Archives for January 2022

Mengapa Boleh Wujudnya ‘Hari Tidur Sedunia’?

Kita mungkin sudah biasa mendengar sambutan hari sedunia seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Pekerja yang disambut setiap tahun. Tapi, tahukah anda ada sambutan hari sedunia yang disambut dalam masyarakat dunia yang kita sendiri tidak terlintas pun wujudnya sambutan tersebut, iaitu ‘Hari Tidur Sedunia’.

Tanggal 13 Mac tahun ini bersamaan hari Jumaat pada hari ini merupakan Hari Tidur Sedunia (World Sleep Day).

Tak sangka wujud juga Hari Tidur Sedunia.

Ia merupakan acara tahunan yang disambut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang kepentingan tidur dan berehat, termasukah dalam bidang perubatan, pendidikan, aspek sosial dan juga memandu.

Sambutan ini diperkenalkan oleh sekumpulan komuniti yang dikenali sebagai World Sleep Day Committee of World Sleep Society dengan menerangkan pentingnya tidur dan juga cara menghalang masalah tidur.

Mengapa Ada Hari Tidur Sedunia

Kumpulan ini terdiri daripada pengamal perubatan yang bekerja dalam bidang kesihatan, khususnya dalam penyelidikan berkenaan tidur.

Pemilihan hari sambutan ini diadakan pada hari Jumaat sebelum fenomena Spring Vernal Equinox yang berlaku setiap tahun. Justeru, sambutan tahun ini diadakan pada 13 Mac dan tahun berikutnya jatuh pada 12 Mac 2021.

Jika tidak cukup tidur belakangan ini, ambillah peluang untuk tidur dengan betul pada kali ini demi kesihatan anda.

Serah Semua Harta Arwah Anak Kepada Menantu, Kisah Pasangan Suami Isteri Ini Kembali Tular

Pasangan suami isteri serah semua harta arwah anak kepada menantu. Kisah sepasang suami isteri kembali tular di lama media sosial selepas wujudnya beberapa isu pada minggu lalu berkenaan dengan harta pusaka.

Pasangan suami isteri berkenaan, Md Jali dan Fatimah Marali yang kehilangan anak lelaki mereka akibat kemalangan jalan raya pada 26 Oktober 2013.

Walaupun boleh dikira sebagai ‘rezeki terpijak’ oleh sesetengah orang, mereka menolak semua bahagian harta dan wang tunai yang dianggarkan sekitar RM300,000.

Serah semua harta arwah anaknya kepada menantu, Nur Rahimah Mohamad Nasir, pasangan suami isteri berkenaan merasakan menantu dan empat orang cucu perempuan lebih memerlukan.

Arwah anak lelakinya, Mohd Radif maut dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas di kawasan Rawat dan Rehat Gurun, Kedah meninggalkan sebuah rumah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), akaun bank dan kenderaan.

Serah Semua Harta Anak

Disebabkan tidak mempunyai anak lelaki, mengikut hukum faraid, ibu bapa kepada arwah mendapat bahagian yang agak banyak.

Tidak mahu kufur nikmat, mereka bersyukur dengan apa yang ada demi menjaga hubungan kekeluargaan, malah menjelaskan duit simpanan yang beliau ada sudah cukup untuk menampung kehidupan mereka berdua.

Habitat Terganggu, Beruang Kutub Terpaksa Makan Sesama Sendiri

Pada 2019, sebuah rakaman menggemparkan dari Greenland menunjukkan aliran air deras terhasil daripada pencairan glasier meluncur di bawah sebuah jambatan di Kangerlussiauq selepas 12 bilion tan ais mencair dalam tempoh 24 jam.

Ais mencair itu dikatakan bersamaan saiz kira-kira empat juta kolam renang Olimpik. Ekoran ais di kawasan Artik semakin mencair ditambah pula dengan aktiviti manusia hingga memusnahkan habitat asalnya menyebabkan beruang kutub kini membunuh dan makan sesama mereka.

Menurut saintis dan pakar mengenai beruang kutub, Ilya Mordvintsev, masalah itu sebenanrya sudah lama berlaku namun kali ini ia semakin meningkat.

“Fakta itu mungkin diketahui umum tetapi kita bimbang kerana dulu ia agak jarang, namun sekarang ia dilaporkan semakin kerap.

“Bagi sesetengah musim berlaku kekurangan makanan, membuatkan haiwan jantan menyerang betina lalu memakannya.”

Katanya, peningkatan kes juga berlaku disebabkan ramai orang bekerja di Kutub Artik termasuk kumpulan saintis dan pekerja syarikat minyak dan anggota pertahanan.

Beruang Kutub Makan Sesama Sendiri

Pada musim sejuk kawasan dari Teluk Ob ke Laut Barents, di mana kawasan beruang kutub berburu, kini sibuk dengan kapal membawa muatan minyak dan gas (LNG).

Manakala seorang lagi saintis berkata, tahun ini perubahan cuaca luar biasa di Pulau Spitsbergen di barat di kepulauan Svalbard, Norway, banyak menjejaskan beruang itu apabila tiada salji akibat pemanasan gobal.

Diramalkan beruang kutub akhirnya tidak lagi memburu di kawasan ais dan terkurung di kawasan pantai dan kepulauan latitud tinggi, dan berpuluh-puluh beruang memasuki kawasan kediaman penduduk di kawasan Artik dan menyelongkar sampah mencari untuk makanan.

Sumber: The Guardian

Pensyarah Bertanjak Di Majlis Graduasi Universiti Oxford, Tonjol Kehebatan Bangsa Melayu

Mendengar sahaja mereka yang belajar di universiti berprestij seperti Universiti Oxford, pasti menjadi kebanggaan negara kerana bukan calang-calang orang yang mendapat peluang belajar di sana.

Seorang pensyarah Universiti Multimedia Melaka, Dr. Khair Razlan Othman mendapat respon membanggakan setelah memuat naik kisahnya memakai tanjak ketika menerima Ijazah Doktor Falsafah di majlis graduasi Universiti Oxford di Facebook.

Menerusi hantaran tersebut, Dr. Khair berharap menjadi yang pertama dan satu-satunya orang Melayu yang berbuat demikian semenjak penubuhan Oxford.

Dalam tulisannya di Facebook, beliau menjelaskan, pemakaian tanjak itu juga sebagai salah satu cara memperkenalkan pakaian tradisi warisan berzaman, tanda budi dan tinggi peradaban bangsa.

“Bangsa ini sudah sekian lama mendiamkan diri. Sama ada malu atau memang tidak mahu. Sama ada ragu atau memang dalam keliru,” ujarnya.

“Saya mahu beritahu betapa hebatnya bangsa kita pada orang.”

Memetik laporan Malaysia Gazette, Dr. Khair Razlan berkata sudah mula memakai tanjak lebih awal ketika di sana tetapi merasakan ia perlu diteruskan pada majlis graduasi berkenaan.

Bertanjak Di Majlis Graduasi Oxford

Dalam pada itu, beliau yang kini pemegang PhD dalam bidang inovasi kesihatan (kejuruteraan biomedikal) turut memberitahu yang tindakannya mengenakan tanjak sebagai pengganti mortar board semasa majlis graduasi berkenaan mendapat keizinan daripada pihak universiti.

Tidak ada perkara yang mudah sepanjang tempoh pengajian, begitu jugalah yang dihadapi Dr. Khair Razlan. Beliau memulakan pengajian PhD pada bulan Oktober 2010 dan berakhir pada awal tahun ini.

Pernah Berputus Asa, Akhirnya Lelaki Ini Berjaya Siapkan Mural Terbesar Di Malaysia

Belakangan ini, semakin banyak bangunan-bangunan lama yang kusam dan lusuh dihidupkan dengan lukisan mural. Memenuhi lukisan mural di dinding-dinding bangunan telah menjadi trend bagi mengindahkan suasana bandar, malah turut memberi peluang kepada pelukis menterjemahkan lukisan mereka.

Seorang pelukis mural, Fadzlan Rizan Johani, 40, melahirkan rasa syukur apabila berjaya menyiapkan lukisan mural terbesarnya di Indah UPC iaitu bangunan berhampiran Vivo Residential Suites di Jalan Klang Lama.

Tiada apa yang mengembirakan apabila menerima maklum balas orang ramai yang rata-rata memuji hasil air tangannya itu. Fadzlan turut berkongsi gambar sebelum dan selepas di media sosial Facebook pernah hampir berputus asa dan terfikir untuk mengupah orang lain. Namun berkat sokongan keluarga serta rakan, beliau akhirnya berjaya hasilkan mural terbesar itu.

Mural Terbesar Di Malaysia Indah UPC
Sumber: NST

Memetik sumber Harian Metro, lukisan mural bertemakan Tree of Hope -memaparkan pokok sawit dan alam semula jadi itu bersaiz 1950 meter persegi memngambil masa lebih kurang sembilan bulan untuk menyiapkan keseluruhan mural.

“Syukur, penat lelah selama berbulan ini terbayar dan inilah hasil mural bertema Tree of Hope yang banyak menonjolkan pokok sawit dan alam semula jadi,” katanya yang terpilih untuk projek melukis mural daripada pemaju, MRCB.

Mengulas tentang perjalanan menyiapkan muralnya, selain faktor cuaca, Fadzlan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah besar dan sering diberi sokongan serta motivasi daripada komuniti di situ yang menaikkan semangatnya lagi yang kadang kala turun naik.

Demi merealisasikan tugas yang diberi, Fadzlan makan, tidur, mandi dan solat di kawaasan. Ada kalanya, isteri datang untuk membantu apa yang perlu dan kenangan itulah yang tidak dapat dilupakannya.

“Sebagai arkitek bebas, saya tidak pernah membataskan diri untuk membuat kerja lain luar dari bidang saya dan lukisan mural bagi saya adalah seni yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia boleh menjadi aktiviti sekeluarga.”

Jika anda sukakan gambar berlatarkan lukisan mural, Fadzlan sarankan datang pada hujung minggu untuk pemandangan yang memuaskan.

Remaja Autistik Cipta Rekod Bina Replika LEGO Kapal Titanic Terbesar Di Dunia

Menyukai permainan Lego sejak berusia lima tahun, seorang remaja autistik Brynjar Karl Bigisson, 15 tahun mengejutkan dunia dengan bakatnya yang luar biasa.

Meskipun bergelar remaja autistik, Karl telah membina kerjaya daripada hobi membina replika kapal Titanic daripada kepingan Lego telah mengembara di beberapa buah negara Eropah bagi mempamerkan hasil binaannya kepada umum.

Melalui proses yang rumit, model yang berkepanjangan 6.5 meter itu dihasilkan daripada lebih 50,000 kepingan Lego pernah rosak sebelum tiba di lokasi pameran menyebabkan Karl terpaksa menyusun semula model berkenaan sebelum dipamerkan.

Remaja Autistik Replika Kapal Titanic Terbesar Dunia

Mula membina replika menerusi outline yang dibina bersama datuknya, Karl yang turut dikenali sebagai ‘budak Lego’ sudah mula menghasilkan replika kapal sejak dari usia 10 tahun lagi.

Mengambil masa selama 11 bulan atau pun 700 jam, kebanyakan daripada masa selepas waktu persekolahannya untuk menyiapkan replika yang kini diletakkan di ruang pameran Titanic Museum.

Autisme merupakan kecacatan perkembangan tegal (pervasive developmental disorder) yang melibatkan fungsi otak. Autisme dianggap sebagai sejenis kecacatan neurologi dan bukan kecacatan psikiatris (psychiatric disorder) mudah, walaupun ciri-ciri biasa termasuk masalah dengan perhubungan sosial, dan komunikasi emosi, dan juga pola biasa berkaitan dengan minat, aktiviti dan perangai. Autisme juga melibatkanmasalah dengan integrasi deria.

Sumber: PostlajmeWikipedia

Teringin Nak Makan Masakan Kenduri?

Selalu dapat makan nasi tomato apabila datang ke majlis keramaian seperti kenduri, rumah terbuka dan jamuan. Nasi tomato pasti dipasangkan bersama ayam masak merah dan acar timun. Kadang-kadang ada juga yang menghidangkan nasi tomato bersama daging masak merah dan kuah kari.

Tidak perlu susah-susah tunggu kenduri baru dapat makan nasi tomato sebab buat sendiri pun boleh. Tak susah pun. Jom kita lihat resipi nasi tomato ini.

Resipi Nasi Tomato
Sumber: Fave

Nasi Tomato

Bahan-bahan:

6 cawan beras biasa (nak lagi sedap guna beras Basmathi)
6.5 cawan air
4-5 kuntum bunga lawang
10 kuntum bunga cengkih
2 batang kulit kayu manis
4-5 biji buah pelaga
1/4 cawan minyak zaitun
Sedikit minyak sapi (boleh gantikan dengan marjerin)
1 biji bawang holand dicincang dadu
Setengah botol sos cili atau sos tomato
Sebiji tomato dicincang dadu
Kiub ayam

Bahan kisar:

2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 hiris halia

Cara memasak:
1. Cairkan minyak sapi dengan api yang sederhana dan tumiskan rempah selama 1-2 minit.
2. Masukkan bahan yang sudah dikisar halus.
3. Masukkan pula bahan yang dicincang dadu tadi.
4. Kecilkan api dan tuangkan sos cili, masuk kiub ayam, dan garam. Biarkan mendidih perlahan-lahan dan masukkan beras.
5. Kacau rata selama 1-2 minit, masuk 1 cawan setengah air, (kalau nak letak air lebih pun boleh ikut masing-masing, tapi nasi dah masak atas dapur agak kembang, letak air lebih nanti nasi hancur)
6. Biarkan cecair meresap ke dalam beras sebentar.
7. Kecilkan api, tanak nasi hingga masak.

Ayam masak merah

Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam digaul garam dan kunyit kemudian goreng separuh masak
5 sudu makan cili kisar
4 sudu makan sos tomato
4 sudu makan sos cili
1 biji bawang holand dipotong bulat
1 batang serai dititik

Bahan kisar:

1 inci halia
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 batang serai

Cara memasak:
1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan kisar. Masukkan serai, tumis hingga wangi.
2. Masukkan cili kering kisar, tumis hingga pecah minyak. Masukkan sos cili dan sos tomato, tumis hingga agak masak.
3. Perasakan dengan garam dan gula. Kacau rata.
4. Masukkan ayam yang sudah di goreng. Kacau rata biarkan sebentar sampai ayam betul-betul masak, masuk bawang holand yang dipotong bulat. Gaul hingga bawang layu.

Acar timun

Timun*
Lobak merah*
Cili merah*
Bawang besar*
Sedikit cuka makan
2 senduk gula pasir
Garam

* Semua bahan dihiris memanjang

Cara penyediaan:
1. Masukkan cuka, gula dan garam dan dikacau hingga hancur.
2. Masukkan bawang besar, cili merah dan lobak merah yang dihiris.
3. Akhir sekali, masukkan timun dan sesuaikan rasa.

Buat sendiri memang puas hati. Boleh tambah seberapa banyak yang kita mahu.

Selamat mencuba!

Ini Sebab Mengapa Budaya Pegang Tangan Antara Lelaki Dianggap Normal Di Sesetengah Negara

Jika fenomena berpegangan tangan antara dua orang individu lelaki berlaku di Malaysia, ramai daripada kita akan cepat membuat andaian bahawa mereka adalah pasangan ‘kunyit’. Akan tetapi, mengapa budaya berpegangan tangan malah  berlaga hidung antara kaum lelaki dianggap normal di sesebuah negara sebagai contoh di India, Bangladesh dan Arab? Ini sebab mengapa ianya berlaku.

Seorang jurugambar, Vincent Dolman dalam temu bual bersama media Next Shark mendedahkan perbuatan berpegangan tangan di India adalah sesuatu yang normal dalam menyatakan keeratan hubungan antara keduanya, sama ada sebagai ahli keluarga atau pun rakan baik.

Budaya Pegang Tangan Antara Lelaki Di Arab 1
Sumber: IG The Holding Hands Project

Pernah tersenarai dalam anugerah Prix Pictet Prize 2019 menerusi projek Holding Hands, Vincent memperlihatkan ‘keindahan’ di sebalik perilaku ini melalui seni fotografi.

Walaupun Barat menolak skinship antara individu lelaki, menurut seorang profesor di Universiti Beirut, Samir Khalaf, berpegangan tangan adalah ekspresi terbaik dalam menggambarkan hubungan antara saudara lelaki dan ianya adalah perbuatan kasih sayang, hormat dan perpaduan paling biasa tanpa konotasi seksual.

Di Arab, tidak menyambut salam saudara lelaki boleh diintrepetasikan sebagai tanda jarak atau penghinaan, ini termasuklah dalam berjabat tangan, mencium pipi, malah melagakan hidung.

Budaya Pegang Tangan Antara Lelaki Di Arab 1

Menurut Fuad Ishak Khuri, salah seorang ahli antropologi sosial dalam bukunya The Body in Islamic Culture (2001), perbuatan-perbuatan berkenaan mencerminkan sikap setia, kesamaan status dan persahabatan berpanjangan.

Ini sebab mengapa budaya pegang tangan antara lelaki dianggap normal oleh sesetengah negara

Kebudayaan Arab secara sejarah telah memisahkan lelaki dan wanita menjadikan emosi serta perasaan kasih sayang disalurkan kepada jantina yang sama.

Ini Sebab Mengapa Budaya Pegang Tangan Antara Lelaki Di Arab
Sumber: IG The Holding Hands Project

Bagi memupuk perpaduan serta rasa hormat dalam kalangan rakyat di Malaysia, mungkin kita perlu mengurangkan stigma pada ‘sentuhan mesra’ seperti berpegangan tangan antara jantina sama, kot?

Sumber: Next SharkNY Times

Menu Berbuka Puasa yang Paling Ringkas dan Sedap!

Kalau minta menu ini di kedai, memang bil makan akan naik paling kurang RM20. Dengan rasa masam-masam pedas, menu ini memang jadi hidangan pilihan kalau makan ramai-ramai bersama keluarga atau rakan-rakan.

Tapi ramai yang pening, nak masak sendiri di rumah tak ada steamer.Jom ikut cara Kak Lina Pompom masak ikan siakap stim limau pedas di rancangan Ketuk-Ketuk Ramadan yang sangat mudah tapi sedap. Memang sampai boleh jilat pinggan.

Bahan-bahan:
*1 ekor ikan siakap
*7 ulas bawang putih (dihiris atau diketuk)
*2 batang serai (dihiris halus)
*2 inci halia (dihiris)
*3 biji cili api (pilihan ikut tahap kepedasan)
*2 sudu besar sos ikan
*1 kiub stok ayam
*Perencah Maggi cukup rasa (secukup rasa, boleh gantikan dengan gula atau garam)
*3 biji limau (ikut kesukaan masing-masing)
*3 biji tomato (dipotong 4 atau 8)
*Daun ketumbar (dipotong kasar)

Cara penyediaan:

1. Masukkan air ke dalam kuali. Kuantiti agak-agak menenggelamkan separuh daripada badan ikan.

2. Tak perlu tunggu air mendidih, masukkan terus ikan siakap ke dalam kuali.

3. Masukkan bawang putih, serai, halia dan cili api.

4. Setelah air agak mendidih, masukkan sos ikan, kiub stok ayam, dan perencah Maggi cukup rasa.

Ikan Siakap Stim Limau 2

5. Masukkan jus perahan limau dan hiaskan dengan tomato dan daun ketumbar.

6. Tutup kuali dan biarkan air mendidih sehingga ikan masak sebelum dihidangkan.

Ikan Siakap Stim Limau

Mudah kan? Tak perlu kukus. Masukkan semua bahan dan biarkan ianya mendidih. Mudah dan sedap. Kalau makan, memang sampai boleh hiruplah kuah ikan sampai habis. Kalau rasa susah nak ikut langkah di atas, anda boleh tonton video YouTube di bawah ini.

Berhenti Guna Tandas Sejak 46 Tahun Lalu, Lelaki Ini Lebih Rela ‘Membuang’ Di Kawasan Terbuka

Seorang lelaki dari Jepun mempunyai cara tersendiri dalam menyalurkan rasa cinta pada alam sekitar, iaitu berhenti guna tandas sejak 46 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1974.

Walaupun menerima kritikan daripada masyrakat, lelaki yang dikenali sebagai Masana Izawa, 69 tahun itu mengakui lebih rela ‘membuang’ di kawasan terbuka berbanding menggunakan tandas demi memastikan segala tumbuhan berhampirannya mendapat baja secara konsisten.

Berhenti Guna Tandas Lelaki Jepun Buang Air Besar Di Kawasan Terbuka 1

Sebagai seorang aktivis alam sekitar, Izawa merasakan bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan selepas berhenti guna tandas walaupun tabiatnya dikatakan sebagai jijik, tidak bersih dan melanggar undang-undang oleh masyarakat tempatan.

Sepanjang tempoh itu, beliau hanya menggunakan tandas sebanyak 14 kali dan membuang air besar di kawasan terbuka lebih daripada 15,000 kali.

Sebelum membuang, Izawa akan memastikan lokasi yang dipilih adalah tepat supaya tidak mencemari sumber air sebelum menggali lubang dan menutupnya.

Lali dengan kecaman yang diterima, beliau yang dari wilayah Ibaraki di utara Tokyo itu sangat mencintai alam sekitar menganggap dirinya sebagai Fundoshi profesional yang membawa makna Tuan Najis Tanah jika ditulis menggunakan karakter kanji yang berbeza.

Jepun dan Korea antara negara yang perlu dijadikan sebagai role model dalam aspek pengurusan tandas awam di Malaysia. Mengamalkan sistem penjagaan tandas secara efisyen, kedua negara ini amat menekankan konsep dalam mendapatkan tandas yang berkualiti.

Dengan turut memasukkan elemen pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, konsep mesra alam dan pengguna tetap tidak dilupakan.

Sumber: Japan Times