing Bijak Yang Memiliki Kertas Kajian Saintifik Sendiri

Tahukah anda ada kucing yang memiliki kertas saintifiknya sendiri? Jom kenali satu-satunya kucing bijak yang ‘menulis’ kertas kajian.

Chester merupakan baka kucing jenis siam yang diberikan pengiktirafan dalam menulis kertas kajian saintifik bersama pemiliknya, Profesor Michigan Jack Hetherington.

Sejarah ini bermula apabila Hetherington secara tidak sengaja telah menggunakan perkataan we (kami) dan our (kami) yang sepatutnya ditulis sebagai I (saya) dalam kertas kajiannya.

Jack H. Hetherington bukanlah satu nama asing dalam bidang fizik. Merupakan seorang profesor di Universiti Michigan State, kesalahan perkataan tersebut dalam kertas kajian bertajuk “Two-, Three-, and Four-Atom Exchange Effects in bcc 3He” yang disiapkan pada awal tahun 1975 itu disedari apabila beliau memberikannya kepada rakan sekerja beliau untuk bacaan.

Kenali Satu-Satunya Kucing Bijak Yang Memiliki Kertas Kajian Saintifik Sendiri

Menurut rakannya, kertas kajian yang menggunakan kata ganti nama jamak itu hanya akan diterbitkan pihak Physical Review Letters sekiranya kertas kajian tersebut dikarang lebih daripada seorang pengarang.

Sedar dengan kesalahan yang membawa kepada makna kertas tersebut ditulis lebih daripada seorang penulis dan terlalu malas untuk menaip semula kertas tersebut menggunakan mesin taip menyebabkan Hetherington menambah Chester sebagai penulis bersama kajian tersebut.

Sedar sekiranya meletakkan nama Chester, kertas kajiannya akan menimbulkan persoalan terutamanya kepada rakan-rakannya yang mengenali kucing peliharaannya itu, Hetherington mendaftarkan nama F.D.C Willard yang merujuk kepada maknan Felis Domesticus Chester, dan menambah nama ayah Chester iaitu Willard di belakang singkatan tersebut.

Kenali Satu-Satunya Kucing Bijak Yang Memiliki Kertas Kajian Saintifik Sendiri 2

Dan akhirnya, kertas kajian Hetherington berjaya diterbitkan dalam Isu ke-35 oleh pihak Physical Review Letters dengan tapak kaki Chester sebagai tanda tangan F.D.C Willard.

Untuk pengetahuan anda, Felis domesticus merupakan nama saintifik yang merujuk kepada kucing domestik.

Sumber: F.D.C WilliardInfo Kini