Archives for January 2022

Tidak Boleh Sakiti Haiwan. Jika Membela, Penuhi Hak Beri Makan, Minum Dan Rehat

Tidak boleh sakiti haiwan. Jika membela, penuhi hak beri makan, minum dan rehat

DI MALAYSIA, kes penganiayaan haiwan memang sering dilaporkan.

Ketahuilah, adab manusia tidak terbatas kepada manusia dan ALLAH sahaja, malah terhadap alam semesta
termasuk haiwan.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Surah Al-Israa’, ayat 44: “Langit yang tujuh serta bumi dan segala isi
kandungannya memuji ALLAH. Dan tiada suatu pun kecuali ia menyanjung dengan memuji-NYA; akan tetapi
kamu tidak faham pujiannya.”

Ayat tersebut jelas memberitahu seluruh umat manusia bahawa binatang yang berkeliaran di bumi juga
memuji-NYA, walaupun pujian itu bukanlah dalam bentuk yang difahami manusia.

Justeru, nyahkanlah sikap suka mendera haiwan, sebaliknya, tanamkanlah sifat ihsan dalam diri kita.

Apakah maksud sebenar konsep ihsan terhadap haiwan yang diajar oleh Islam? Bagaimana pula jika terdapat haiwan yang memberi ancaman kepada kita?

Pendakwah, Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, meskipun haiwan tiada akal, ciptaan ALLAH SWT yang satu itu juga
punya perasaan dan mahukan layanan yang baik.

Oleh sebab itu, katanya, ALLAH SWT merakamkan dalam al-Quran supaya kita berbuat baik dan ihsan kepada
semua yang ada di muka bumi ini, waima sesama manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

“Ketahuilah, ihsan kepada binatang itu adalah merangkumi semua jenis tidak kiralah sama ada haiwan
bernajis, tidak bernajis, halal atau haram dimakan.

“Dalam hadis banyak menceritakan tentang kucing. Walaupun si bulus itu haiwan tidak bernajis dan tidak boleh dimakan, tetapi kita perlu berbuat baik kepadanya.

“Begitu juga halnya dengan anjing yang termasuk sebagai haiwan najis mughallazah dan tidak boleh
dimakan,” katanya.

Menyambung hujah berkenaan, Mohd Fauzi menjelaskan konsep berbuat baik kepada haiwan terbahagi kepada dua
kategori. Seandainya kita membela atau memelihara binatang, penuhilah tiga hak haiwan iaitu dengan
memberi makanan, minuman dan rehat.

Ujar Mohd Fauzi, penuhilah hak-hak haiwan yang dipelihara dengan sebaiknya agar kita tidak berlaku zalim dengan
ciptaan ALLAH yang satu ini.

kerbau sawah

Jika kita membela kerbau untuk membajak sawah misalnya, wajib tunaikan semua hak tersebut. Tak boleh 24
jam bebankan kerbau berkenaan dengan membajak sawah saja.

“Sementelah, jika melibatkan haiwan yang tidak dipelihara, hak yang patut kita pelihara adalah jangan
sesekali menyakiti haiwan itu.

“Sekalipun tidak mahu memberikannya makanan, tetapi usahlah kita menyekatnya untuk makan seperti
mengurungnya. Berdosa berbuat demikian,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, jelas agamawan itu, konsep ihsan turut diterapkan dalam agama ketika menyembelih
haiwan untuk dijadikan sumber makanan kita.

“Nabi Muhammad SAW berpesan, apabila ingin menyembelih binatang, maka sembelihlah ia dengan baik. Caranya adalah dengan menajamkan pisau supaya haiwan itu tidak berasa sakit.

“Seperkara, usah sesekali kita mengasah pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih kerana ia boleh menyakiti perasaannya. Perbuatan itu adalah dilarang.

“Ingatlah bahawa menyakiti haiwan bukanlah bermaksud kita menyeksa fizikalnya saja, tetapi juga
perasaannya,” katanya.

Tuturnya lagi, konsep ihsan juga diterapkan ketika menyembelih haiwan iaitu dengan cara menajamkan
pisau.

Begitu juga halnya dengan haiwan yang tidak boleh dimakan seperti binatang perosak atau jenis yang
mendatangkan mudarat kepada manusia. Seandainya dibunuh, terapkan juga konsep ihsan.

“Ertinya, jangan menyakiti atau menyeksa binatang tersebut. Sebaliknya, bunuh dengan baik iaitu sekali
buat, terus mati,” katanya.

Meneruskan perkongsian ilmunya, Mohd Fauzi kemudian menceritakan kisah penganiayaan terhadap haiwan
yang boleh dijadikan iktibar agar kita tidak berlaku zalim terhadap makhluk ALLAH SWT.

unta

Ketika dalam suatu perjalanan, Rasulullah SAW terlihat seekor unta yang sedang merintih dan mengalirkan
air mata. Baginda segera mendekatinya dan mengusap lembut bahagian belakang telinga hingga unta itu
tenang.

Lantas, baginda dalam nada yang tegas bertanyakan: “Siapakah pemilik unta ini?“ Maka, seorang lelaki
Ansar menjawab dengan jujur: “Sayalah pemilik unta ini, ya Rasulullah.”

Lalu, baginda SAW menegur lelaki itu: “Tidakkah kamu takut kepada ALLAH hingga kamu memperlaku binatang yang DIA berikan kepada kamu? Perutnya kamu laparkan, tubuhnya kamu letihkan dengan kerja paksa yang tiada henti dan di luar kemampuannya.“ (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis masyhur, ujar Mohd Fauzi, Rasulullah SAW telah memberi peringatan dan ancaman
terhadap seorang wanita yang tidak memberi makan dan minum kepada kucingnya ketika mengurungnya.
Bahkan, haiwan comel berkenaan turut tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri.

Baginda SAW bersabda: “Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung hingga mati
kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.“ (Riwayat al-Bukhari).

Cintailah haiwan sebagaimana sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada semua makhluk ciptaan ALLAH SWT.

Berdasarkan hadis berkenaan, sudah terang lagi bersuluh, kita dilarang keras menyakiti haiwan apatah
lagi mendera atau menyeksanya, ungkap Mohd Fauzi.

Namun apabila berdepan dengan haiwan yang boleh mengancam nyawa kita, Mohd Fauzi berkata, “Contohnya,
apabila ular masuk ke dalam rumah, Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita tidak terus membunuhnya.
Sebaliknya, berilah amaran supaya ia keluar rumah.

“Ini kerana dikhuatiri ular tadi barangkali ialah jin yang menjelma dalam bentuk haiwan yang ditakuti
oleh manusia.

“Ketahuilah, dalam istilah perubatan Islam, ada penyakit yang dipanggil sebagai badi haiwan. Ia berlaku
apabila kita menyakiti binatang dengan sengaja yang menyebabkan badi tadi akan terkena kepada pelakunya mahupun keluarganya,” ujar beliau.

Sementara itu, fakta yang dilontarkan oleh Mohd Fauzi turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Fuad
Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad.

Beliau menambah, salah satu bentuk penganiayaan terhadap haiwan termasuklah apabila kita menggunakannya
untuk tujuan kepercayaan syirik.

“Umpamanya, menggunakan dan mempercayai ikan puyu dapat menghalau serta memakan makhluk ghaib. Begitu juga mempercayai rawatan yang memindahkan sakit daripada manusia kepada seekor ayam misalnya. Semua ini termasuk antara perkara yang sangat zalim kepada haiwan kerana mempergunakannya,“ tegas beliau.

Bagaimana pula jika kita pernah menganiaya haiwan seperti melastik burung suatu ketika dulu tanpa
sengaja ketika diri masih jahil?

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, taubat paling baik adalah dengan mengakui kelemahan dan
kesalahan diri, menyesal dengan kemaksiatan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya.

“Satu lagi, lakukanlah infak atau sedekah jariah kepada haiwan-haiwan ’sebangsa’ dengan binatang yang
pernah kita sakiti. Beri makan sebagai tanda memohon maaf kepada haiwan tersebut. Lakukan semuanya ikhlas kerana ALLAH SWT.

“Walaupun haiwan itu tidak berakal, tetapi apabila kita memuliakan dan menghargainya, ALLAH SWT akan
memberi timbal balas yang baik kepada kita,“ pesannya.

ANEKDOT

RASULULLAH SAW pencinta haiwan.

  • Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang sangat menyayangi haiwan dan setiap makhluk yang dijadikan oleh
    ALLAH SWT dalam kehidupannya.
  • Oleh sebab kecintaan itulah, baginda meletakkan nilai kepada haiwan-haiwan tersebut.
  • Sikap itu dapat dilihat apabila Rasulullah SAW menamakan haiwan-haiwan yang selalu menjadi tunggangan
    baginda.
  • Antaranya dalam satu riwayat, disebutkan bahawa kekasih ALLAH itu meletakkan nama al-Murtajaz
    terhadap kuda tunggangannya. Nama itu diilhamkan oleh baginda SAW kerana keindahan warna putih kuda
    berkenaan, selain kekuatannya.
  • Sebab itulah menamakan haiwan tunggangan kita termasuk antara sunah Rasulullah SAW.
Kucing sangat gemar dengan kotak, ini sebabnya
  • Walaupun mungkin kita beli kereta yang sudah pasti ada jenamanya, tidak salah kita meletakkan nama
    kepadanya. Ia sebagaimana baginda SAW membubuh nama al-Qaswa kepada unta miliknya.
  • Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga menyayangi kucing dan kambing.
  • Disebabkan sifat penyayang itu, baginda SAW begitu menjaga makan dan minum haiwan berkenaan serta
    mengehadkan tugasan binatang berkenaan mengikut kemampuan stamina masing-masing.
  • Andai kata seekor haiwan tunggangan baginda tidak mampu bekerja keras atau ke medan perang, maka
    Rasulullah SAW tidak akan menggunakan kuda tersebut untuk tujuan itu. Begitu juga dengan haiwan yang
    uzur dan tidak kuat dalam perdagangan.

Sumber: Sinar Islam Plus

Sumber Haram Antara Punca ALLAH Tak Makbulkan Doa Hamba-NYA

Doa tak dimabulkan

BERDOA seakan satu kemestian bagi setiap orang Islam. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disuruh untuk berdoa sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.

Antaranya, ALLAH SWT berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)

Bahkan, sesiapa yang tidak berdoa pula dianggap sebagai orang yang sombong kepada ALLAH SWT.

Ia sebagaimana disebutkan dalam satu ayat al-Quran yang berbunyi: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-KU, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Bukan itu sahaja, doa juga merupakan senjata orang mukmin. Hanya kepada-NYA sahajalah tempat kita memohon, mengadu dan meminta pertolongan.

Kadangkala puas kita berdoa memohon suatu hajat atau seumpamanya, namun ia masih belum lagi diperkenankan oleh-NYA.

Rupa-rupanya ia ada perkaitannya dengan sumber makanan atau apa yang kita pakai selama ini.

Menurut Pengasas Elzar Group & MyClaaz. com serta Profesor Adjung di Universiti Selangor & Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW pernah bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir.

DR ZAHARUDDIN

Sabda baginda SAW: “Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh hingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhanku!” Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin ALLAH SWT akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, katanya, ia jelas menunjukkan, walaupun bermusafir merupakan salah satu waktu mustajabnya doa, namun disebabkan oleh makanan, minuman dan pakaiannya yang datang daripada sumber haram, maka ALLAH SWT telah menolak doa hamba-NYA itu.

Doa tak dimakbulkan
PASTIKAN kita mendapatkan sumber yang halal untuk membeli keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan lain-lain.

“Justeru, para ulama telah menghuraikan bahawa memang terdapat perkaitan antara harta yang kita peroleh, makanan yang kita makan, minuman yang diminum, pakaian yang digunakan serta memberi makanan daripada sumber tidak halal kepada anak akan memberi kesan kepada doa kita,” katanya.

Maka berhati-hatilah dalam bab ini. Jauhilah sumber yang haram dalam kehidupan kita. Sebaiknya, carilah sumber rezeki yang halal lagi baik supaya hidup kita akan terus berkat, bahkan mendapat rahmat-NYA.

Zikir Juga Dikira Sebagai Sedekah, Ramai Yang Mengabaikannya

Zikir juga sedekah

KADANGKALA terbit rasa iri hati tatkala melihat ramai orang yang berpeluang menyedekahkan harta benda miliknya. Hati merasakan begitu beruntungnya individu berkenaan berbuat demikian.

Sedangkan dirinya tidak mampu untuk bersedekah dengan begitu kerap. Apatah lagi memberikan nilai yang besar ketika melakukan infak berkenaan.

Ya, setiap orang mempunyai kehidupan yang berbeza. Begitu juga dengan kemampuan masing-masing.

Segelintir orang dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah, manakala ada pula yang hidup serba sederhana dan tidak kurang juga yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Namun begitu, semua orang bercita-cita juga untuk bersedekah bagi membantu mereka yang memerlukan atau paling tidak pun, memudahkan urusan orang lain.

Faktor kemampuan nampaknya tidak mengizinkan segelintir orang untuk bersedekah. Justeru apakah ada cara atau pendekatan lain untuk individu dalam situasi berkenaan berinfak?

Menjawab persoalan itu, Ahli Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat, Prof Madya Dr Azman Mohd Noor menjelaskan, sebenarnya ada banyak cara untuk berbuat kebajikan. Ia termasuklah amalan berzikir.

DR AZMAN

Dalam sebuah riwayat hadis, katanya, diceritakan bahawa terdapat seseorang yang mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa orang berada solat dan berpuasa sama seperti dirinya. Namun, dia dapat berbelanja dengan duit mereka untuk bersedekah dan seumpamanya.

Lalu, ditanyakan kepada baginda bagaimana caranya untuk bersaing dengan orang berada tadi? Nabi Muhammad SAW lantas bersabda: “…Dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan hal yang sama seperti kalian lakukan. Kalian bertasbih, bertahmid dan bertakbir di setiap akhir solat sebanyak 33 kali…” (Riwayat al-Bukhari)

“Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa sebenarnya ada banyak cara untuk kita bersedekah.

“Antaranya bertasbih (Subnahallah), tahmid (Alhamdulillah) dan takbir (Allahu akbar). Malah, setiap ajakan kepada kebaikan, melarang orang lain daripada membuat dosa dan menasihati hal yang baik juga dikira sebagai sedekah,” ujarnya.

Jangan Terkejut! Iblis Pernah Kejutkan Khalifah Solat Pada Awal Waktu

SUDAH dinyatakan di dalam al-Quran tentang sifat iblis yang sememangnya akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam sehingga hari kiamat.

Peringatan juga telah diberikan kepada umat manusia agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan iblis yang akan menyesatkan itu sekali gus menjurus ke arah neraka jahanam.

“Wahai anak Adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah berhasil mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga”, surah Al-A’raf, ayat 27.

Namun, tahukah anda bahawa iblis pernah mengejutkan seorang khalifah era pemerintahan Bani Umaiyah yang digelar Mu’awiyah.

Menerusi kisah yang dipetik daripada akaun YouTube Islam Popular, kisah tersebut diceritakan oleh penyair Jalaluddin Rumi dalam karya tulisannya Matsnawi.

Diceritakan pada suatu malam ketika Mu’awiyah sedang tidur di dalam istana, beliau telah dikejutkan oleh individu yang tidak dikenali. Setelah diperiksa, ternyata individu tersebut adalah iblis.

Disebabkan berasa tidurnya terganggu, Mu’awiyah telah bertanyakan kepada iblis mengenai tujuan kedatangannya;”Mengapakah kau membangunkan aku?.

Kemudian, jawab iblis;”Waktu solat akan segera tiba dan aku bimbang kau akan terlambat kerana tertidur wahai khalifah.”

Tindakan iblis itu nyata tidak dipercayai oleh khalifah kerana baginya, tidak mungkin iblis akan mengarahkan untuk berbuat baik melainkan menyesatkan manusia ke jalan kemungkaran.

Iblis bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

“Ketahuilah wahai khalifah! 700 tahun akau mengabdikan diri kepada ALLAH meskipun akhirnya aku membangkang-NYA.

“Aku membangkang-NYA bukan kerana kufur kepada-NYA, tetapi kerana rasa cemburu terhadap Adam. Aku masih mencintai-NYA wahai khalifah,” kata iblis.

Sekali lagi Mu’awiyah tidak mempercayai kata-kata iblis yang disifatkan sebagai pendusta semata-mata.

“Kau yang menyebabkan kehancuran umat Nuh, kaum Adam, kaum Luth, Fir’aun dan seterusnya,” jelas khalifah yang masih tidak mempercayai kata-kata iblis.

Makhluk yang dilaknat ALLAH itu tetap tidak mengaku kejahatan yang dilakukan umat manusia disebabkan dirinya. Sebaliknya iblis mengatakan,”Setiap kemungkaran itu dilakukan oleh manusia sendiri kerana didorong oleh hawa nafsu mereka”.

Enggan terpedaya dengan tipu helah, Mu’awiyah kemudian berdoa kepada ALLAH dan meminta agar dipelihara serta dijauhkan daripada godaan iblis.

Setelah seketika, iblis akhirnya mengakui tujuan sebenar mengejutkan Mu’awiyah daripada tidur.

“Baiklah khalifah! Aku akan mengungkapkan alasanku membangunkanmu melaksanakan solat tepat waktu. Jika engkau tertidur dan kehilangan waktu solat, maka engkau akan sangat menyesal. Penyesalan di dalam dirimu akan membawamu kepada zikir kepada ALLAH dengan penuh penyesalan.

“Zikir penuh penyesalan itu lebih aku takut daripada solatmu. Ini kerana setiap zikir penuh penyesalan yang kau sampaikan kepada ALLAH itu bernilai dua ratus kali lebih banyak daripada soalt atau doa biasa,” kata iblis.

Masya-ALLAH! Takut sungguh iblis kepada zikir penyesalan manusia yang mengakui khilaf atas perbuatan salah.

Semoga kita semua akan terpelihara daripada tipu daya iblis dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kepada ALLAH selagi hayat masih dikandung badan.

Bersedekah, Jaga Silaturahim Antara 10 Amalan Digalakkan, Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah

Bersedekah, jaga silaturahim antara 10 amalan digalakkan, pada 10 hari pertama Zulhijjahrian, Kelantan.

Zulhijjah adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam.

Jika Ramadan dikenali dengan kelebihan sepuluh malam terakhir, Zulhijjah pula mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya pada 10 hari pertama.

Malah, pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah memberikan pahala yang lebih besar daripada jihad.

Sabda Rasulullah bermaksud:
“Tiada amalan dilakukan pada hari lain yang lebih baik daripada amalan pada 10 hari ini. Para sahabat bertanya: Walaupun jihad? Baginda menjawab: Tidak juga jihad, kecuali jika seseorang keluar dengan nyawa dan hartanya dan tidak kembali lagi.” (HR al-Bukhari)

Ternyata terdapat banyak kelebihan sehingga Rasulullah meletakkan 10 hari terawal Zulhijjah sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian.

Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh ALLAH.

Oleh itu, antara amalan yang disarankan:

1. Solat awal waktu secara berjemaah
Solat pada awal waktu dan solat berjemaah sememangnya tersabit kelebihan dalam banyak hadis antaranya:

Sahih al-Bukhari (5970) yang bermaksud “Apakah amalan paling dicintai di sisi ALLAH SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “Jihad pada jalan Allah SWT”.

Sahih Muslim (1509) yang bermaksud “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat sendiri sebanyak 27 rakaat.”

Amalan pahala haji

2. Haji dan umrah bagi berkemampuan
Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam dalam hati dan berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah ALLAH SWT.

Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran: 97 yang bermaksud, “Dan ALLAH mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

3. Berbakti kepada kedua ibu bapa
ALLAH SWT memerintahkan umat manusia untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sebagaimana yang dinyatakan di dalam ayat al-Quran surah al-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang musafir terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.

Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

4. Memelihara silaturahim
Terdapat banyak keistimewaan menjaga silaturahim. Contohnya, kita akan mendapat keredaan ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT mafhumnya: “Dan bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-NYA serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa’: 1).

Doa belum makbul

5. Bertaubat dan istighfar
Kelebihan beristighfar sangat penting dan besar. Rasulullah SAW yang maksum dan dijanjikan syurga sendiri beristighfar dengan penuh penghayatan sebanyak 70 hingga 100 kali sehari.

Justeru, kita perlu memperbanyakkan istighfar dan taubat kerana keutamaannya yang sangat besar dan ALLAH SWT yang memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa beristighfar serta bertaubat kepada-NYA.

6. Baca al-Quran
Satu perkara yang perlu terpahat dalam hati dan fikiran setiap Muslim adalah membaca al-Quran. Ia bukan hanya mampu memperoleh pahala bacaan sahaja, malah bakal menjadi penyelamat, pelindung dan syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat kelak.

Umamah al-Bahili meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Sahih Muslim)

Bukan saja mereka yang membaca al-Quran, malah golongan mendengar bacaan al-Quran juga dikira sebagai melakukan amal kebaikan.

7. Melakukan ibadah korban
Hukum ibadat korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).

Golongan yang mampu adalah orang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang korban daripada keperluannya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari Tasyrik.

Keajaiban sedekah subuh.. amalkan setiap hari pasti ada ganjaran rezeki yang tak disangka

8. Bersedekah
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”

9. Berzikir kepada Allah, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Selawat dan zikir adalah ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita. Sebahagian ulama juga ada menyatakan bahawa selawat merupakan satu juzuk daripada zikir.

Oleh sebab itu, ALLAH SWT menuntut kita untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan Nabi SAW. Tambahan pula, ia merupakan wasilah atau jalan kita untuk mendapatkan cinta ALLAH SWT.

10. Melakukan amar makruf nahi mungkar
Amar makruf dan nahi mungkar bermaksud “mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran”.

Mengajak kebaikan ialah mengajak manusia kepada ALLAH atau mentaati perintah ALLAH. Amar makruf nahi mungkar ialah amalan sunah nabi yang fardu.

Justeru, ambil peluang keemasan dengan memperbanyakkan amalan soleh. Lakukan apa sahaja amalan dengan ikhlas bagi mendapat rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT.

Sumber: Pejabat Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama)

Mengapa Rasulullah Membaca Surah Al-Sajadah Hari Jumaat?

Rujuk al-Quran

AS-SAJADAH adalah surah ke-32 dalam al-Quran, kitab suci agama Islam. Diturunkan di Mekah selepas surah Al-Mukminun.

Surah itu terdiri atas 30 ayat dan terdapat ayat sajdah (sujud) iaitu ayat ke-15.

Ia menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman kepada ALLAH itu, apabila diingatkan kepada mereka tentang ayat ALLAH, mereka akan tersungkur sujud dan mengucapkan tasbih sambil memuji kepada Tuhan dengan tidak ada rasa sombong.

Dalam surah al-Sajadah juga terdapatnya ayat-ayat menghuraikan kunci-kunci ghaib yang dahulu
sudahpun disebutkan di penutup surah Luqman tentang kematian, alam akhirat, tentang kandungan
seorang ibu yang bakal melahirkan dan sebagainya.

Surah itu adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah selalu membaca dalam rakaat
pertama solat Subuh pada hari Jumaat.

Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah pada hari Jumaat?

1. Menurut Saidina Abu Hurairah, Rasulullah dilihat sering membaca surah al-Sajadah dan surah al-Insan
pada solat Subuh pada hari Jumaat.

Perkara itu direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah membaca surah al-Sajadah (Alif Lam Mim, Tanzil)
dan surah al-Insan (Hal Ata ‘alal insan). (HR al-Bukhari)

2. Melalui riwayat al-Tabrani pula, Rasulullah dikatakan konsisten membaca dua surah ini dalam solat
Subuh hari Jumaat. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah sering membaca kedua surah ini pada hari Jumaat?

Salah faham dalam agama

3. Sekiranya diperhatikan kedua surah ini secara umumnya menceritakan tentang perjalanan hidup manusia.
Di sini Rasulullah seolah ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kitaran kehidupan kita
sentiasa perlu diingatkan dan diperhatikan semula.

4. Terdapat tiga tema utama disentuh ALLAH dalam kedua surah ini:

a. Yang pertama adalah tentang asal kejadian manusia. Ayat 7 hingga ayat 9 dari surah al-Sajadah menceritakan tentang asal usul manusia. Begitu juga dengan ayat kedua dari surah al-Insan ini. Seolah, setiap minggu Rasulullah mengajak kita mengimbas kembali tentang asal kejadian kita.

b. Yang kedua, surah ini mengingatkan manusia tentang jalan yang dipilih oleh mereka dalam kehidupan
mereka. Mukmin yang soleh akan memilih jalan yang baik lalu mereka sujud secara praktikal di dalam solat
subuh ini. Manakala manusia yang engkar, yang menjadi kufur dan fasiq akan menyesal di kemudian hari.

c. Yang ketiga, kedua surah ini turut mengingatkan manusia tentang pembalasan akan mereka terima
atas jalan yang dipilih di dunia. Sekiranya jalan baik yang dipilih, maka kebaikanlah diperoleh akhirat kelak.

Solat hujung waktu

5. Melalui dua surah ini, Rasulullah seakan ingin mengingatkan kita pada setiap minggu bahawa kita dijadikan oleh ALLAH atas tujuan yang jelas.

Yang merosakkan kehidupan kita adalah disebabkan perbuatan dan pilihan kita sendiri lalu ALLAH memberikan peringatan tentang azab yang akan kita hadapi atas pilihan kita sendiri.

6. Al-Imam Ibn Taimiyyah pula memberikan sedikit pandangan yang berbeza. Menurut beliau, Rasulullah
sering membaca surah ini pada hari Jumaat kerana ia mengingatkan manusia tentang apa yang akan berlaku pada hari Jumaat.

Kata Ibn Taimiyyah yang bermaksud: “Kedua surah ini mengandungi (dan mengingatkan kita) tentang apa yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat iaitu, pada hari Jumaat Adam dijadikan, hari ini juga akan berlakunya hari kiamat, manusia akan dihimpunkan juga pada hari Jumaat. Maka bacaan surah ini pada hari Jumaat adalah peringatan buat umat ini tentang apa yang telah dan akan berlaku.” (Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah)

Marilah kita mentadabbur surah ini bersama-sama semoga mendapat berkat dan pengajaran untuk dijadikan pedoman bagi menempuh kehidupan kita kelak.

Moga ALLAH membimbing kita semua.

Sumber: Telegram Dr Ahmad Sanusi Azmi

Sambutan Hari Raya Aildiladha Lebih Istimewa, Bermakna Daripada Meraikan Aidilfitri

Oleh RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

HARI Raya Aidiladha atau disebut juga sebagai Hari Raya Haji merupakan salah satu perayaan yang sangat bermakna kepada umat Islam.

Ini adalah kerana peristiwa tersebut berkaitan dengan salah satu daripada Rukun Islam iaitu mengerjakan haji di Mekah.

Jika kita sebagai rakyat Malaysia yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita menghafalnya, begitulah juga dengan rukun Islam.

Malahan kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami, melaksana dan menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam dibangunkan di atas lima perkara, persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan puasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mungkin ada dalam kalangan kita yang menganggap Hari Raya Aidilfitri lebih utama atau bermakna jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidiladha.

Hal itu mungkin disebabkan kerana tradisi atau pemahaman kita sejak dahulu lagi yang memungkinkan Aidilfitri ini lebih besar daripada Aidiladha.

Namun, jika kita lihat semuanya secara teliti, beberapa perkara yang mungkin memperlihatkan bahawa Aildiladha itu lebih istimewa disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah bilangan hari setiap umat Islam disunatkan bertakbir berbeza.

Begitu juga dengan sambutan Aidiladha yang lebih ke arah pengorbanan berdasarkan kepada peristiwa yang masyhur di antara Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mengisahkan suruhan dan tuntutan ALLAH SWT dalam ibadah penyembelihan.

Selain itu juga, sambutan Aidiladha yang berkaitan rapat dengan ibadah haji pastinya menitipkan kerinduan dalam kalangan umat Islam untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Haram.

Apatah lagi dalam keadaan negara dan dunia yang sedang dilanda wabak Covid-19, pastinya seluruh umat Islam akan sentiasa berdoa agar wabak tersebut akan lenyap daripada muka bumi, sekali gus memberi harapan untuk hadir sebagai tetamu ALLAH SWT.

Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh ALLAH SWT sebagai tempat manusia untuk berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata untuk mengabdikan diri kepada MAHA PENCIPTA.

Berziarah ke Baitullah juga memberi peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-NYA.

Justeru, ibadah Haji merupakan satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.” (Surah Al-Hajj: 27)

Selain Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia diciptakan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini, selain kota Madinah yang juga dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW.

Hal berkenaan jelas membuktikan bahawa Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat yang sangat istimewa kepada umat Islam di atas dunia yang fana ini.

Maksud tanah haram adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh ALLAH SWT akan kesuciannya daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada penciptanya iaitu Allah SWT.

Ia adalah bertujuan untuk memberikan keselesaan dan ruang yang terbaik kepada hamba-hamba-NYA dalam kesempatan yang diperoleh untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-NYA.

Sehubungan itu, perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur hidup kita.

Jangan sesekali putus asa atau mengalah daripada terus berharap kepada ALLAH SWT.

Sekiranya kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi menunaikan rukun Islam ke-5 ini.

Janganlah sesekali bertangguh atau melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui ALLAH SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan, tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Jika ditakdirkan nyawa kita telah diambil oleh ALLAH SWT terlebih dahulu sebelum kita menjejakkan kaki ke bumi Makkah, menjadi tanggungjawab waris terdekat untuk menyempurnakan haji kita.

Oleh demikian, jadikan peristiwa dan perayaan Aidiladha sebagai medan untuk kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan di sisi ALLAH SWT.

Sentiasa berlapang dada untuk berkorban ke arah kebaikan kerana setiap pengorbanan yang baik itu sudah tentu akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Yakin di atas segala usaha dan tindakan yang dilakukan demi membuktikan keimanan kita kepada MAHA PENCIPTA iaitu ALLA SWT.

Jika kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam apa jua tindakan serta kelakuan kita termasuk pengorbanan dalam kehidupan, sudah tentu ganjaran kebaikan akan kita miliki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan ALLAH SWT, mereka itulah orang yang benar.” (Surah Al-Hujurat: 15)

HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.
HARI Raya Aidiladha sinonim dengan aktiviti berkorban. Namun, pada musim pandemik, suasananya tidaklah semeriah dua tahun sebelum ini. Bersamalah kita berdoa agar wabak Covid-19 ini akan lenyak di muka bumi ini buat selama-lamanya.

RAFIUDDIN ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan merangkap Ketua Unit Hal Ehwal Sialm, UiTM Cawangan Segamat, Johor

Foto BERNAMA, UNSPLASH, FREEPIK & 123RF

Zikir Untuk 100 Kebaikan, Dijauhkan 100 Keburukan

Lakukan kebaikan

SETIAP insan berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagiaan dan kesenangan dalam kehidupan.

Oleh sebab itu, apa sahaja perkara yang dilakukan haruslah berlandaskan dan matlamat utamanya mendatangkan kebahagiaan.

Justeru, pendakwah, Asma’ Harun berkongsi satu zikir yang membantu mendatangkan kebaikan untuk kehidupan.

“Saya nak berkongsi ilmu yang tidak ternilai melebihi dunia dan isinya, satu zikir yang diajarkan Rasulullah SAW.

“Saya hanya menyampaikan, kita sama-sama beramal dengan istiqamah dan khusyuk. Mudah-mudahan akan merasai kemanisannya,” coret beliau di laman sosial Facebook.

Ujarnya, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa membaca

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Laa ilaaha illallahu wahdahuu laa syariika lahuu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai’in
qodir.

“Yang beerti tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagi-
NYA. Milik-NYA kerajaan dan bagi-NYA segala puji dan DIA MAHA KUASA atas segala sesuatu.”

Latih anak berpuasa, ini cara berkesan ajar berperingkat ikut waktu solat

“Membaca zikir ini sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti membebaskan 10 orang hamba, ditetapkan baginya 100 kebaikan dan dijauhkan daripadanya 100 keburukan.

“Dan baginya perlindungan daripada (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya daripada orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang dapat mengamalkan lebih banyak zikir ini.” (HR Bukhari, hadis sahih)

Menurut beliau lima waktu yang boleh diamalkan zikir tersebut:
1. Boleh diamalkan pada bila-bila masa kerana Nabi SAW tidak menetapkan waktu.

2. Jika nak tetapkan untuk diri sendiri tiada masalah sebagai contoh:

  • 50 kali lepas Subuh dan 50 kali lepas Asar atau 20 kali selepas solat, asalkan cukup 100 kali.

3. Nabi Muhammad SAW menggalakkan membaca sebanyak maksudnya melebihi 100 kali sebagaimana penghujung Hadis.

4. Wanita yang sedang dalam keadaan tidak suci, seperti haid dan nifas juga boleh mengamalkannya.

5. Membaca tanpa wuduk atau menghadap kiblat juga tiada masalah sambil melakukan tugasan juga dibolehkan.

Namun begitu suasana yang fokus tenang khusyuk sudah tentu lebih baik.

Semoga yang sedang dalam kesusahan, kebimbangan, ketakutan, kesedihan, kesempitan dan apa sahaja, ALLAH angkat segala musibah dan ujian, diberikan jalan keluar terbaik dunia dan akhirat.

Semoga ALLAH juga berikan kita kekuatan beramal dan istiqamah hingga diberikan Husnul Khatimah.

Selamat beramal!

Puasa Bulan Muharam, Puasa Terbaik Selepas Ramadan

Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

BULAN Muharam ialah bulan yang pertama di dalam kalendar Hijrah. Ia merupakan antara bulan yang
suci dan dimuliakan.

Kita amat digalakkan untuk memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini kerana sebaik-sebaik
puasa selepas puasa Ramadan ialah puasa pada bulan Muharam.

Daripada Abu Hurairah RA. beliau berkata:

سُئِلَ أَيُّ الصَّلَاةِ أَفْضَلُ بَعْدَ الْمَكْتُوبَةِ وَأَيُّ الصِّيَامِ أَفْضَلُ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ وَأَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ صِيَامُ شَهْرِ اللَّهِ الْمُحَرَّمِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah ditanya, solat apakah yang paling utama setelah solat maktubah
(wajib)? Dan puasa apakah yang paling utama setelah puasa Ramadan? maka Baginda menjawab:

Sebaik-baik solat setelah solat maktubah (wajib) adalah solat pada sepertiga akhir malam, dan
sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa di bulan Muharam. [HR Muslim, Hadis Sahih]

Demikian juga terdapat sebuah hadis daripada Ali RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika kamu ingin berpuasa selain bulan Ramadan, maka berpuasalah pada bulan Muharam, kerana
sesungguhnya ia bulan di mana ALLAH telah memberi taubat kepada kaumnya Musa dan memberikan
taubat kepada kaum yang lain.” [HR Tirmizi, Hadis Hasan Gharib]

Antara puasa sunat yang boleh dilakukan pada bulan Muharam ini ialah:

1. Puasa sunat Isnin dan Khamis

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku
dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (HR Tirmizi, hadis hasan gharib)

Dalam sebuah hadis yang lain, Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis
hasan).

2. Puasa sunat Tasu’a

• Puasa Tasu’a berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.
• Puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharam (kelmarin) dalam kalendar hijrah Islam.

Diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud;

“Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke
sembilan (Muharam).” [HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a

نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana ALLAH Ta’ala”.

Ganti puasa

3. Puasa sunat ‘Asyura

• ‘Asyura berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu عَشَرَة (‘asyarah) yang bermaksud sepuluh.

• Hari ‘Asyura adalah hari yang ke sepuluh dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam (semalam).

• Pelbagai peristiwa yang telah berlaku pada hari tersebut. Disebabkan itu, umat Islam menghormati hari ‘Asyura sepertimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

• Terdapat nas khusus berkenaan puasa hari ‘Asyura. Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA yang
bermaksud;

“Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda berkata: “Apakah ini?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah hari ALLAH menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Kata Ibnu Abbas r.a. apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura. [HR al-Bukhari, Hadis Sahih]

Daripada Abu Qatadah, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka
kata Baginda SAW:

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.
[HR Muslim, Hadis Sahih]

Lafaz Niat Puasa Asyura;

نَوَيْتُ صَوْمَ عَشُرَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari ‘Asyura pada besok hari kerana ALLAH Ta’ala”.

4. Puasa sunat hari putih (Ayyamul Bidh)

Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari putih (bidh) iaitu pada tiga
belas, empat belas, dan lima belas. Beliau berkata; hari-hari tersebut umpama setahun”.

(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud)

Lafaz niat puasa sunat Ayyamul Bidh

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana ALLAH Taala.

Justeru, marilah bersama-sama mengambil peluang ini untuk melazimi puasa sunat dalam bulan Muharam.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan orang yang dimasukkan ke dalam Syurga melalui pintu al-Rayyan sebagaimana yang tercatat di dalam hadis berikut;

Daripada Sahal bin Sa’d R.A, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sumber: Asma’ Harun

Tanam 4 Pokok Ini, Ikhtiar Pagar Rumah Dari Gangguan Makhluk Halus

MENJADI tanggungjawab kita berusaha dan berikhtiar melindungi diri, ahli keluarga dari gangguan makhluk halus.

Antara amalan yang boleh dijadikan sebagai ‘memagar rumah’ ialah penghuninya memperbanyakkan membaca Al-Quran di dalam kediaman berkenaan.

Selain itu, ibadah-ibadah seperti solat sunat perlu dilakukan juga di rumah selain di masjid sebagai pendinding daripada gangguan syaitan.

Perkongsian daripada Ustaz Mohammad Yaakub Yusra menerusi paparan video di Murtadha TV ini boleh dijadikan panduan buat kita semua dalam usaha melindungi diri dan rumah daripada gangguan makhluk halus.

Ustaz Mohammad Yaakub Yusra

Katanya, terdapat beberapa jenis pokok yang elok tanam sebagai ikhtiar mengelakkan daripada gangguan tersebut.

Ustaz Yaakub berkata, makhluk halus seperti jin, iblis tidak menyukainya kehadiran pokok-pokok berkenaan dan berupaya ‘menawarkan’ sihir.

“Kalau orang nak sihir kita, ia susah untuk menembusi apabila ada pokok-pokok ini, dengan izin ALLAH.

“Bukan kita bergantung kepada pokok-pokok itu, tetapi ia adalah ikhtiar. ALLAH yang tetap yang menyembuhkan,” katanya.

Antara pokok tersebut adalah seperti berikut:

1)Pokok durian belanda

2)Pokok limau nipis

3)Pokok limau purut

4)Pokok bidara

Katanya, pokok-pokok itu tidak perlu bersaiz besar. Asalkan ia ditanam dan hidup, sudah memadai walaupun masih kecil.

Selain itu, Ustaz Yaakub juga berkongsi tip buat golongan wanita yang sedang dalam keadaan uzur syarie seperti haid dan nifas untuk berikhtiar mendapatkan perlindungan daripada gangguan dengan mandi menggunakan air daun bidara.

“Ketika dalam keadaan uzur, tubuh wanita akan lemah dan makhluk halus mudah menyerang.

“Untuk membuat air mandian menggunakan daun bidara, daunnya perlu diramaskan di dalam air dan dijadikan air mandi.

“Tiada ada jumlah daun tertentu diperlukan, 21, tujuh atau satu helai. Nilai tidak wajib, ia hanya alternatif sahaja,” katanya.

Sebelum mandi, kaum wanita menyatakan niat sebagai ikhtiar sebagai pendinding daripada makhluk yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada jasad dan dalaman.

Justeru, tidak salah untuk berikhtiar selagi ia tidak melanggar batasan agama. Namun harus diingat, ia perlu dilakukan dengan kebergantungan sepenuhnya kepada ALLAH.

Sumber: Murtadha TVPejabat Mufti Wilayah