Archives for January 2022

Hati-Hati Pakai Jubah, Dress. Wanita ‘Bertelanjang’ Tak Cium Bau Syurga

tudung

PAKAIAN merupakan satu perkara yang asas bagi setiap manusia.

Selain untuk menutup tubuh badan yang sedia kita maklum adalah aurat, ia juga sebagai penyeri penampilan seseorang untuk kelihatan lebih cantik dan bergaya.

Pada zaman sekarang, pakaian dikatakan perlulah mengikut trend dan fesyen. Maka ramailah anak-anak muda berlumba-lumba untuk memenuhi kehendak trend pada masa kini.

Bagi wanita, ramai juga dilihat memilih pakaian jubah dan dress labuh. Nampak cantik dan ayu namun waspada ia boleh mengundang azab ALLAH SWT.

Seperti perkongsian guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu, Penaga, Pulau Pinang, Mawaddah Mohd Noor ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan wanita.

Menerusi posting di laman Facebooknya, memakai jubah perlu disertakan dengan seluar longgar atau kain yang tebal di dalamnya.

“Apabila memakai jubah atau dress labuh, please pakai kain yang agak tebal di dalamnya supaya tidak nampak lurah punggung dan bentuk panties yang dipakai.

“Kadang-kadang warna panties pun nampak dari pandangan luar apabila kain yang dipakai itu jarang dan nipis di dalam. Setakat kain yang nipis di lapisan dalam, ianya belum mencukupi.

“Sepatutnya pakai seluar panjang yang agak longgar dan tebal atau skirt labuh yang tebal di bahagian dalam jubah supaya tidak menampakkan bayangan tubuh si pemakai.

“Jangan terlalu rasa ‘biasa’ mempertontonkan bentuk punggung dan dada serta baby bump bagi ibu-ibu yang sedang hamil. Semua itu adalah aurat yang perlu dilindungi dari pandangan sesiapa pun. Sedarlah, semua itu bukanlah bahan pamer FOC untuk tatapan umum,” coretnya.

Ya! wanita masih perlukan lelaki. Impi yang menghargai, bukan mendera emosi

Menurut Mawaddah, pilihlah jubah yang tidak mengikut bentuk badan.

“Jangan lupa juga, saat memakai jubah pastikan jubah tidak mengikut bentuk badan (ketat) kerana jika demikian ia akan kelihatan seperti membalut sebiji buah cempedak atau nangka.

“Hodoh ‘bebenor’ bila melihatnya walaupun sesetengah orang amat ghairah melihatnya.

“Tidak kiralah gemuk atau kurus si pemakai itu. Ustazah atau tidak. Sama saja. Bukan itu yang diajar oleh agama.

“ALLAH Taala akan murka jika kita berpakaian ala-ala jahiliyyah. Sendat dan ketat.

“Lainlah kalau buah cempedak betul. Memanglah sangat sedap dan menjadi rebutan. Ingatlah, manusia ini dijadikan bukan sebagai rebutan. Tetapi manusia ini adalah khalifah untuk dimuliakan. Dan mulianya manusia itu dengan agamanya yang benar.

“Orang dulu-dulu, si pemakai jubah memahami tuntutan pemakaian jubah iaitu untuk melindungi dan memelihara aurat daripada dilihat dan terdedah. Malang sekali bila di zaman sekarang, jubah hanya dipakai kerana si pemakai hanya mahu nampak lebih trendy dan tampak allegant.

“Jom check dulu piawaian pemakaian jubah yang dipakai. Andai tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan, bersegeralah menukarnya kepada jubah yang lain sehingga menjadi sempurna menurut pandangan syariat,” ujarnya.

Sebab itu Nabi S.A.W bersabda:

“Ada dua kelompok manusia penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat: kaum laki-laki yang membawa cambuk seperti buntut sapi, mereka memukul manusia dengannya, dan kaum perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka bagaikan punuk unta yang miring, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mendapatkan wanginya, padahal wangian Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.” HR Muslim, no 2128.

Maka, inilah realiti yang sedang berlaku di akhir zaman ini. Semoga kita semua terhindar daripada bayangan ini.

Paling penting, semoga kita menuruti syariat dan ALLAH Taala sayang akan kita.

Semoga bermanfaat

Sumber: Mawaddah MN

Amal Zikir Ringkas Ini, Dosa Akan Berguguran Seperti Daun

Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

SETIAP manusia pastinya tidak lari daripada melakukan dosa besar mahupun kecil atau kesalahan selama hidupnya.

Kerana itu kita sebagai umat Islam haruslah sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH.

Selain berdoa memohon ampun, kita turut digalakkan berzikir.

Rasulullah menganjurkan umatnya agar memperbanyak zikir mengingat ALLAH SWT.

Di antara zikir-zikir yang sering diajarkan Rasulullah salah satunya adalah tasbih.

Tasbih mempunyai keutamaan sebagai penggugur dosa bagi siapa saja yang sering melantunkannya untuk memuji
keagungan ALLAH. Dalam sebuah hadis disebutkan;

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بشجرة يابسة ةمعه أصحابه، فأخد بغصن من أغصانها فجعل ينفضه ويتحات الورق فقال صلى الله عليه وسلم: ألا يقول سبحان الله والحمد لله ولاإله إلا الله والله أكبر ليحتن الخطايا كما يتحات ورق هذه الشجرةIKLAN

Dari Anas, bahwasanya: Rasulullah SAW melewati sebuah pohon bersama para sahabat, mengambil ranting dari ranting pohon itu, lalu beliau menggugurkannya, lalu dedaun itu gugur.

Doa belum makbul

Rasulullah SAW pun bersabda, “Ketahuilah mengucapkan Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah
wa Allahu Akbar itu dapat menggugurkan kesalahan-kesalahan sebagaimana daun pohon itu berguguran dari
pohonnya.” (HR. Thabrani)

Imam Thabari juga menyebutkan sebuah riwayat ketika ada seorang laki-laki bertanya kepada Sahabat Ali Ra
tentang apa makna Tasbih. Sayyidina Ali berkata, “Tasbih adalah mengagungkan Allah”.IKLAN

Dalam Kitab Mu’jam Maqayis al-Lughah, disebutkan bahwa bertasbih bererti mensucikan ALLAH sebagai satu-satunya yang berhak disembah.

Maka dari itu, para ulama menyebut tasbih merupakan asas utama dari tauhid dan rukun-rukun keimanan.

Sedemikian besar dan agung makna tasbih, sehingga barang siapa yang mengucapkannya maka dosa-dosa yang
pernah dilakukan akan berguguran sebagaimana daun-daun gugur dari dahan pepohonan sebagaimana Rasulullah
jelaskan dalam hadisnya di atas. Wallahu’alam.

Justeru, amalkanlah zikir Subhanallah wal hamdulillah wa laa ilaaha illaa Allah wa Allahu Akbar sebanyak
mungkin dalam kehidupan seharian kita.

Moga ALLAH ampunkan dosa-dosa terdahulu kita sebelum dipanggil pulang ke tempat abadi.

Sumber: BincangSyariah.Com

Sah Atau Tidak Solat Berimamkan Seorang Perokok, Ini Kata Dr Zulkifli Al-Bakri

Solat tak diterima

TABIAT merokok sememangnya diketahui terkenal dengan kesan yang memudaratkan kepada kesihatan.

Merokok selalunya dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kerosakan paru-paru, masalah berkaitan kesuburan, strok, kanser dan sebagainya.

Bahkan, mengikut pandangan Islam, hukum merokok adalah haram kerana membahayakan kesihatan selain memberi mudarat kepada orang lain serta membazir.

Kita maklum merokok haram dalam Islam, namun bagaimana pula agaknya jika solat berimamkan seorang perokok.

Menjawab persoalan ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya.

Dr Zulkifli tampil menjawab soalan daripada seorang individu yang bertanyakan “Imam kampung saya perokok. Bolehkah saya solat di belakangnya? Sah ke? Atau lebih baik saya solat seorang diri?”

Katanya, berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995, Muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.

Antara kriteria imam adalah seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu Mas’ud al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Yang menjadi imam kepada sesebuah kaum itu adalah mereka yang paling mahir terhadap Kitab Allah [al-Quran]. Sekiranya mereka setanding dalam bacaan maka [dahulukan]) yang paling berilmu tentang al-Sunnah [untuk menjadi imam]. Sekiranya pengetahuan mereka terhadap Sunnah itu sama maka yang menjadi imam adalah mereka yang paling awal berhijrah. Sekiranya mereka sama dalam berhijrah pula dahulukanlah mereka yang paling awal memeluk agama Islam.

Manakala dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi S.A.W menyebut:

فَأَكْبَرُهُمْ سِنًّا

Maksudnya: Yang paling tua umurnya.

Individu yang paling mahir terhadap al-Qur’an juga bermaksud paling banyak menghafal al-Qur’an atau paling baik bacaan al-Qur’an.

Dalil paling mahir itu bermaksud paling banyak menghafal adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar beliau berkata:

لَمَّا قَدِمَ الْمُهَاجِرُونَ الْأَوَّلُونَ الْعُصْبَةَ -مَوْضِعٌ بِقُبَاءٍ – قَبْلَ مَقْدَمِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم ، كَانَ يَؤُمُّهُمْ سَالِمٌ مَوْلَى أَبِي حُذَيْفَةَ ، وَكَانَ أَكْثَرَهُمْ قُرْآنًا

Maksudnya: Ketika mana golongan Muhajirun yang terawal sampai di ‘Ushbah – iaitu sebuah kawasan di Quba’ – sebelum ketibaan Rasulullah S.A.W, yang menjadi Imam kepada mereka pada ketika itu adalah Salim yang merupakan maula kepada Abu Huzaifah, dan beliau merupakan individu yang paling banyak menghafal al-Quran dari kalangan mereka.

AWAS! Perokok yang dijangkiti Covid-19, berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius.

Imam al-Nawawi dalam syarah beliau ke atas hadis Abu Mas’ud al-Ansari menambah satu lagi ciri yang menjadi keutamaan dalam menjadi imam solat iatu faktor kewarakan seseorang. Kata beliau:

ولنا وجه اختاره جماعة من أصحابنا : أن الأورع مقدم على الأفقه والأقرأ لأن مقصود الإمامة يحصل من الأورع أكثر من غيره

Maksudnya: Dan kami mempunyai suatu pendapat yang dipilih oleh sekumpulan dari kalangan ashab kami (ulama al-Syafi’iyyah) yang menyebut bahawa individu yang paling warak diutamakan ke atas orang yang faqih dan lebih mahir tentang al-Quran. Ini kerana tujuan menjadi imam itu akan terhasil lebih banyak dari orang yang warak berbanding selainnya.

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat).

Namun jika bertembung antara mana yang lebih afdhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal.

Coret Dr Zulkifli, kesimpulannya, tidak sepatutnya seorang imam solat berjemaah itu adalah seorang perokok sekalipun hukum solat mengikutnya adalah sah.

“Berdasarkan fatwa Imam al-Ramli dalam hal berimamkan ahli bidaah atau orang fasiq, saya cenderung lebih afdhal solat berjemaah dengan imam perokok daripada solat berseorangan,” katanya.

Pun begitu, Dr Zulkifli menyarankan agar orang ramai berusaha untuk menasihati perokok tersebut supaya berubah ke arah yang lebih baik.

Perkongsian artikel berjudul Imamku Perokok itu menarik perhatian ramai. Kebanyakan pembaca menyokong penulisan tersebut dan menyifatkan golongan perokok terutamanya individu beragama Islam perlu berusaha meninggalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan itu.

Isu yang diketengahkan Dr Zulkifli menerusi ruangan dikenali sebagai Maktabah al-Bakri itu mendapat lebih 12,000 tanda suka dan 2,000 shares selepas dimuat naik di laman Facebook beliau kelmarin.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Adab, Tatacara Berniaga Dalam Islam Yang Perlu Kita Patuhi Demi Mendapat Keredaan-NYA

jual beli

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

JUAL beli adalah salah satu bentuk urus niaga yang diharuskan dalam Islam. ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “Dan ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Jual beli merupakan medium untuk manusia saling memenuhi keperluan masing-masing. Pihak penjual ada barangan yang ingin dijual dan melaluinya, mereka boleh mendapat keuntungan secara halal.

Pembeli pula memerlukan barangan keperluan dan mereka boleh memperolehnya dengan cara yang halal juga.

Bagi menjadikan urusan jual beli yang dilakukan itu diberkati ALLAH SWT, terdapat beberapa adab dan tata cara yang sangat penting untuk diambil berat. Berikut adalah perinciannya:

1. Penjual dan pembeli hendaklah bersifat amanah.

Penjual dan pembeli perlu amanah semasa melakukan urusniaga dengan bersikap jujur dan tidak menipu dalam perniagaan.

Antara contoh amanah seorang peniaga adalah mereka tidak mencampurkan buah-buahan yang lama dengan yang baharu, kemudian menjualnya pada harga yang sama nilai.

jual beli

Dalam situasi lain pula adalah tidak mencampurkan makanan yang sudah dimasak pada hari sebelumnya dengan makanan yang dimasak pada hari ini.

Sementara pembeli haruslah bersikap jujur untuk memulangkan semula wang yang penjual tersilap beri semasa memulangkan baki kepadanya.

2.  Penjual dan pembeli hendaklah berlaku ihsan.

Maksud ihsan dalam berurus niaga ialah penjual tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, mereka mengambil kira semua aspek kemasyarakatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT terutama pada musim wabak kini yang menyaksikan kebanyakan orang mengalami masalah kewangan.

Di pihak pembeli pula, golongan itu tidak menawarkan harga sehingga membawa kerugian kepada penjual.

3. Penjual dan pembeli hendaklah saling bekerjasama.

Kedua-duanya saling bekerjasama apabila timbul sebarang perkara yang tidak diingini seperti wujud kecacatan pada barang jualan setelah sempurna akad jual beli.

Jika ia (kecacatan) tidak menjejaskan manfaat yang ingin diperoleh daripada barang tersebut seperti buku yang terkoyak sedikit tanpa melibatkan tulisan dalam buku berkenaan, pembeli digalakkan bertolak ansur untuk menerima kekurangan tersebut tersebut.

jual beli

Namun, jika ketidaksempurnaan tersebut menjejaskan manfaat buku berkenaan, penjual hendaklah menggantikannya dengan buku baharu.

4. Penjual hendaklah tekun dalam urus niaganya.

Kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara adalah salah satu ajaran dalam Islam. Oleh itu, penjual hendaklah bersungguh-sungguh dan tekun dalam menjalankan perniagaan agar terus berkembang maju.

5. Penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang diharamkan dalam Islam dan undang-undang negara.

Maksudnya ialah penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang dilarang, sama ada ditegah oleh agama Islam atau undang-undang negara ketika berurus niaga.

Sebagai contoh, penjual tidak menipu dalam timbangan, menjauhi riba, tidak menyorok barang ketika masyarakat sangat memerlukannya dengan tujuan menaikkan harga. Mereka juga tidak menjual barangan yang diharamkan seperti dadah dan arak.

Daripada pihak pembeli pula, mereka tidak memberi kerjasama dalam perkara haram seperti menjauhi amalan riba dan tidak membeli barangan haram.

6. Penjual dan pembeli saling melindungi.

Setiap penjual dan pembeli mempunyai hak masing-masing. Oleh yang demikian, kedua-duanya hendaklah saling melindungi hak masing-masing.

Sebagai contoh, penjual tidak mendesak dan mempengaruhi pembeli dengan maklumat-maklumat yang tidak benar atau kurang pasti, tetapi memberi peluang yang secukupnya kepada pembeli untuk membuat pilihan ketika hendak membeli sesuatu barangan.

jual beli

Pembeli pula tidak mendesak penjual menjual barang pada harga yang terlalu murah sehingga merugikan pihak penjual.

Akhir kalam, adab dan tata cara yang saya nyatakan sangat penting untuk diamalkan bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat, dapat mengelak penindasan dan penipuan.

Paling penting adalah mendapat keberkatan daripada ALLAH YANG MAHA ESA dan keuntungan yang diperoleh merupakan sesuatu yang halal lagi baik (halalan toyyiban). Wallahu a‘lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan dan Syariah.

Foto: Canva

‘Contohi Rasululullah Yang Sentiasa Amalkan Kebersihan Dalam Setiap Aspek Kehidupan Baginda’

Sunah Rasulullah sepanjang Ramadan

SIFAT pengotor sememangnya bertentangan dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menjaga kebersihan.

Pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menjelaskan, kekotoran itu bukan sahaja dari segi luaran seseorang, malah merangkumi akidah, syariat, akhlak dan muamalat.

Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

“Dari segi akidah misalnya, perbuatan seseorang merosakkan kepercayaan kepada ALLAH SWT yang dicampur adukkan dengan fahaman jahiliah dan perkara karut-marut. Jika melibatkan kekotoran dari segi syariat, ia melibatkan perihal hukum-hakam seperti makan benda yang kotor dan tidak kisah benda yang halal mahupun haram.

“Mudah kata, umat Islam dituntut menjaga kebersihan bukan sahaja dari segi zahir, tetapi juga batiniah (kerohanian). Andai mereka tidak ambil kisah dari segi syariat, makanannya, kebersihan pakaian dan seumpamanya, sukar untuk mereka mendekatkan diri dengan YANG MAHA ESA,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, agamawan tersebut mengingatkan bahawa berdosa andai kita bersifaf pengotor. Namun, dosa berkenaan bergantung kepada tindak-tanduk seseorang.

“Terdapat dosa yang berat, contohnya pada badan seseorang itu ada najis seperti sentuhan khinzir dan tahi cicak. Ada pula melibatkan kesalahan yang masuk dalam kategori dosa ringan dan boleh kita beristighfar serta bertaubat dengannya.

“Dosa seperti mendedahkan aurat, melalak dan berpakaian tidak mengikut syariat, ini juga termasuk dalam kategori tidak menjaga kebersihan tubuh badan.

“Sedangkan ALLAH SWT telah memberikan nikmat yang cukup kepada kita. Banyak pakaian mengikut syariat yang mampu kita beli untuk menutup badan kita.

“Usahlah kita kotorkan badan dengan membiarkan orang lain memerhatikan tubuh kita. Tindakan itu menyebabkan mata orang lain yang melihat berdosa, telinga mahupun tangan orang lain juga berdosa apabila menyentuh kita seperti berjabat tangan dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Begitupun, bagi orang yang berkelakuan sedemikian rupa kerana kejahilannya, jelas Hassan Mahmud, semua itu boleh akan diampunkan sekiranya mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

“Misalnya, orang yang termakan benda-benda haram boleh menyucikan dirinya dengan bertaubat dan beristighfar kepada ALLAH,” terangnya.

Bukan itu sahaja, pendakwah itu berkata, sikap jelik tersebut juga boleh membawa penyakit kepada tubuh badan dan masyarakat.

“Ketahuilah, orang yang bersih itu amalannya diterima oleh ALLAH SWT. Mereka juga dijanjikan ganjaran pahala di akhirat. Bahkan, rakan-rakan sekeliling juga rasa selesa, tambahan orang yang jaga kebersihan biasanya akan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Justeru, jangan campakkan diri kita kepada keburukan dan kekotoran. Sebaiknya, ikutilah cara Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengamalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan tidak kiralah sama ada ketika hendak tidur, makan dan sebagainya,” pesan beliau.

Bukan Saja Kena Bersih Daripada Kekotoran, Tetapi Hati Juga Kena Bersih. Itu Cerminan Orang Bertakwa

SETIAP orang mempunyai ‘prinsip’ kebersihan sendiri. Sebagai contoh, segelintir daripada kita tidak sanggup melihat sedikit debu pun pada papan pemuka kenderaan.

Namun, bagi sesetengah individu, mereka tidak kisah pun kalau sampah berupa plastik makanan, botol minuman atau resit tol bertimbun di dalam kereta.

Kadangkala, disebabkan terlalu malas, mereka sanggup membuangnya di merata-rata tempat. Meskipun semua itu nampak remeh, tetapi realitinya, hal tersebut memang kerap berlaku.

Dalam situasi yang lain, ada di antara kita yang sangat mementingkan kebersihan saat mahu melakukan ibadah, namun tidak pada perkara lain.

Rukun asas pembinaan masyarakat

Sinar Islam Plus menemubual pendakwah Abu Bakar Ali As-Sudani untuk berbicara lanjut mengenai topik tersebut.

ABU BAKAR ALI

Jelas beliau, Islam sebagai agama yang suci sememangnya sangat menitikberatkan perihal kebersihan. Bahkan, ia merupakan satu kewajiban syariat dan jalan untuk memelihara umatnya daripada kekotoran.

Walaupun perkara itu kelihatan remeh pada tanggapan segelintir masyarakat, namun beliau menegaskan, kebersihan adalah satu rukun asas dalam pembinaan masyarakat secara keseluruhannya.

Malah dalam Islam, katanya, perilaku mulia itu sebenarnya mencakupi dua aspek yang signifikan iaitu luaran (zahir) dan dalaman (batin).

“Dari segi luaran bermaksud bersih daripada kekotoran dan sifat-sifat atau perangai zahir yang keji.

“Bagi kebersihan batin pula, ia merangkumi sifat bersih daripada segala kekotoran dalaman, selain sifat-sifat terkeji yang dimiliki oleh manusia seperti riak, ujub dan seumpamanya,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Firman ALLAH SWT: “…Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Dalam satu riwayat hadis yang masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jelas Abu Bakar, terlalu banyak hadis yang memerihalkan betapa pentingnya menjaga kebersihan.

Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh kita menghilangkan perkara-perkara yang mengganggu seperti kekotoran. Bahkan, baginda juga seorang yang pembersih.

“Maka tidak hairanlah mengapa nabi menyuruh umatnya membersihkan segala anggota badan termasuklah memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan seumpamanya.

“Malah, ada di antara amalan tersebut digalakkan dilakukan pada hari-hari tertentu seperti hari Jumaat dan Hari Raya.

“Begitu juga halnya apabila kita diwajibkan untuk mandi wajib bagi sesiapa yang patut melakukannya, selain digalakkan mandi sunat,” jelasnya.

Sifat orang bertakwa

Menyambung hujah, Abu Bakar menjelaskan, Rasulullah SAW juga memberi amaran betapa pedihnya azab bagi orang yang tidak menjaga kebersihan.

Antaranya ancaman azab kubur bagi sesiapa yang tidak membersihkan kemaluannya daripada air kencing sebagaimana yang termaktub dalam hadis masyhur.

“Demikianlah juga nabi menyarankan kepada kita supaya membersihkan jiwa daripada sifat-sifat dan akhlak-akhlak tidak elok seperti bersangka buruk, dengki, riak, bangga diri dan sebagainya.

“Semua perangai tercela itu, selain sifat luaran yang tidak elok seperti bercakap kasar dan sebagainya perlu dihindari.

“Dalam erti kata lain, setiap tindak-tanduk manusia mestilah bersih zahir dan batin,” jelasnya.

Mengapa kebersihan itu sering kali dikaitkan dengan sifat orang bertakwa? Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, ini kerana seseorang yang mendapat tasawur (gambaran) Islam yang jelas, mereka pasti akan sedaya upaya menjaga kebersihan.

DA’I FUAD

Masakan tidak, terasa malu sekiranya seseorang itu menyatakan dirinya seorang penganut agama Islam, tetapi masih tidak berpakaian kemas, penampilan kusut-masai dan tidak menjaga jambangnya dengan baik, terang beliau.

“Sama juga halnya dengan orang yang mengaku beragama Islam, tetapi tidak berusaha menyucikan diri mereka. Sedangkan, Islam itu sebenarnya kehidupan kita. Bahkan, kebersihan itu termasuk daripada pucuk-pucuk keimanan kita kepada ALLAH SWT.

“Jadi seandainya seseorang itu mempunyai sifat syukur kepada ALLAH SWT, maka golongan itu akan memahami pengertian kebersihan dalam erti kata sebenar. Maka tidak hairanlah mengapa mereka mendapat panduan dan sokongan daripada-NYA.

“Ingatlah kebersihan fizikal dan rohani saling berkait rapat antara satu sama lain. Bayangkan apabila kita hendak bertemu ALLAH SWT pada suatu hari nanti, wajib bagi kita untuk bersuci.

“Apabila seseorang itu mengingati prinsip asas itu, nescaya dia pasti akan bersuci jika berjumpa dengan makhluk ciptaan ALLAH SWT yang lain.

“Orang yang beriman pasti akan bersuci, sementelah orang yang bersuci itu, insya-ALLAH beriman sekiranya dirinya melakukannya atas nama-NYA,” katanya.

Konsep kebersihan sebenar

Dalam pada itu, Da’i Fuad menegur sikap sebilangan masyarakat yang begitu menjaga kebersihan dari segi luaran, tetapi kurang menitikberatkan dari aspek dalaman. Contohnya, menyimpan hasad dengki dengan orang lain.

Ujar beliau, jelas sekali individu tersebut tidak mengaplikasikan konsep kebersihan yang sebenar mengikut pandangan agama.

Apatah lagi gagal untuk meluruskan hati mereka dengan menyimpan perasaan benci di dalam hatinya.

“Jika diteliti, hasad dengki bermaksud bercita-cita supaya nikmat yang dikurniakan kepada orang dibenci itu hilang. Ini menunjukkan betapa keruhnya hati dan perasaan mereka. Ketahuilah, ini bukan maksud pembersih yang benar.

“Andai kita berhasrat untuk menyucikan tubuh badan masing-masing, niatkanlah sekali untuk menyucikan juga seluruh hati kita,” katanya.

Membicarakan tentang topik kebersihan juga, pendakwah berkenaan mengajak umat Islam untuk mencontohi perilaku Imam al-Ghazali, .

Katanya, ulama tasawuf yang agung itu telah berpesan, ketika kita membasuh kepala dan muka, mintalah kepada-NYA; ‘Ya ALLAH, kalau ada dosa dari mata dan mulutku, ENGKAU alirkanlah dosa itu sepertimana mengalirnya air ini, ya ALLAH’.

“Bukan itu sahaja, Imam al-Ghazali waima ketika mandi harus ataupun sunat pasti akan meminta kepada ALLAH SWT agar membersihkan hatinya sepertimana bersihnya jasadnya apabila air melalui pada bahagian tubuhnya. Pada masa sama, ilmuan hebat tersebut juga meminta agar setiap laluan air tadi diampunkan oleh ALLAH SWT.

“Sewajarnya, kita perlu beri perhatian dalam soal kebersihan yang begitu signifikan dalam agama suci ini. Bayangkan membuang sampah merata-rata itu pun dikira sebagai dosa kecil, apatah lagi tidak menghargai alam dan merosakkan pelbagai jenis tumbuhan dan kawasan semula jadi.

“Oleh itu, fahamilah perkara ini secara dasar agar kita sentiasa memelihara diri dan tubuh serta memastikan keseluruhan kehidupan kita berada dalam keadaan baik lagi mulia,” katanya.

Seperkara lagi, Da’i Fuad turut mengingatkan bahawa soal kebersihan dan kesucian, bukan sahaja berkait dengan perihal ibadah semata-mata.

Tidak kurang juga pentingnya adalah perkara yang berkaitan tentang tempat dan ruang ibadah, pakaian serta segenap perkara yang digunakan berkaitan dengannya.

“Seandainya kain atau seluar mereka gunakan terkena percikan air kencing, maka ia menjadi najis dan tidak sah dibawa dalam solat.

“Oleh sebab itu, pembersihan terhadap ruang ibadah dan pakaian yang dipakai menjadi keperluan utama untuk memastikan bahawa ibadah kita diterima oleh ALLAH SWT.

“Bahkan, pada awal ibadah fardu lagi, diwajibkan untuk kita berwuduk. Wuduk itu bukan sahaja bertujuan membersihkan diri, malah sebagai persiapan yang suci bagi menghadap ILAHI,” ujarnya.

Bilangan Penduduk Jepun Peluk Agama Islam Semakin Meningkat. Ini Faktor-Faktor Yang Menyumbang

jepun islam

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

MESKIPUN pada suatu ketika dulu, agama Islam dipandang sepi di negara Jepun, namun sejak 10  tahun kebelakangan ini, hampir 112,000 hingga 230,000 penduduknya telah memeluk agama suci ini, lapor portal Republika baru-baru ini.

Angka berkenaan dianggap satu perkembangan yang sangat positif.

Ujar laman web berkenaan, pertumbuhan pesat itu dikatakan didorong oleh beberapa faktor dominan.

Pertama, ia disebabkan sesetengah penduduk yang sudah bergelar mualaf berkahwin dan secara tidak langsung mewujudkan generasi dan kedua pada masa depan.

jepun islam

Selain itu, kedatangan imigran Muslim dari Iran, Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan lain-lain telah menyumbang kepada peningkatan jumlah masjid di seluruh negara Matahari Terbit itu.

“Apabila bertambahnya Rumah ALLAH, ia merupakan kesempatan penduduk lokal bersosialisasi dan belajar tentang Islam. Sentimen Islamofobia juga membuatkan mereka ingin tahu adakah Islam memicu kepada kekerasan atau sebaliknya? Maka, masjid menjadi tempat rujukan,” kata Republika.

Menurut laporan daripada Universiti Waseda di negara itu, terdapat lebih 100 buah masjid telah didirikan di seluruh pelosok Jepun setakat tahun 2017.

Alasan seterusnya adalah kemasukan pelancong Muslim seperti dari Indonesia dan Malaysia yang tidak memerlukan visa.

jepun islam

“Hal tersebut memang disenangi. Seperkara yang menarik, tiket penerbangan murah yang sering ditawarkan menjadikan lebih ramai Muslim ingin menjejakkan kaki ke negara yang serba indah itu.

“Senario tersebut secara tak langsung menyebabkan premis makanan halal semakin bercambah dari semasa ke semasa. Negara itu juga dilihat sedaya upaya memaksimumkan sifat yang lebih neutral dan ramah terhadap mereka yang beragama Islam,” tulis laman web itu lagi.

Selanjutnya  adalah merujuk kepada tingkat perpindahan agama yang rendah dalam kalangan Muslim di Jepun. Secara umumnya, mereka yang lahir daripada keluarga Muslim akan kekal dalam agama Islam.

jepun islam

Berdasarkan penjelasan yang dihuraikan, kita dapat melihat secara jelas bagaimana negara itu menerapkan sikap harmoni, toleransi dan penerimaan yang tinggi dalam masyarakat mereka untuk memahami Islam yang sebelum ini banyak disalah ertikan.

Bagaimanapun, menurut laporan The Economist, penduduk beragama Islam tidak lagi bimbang mengenai tempat beribadah mereka, kecuali tanah perkuburan.

Kira-kira 99 peratus penduduk negara itu dibakar selepas meninggal dunia, namun Islam melarang pendekatan seumpama itu.

Jaga Aib Sendiri, Orang Lain. Tidak Ada Orang Yang Tak Berdosa

Buli

RASULULLAH SAW melarang seseorang untuk membuka aib dirinya sendiri kepada orang lain.

Sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan kecuali orang yang terang-terangan (melakukan maksiat). Dan termasuk terang-terangan adalah seseorang yang melakukan perbuatan maksiat di malam hari, kemudian di paginya ia berkata: Wahai fulan, kemarin aku telah melakukan ini dan itu – padahal ALLAH telah menutupnya- dan di pagi harinya ia membuka tutupan ALLAH atas dirinya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Bahkan Rasulullah memberikan khabar gembira bagi orang-orang yang menutup aib saudara-saudara mereka, dengan menutup aib mereka di dunia dan akhirat.

Seperti dalam hadis sahih; “Dan barang siapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya ALLAH menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).

Islam mengkehendaki kesalahan dan keburukan yang dilakukan oleh orang Islam disembunyikan dan tidak boleh diheboh-hebohkan.

Tidak ada orang yang tidak berdosa, dan tidak ada orang yang tidak melakukan kesilapan.

Cuma bezanya, banyak atau sedikit, besar atau kecil, teruk atau tidak, kelihatan atau tidak kelihatan.

Taubat
LAFAZ istighfar perlu senada dengan niat dalam hati untuk meninggalkan perbuatan dosa dan diiringi penuh rasa penyesalan.

Bagi orang yang bijaksana, ia memandang pada dalam dirinya dan bertaubat dari dosa-dosanya dan membetul kesilapan-kesilapannya.

Dia menutup keaiban orang lain, dia menjaga harga diri sendiri dan harga diri orang lain.

Usah kita menagih penghormatan daripada orang bukan Islam jika kita sesama agama sendiri tidak mengamal dan menghayati amalan hormat menghormati dalam erti kata sebenar yang dituntut oleh Islam.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Fb Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Memelihara Lidah, Ilmu, Amal, Bersangka Baik Ubat Terbaik Melawan Penyakit Hati – Pendakwah

DALAM hidup berumah tangga, kadangkala sikap syak wasangka antara pasangan suami isteri memang akan berlaku.

Namun, Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman menegaskan, tindak-tanduk tersebut berupaya menghakis lingkaran kasih sayang yang sepatutnya dipupuk oleh pasangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar suami isteri di luar sana merenung firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 12 yang memberi wasiat penting kepada orang beriman iaitu larangan berburuk sangka buruk sesama manusia, apatah lagi dengan pasangan sendiri.

Berdasarkan ayat itu juga, prasangka yang muncul dalam minda berlaku adalah akibat daripada pengaruh dan bisikan syaitan untuk melaga-lagakan hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Ia perlu dihentikan dengan segera. Jika tidak, akan membawa kesan negatif dan ketegangan dalam perhubungan,” kata penceramah terkemuka itu baru-baru ini.

Antara dampak negatifnya adalah tercetus keinginan untuk mengintip atau mencari kelemahan dan keaiban, meskipun terdapat banyak nilai positif yang telah ditonjolkan oleh pasangan sebelum ini.


“Akibat berburuk sangka juga akan melahirkan perasaan benci yang akan menyebabkan suami atau isteri bertindak zalim terhadap pasangan. Akhirnya, wujudlah bibit-bibit keretakan yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang telah dibina sejak sekian lama,” ungkapnya.

Justeru, apa cara terbaik untuk menghilangkan perasaan jelik itu? Dr Mohd Sukki yang juga Penasihat Syariah Harta Muslim memberitahu, Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam Kitab Maw’izah al-Mu’minin ada menyatakan, ubat untuk penyakit hati itu adalah melalui penerapan ilmu dan amal serta melakukan sifat yang berlawanan iaitu bersangka baik dan memelihara lidah.


“Nasihat saya, apabila kita berdepan kemungkinan kesilapan atau keaiban pasangan, carilah 70 alasan untuk bersangka baik dengannya.

Sekiranya hati kita tidak dapat menerimanya, maka ketahuilah bahawa kekerasan hati itu yang perlu dipersalahkan.

Justeru, sentiasalah memikirkan hal-hal yang elok kerana ia akan membawa manfaat yang besar dalam kehidupan suami isteri. Bukan sahaja keharmonian dan kebahagiaan dapat dibentuk dan disemai, malah terhindar daripada penyesalan seandainya berlaku penceraian gara-gara syak wasangka,” katanya.

Jangan Mencari Kesalahan Orang Lain. Sifat Berburuk Sangka Hanya Membawa Jalan Menuju Dosa Dan Fitnah!

DALAM kitabullah, ALLAH SWT menyebut bahawa manusia mempunyai dua sifat iaitu baik dan tercela. Perilaku yang elok disebut menerusi firman ALLAH SWT: “DIA mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-Alaq, ayat 5)

Manusia juga mempunyai sikap yang lemah dan suka berbantah dalam perkara berbentuk kebenaran seperti yang tercatat dalam Surah al-Kahf, ayat 54. Selain itu, mereka juga tidak lari daripada bersikap zalim, jahil, pelupa, berprasangka buruk dan sombong.

Daripada semua itu, antara sikap yang sukar dikikis adalah berburuk sangka dengan sesama manusia. Misalnya, seorang hamba ALLAH akan tertanya-tanya, kenapa jutawan A menyalurkan dana untuk membantu mangsa banjir, sedangkan jutawan B tidak berbuat demikian?

Walhal dia tidak tahu barangkali jutawan B memberi sumbangan secara dalam diam, berbanding jutawan A yang menghebahkannya kepada umum.

Bukankah telahan semberono berkenaan sudah mengundang dosa kerana sikap mazmumah itu merupakan sebahagian daripada fitnah? Justeru, apakah cara terbaik untuk kita menghindarkan diri daripada terus berperangai fasiq?

Berdosa besar

Sinar Islam Plus mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob untuk berbincang lanjut mengenainya.

Jelas beliau, bersangka buruk atau dalam bahasa Arab su’udzan merupakan satu sifat tercela yang amat dilarang dalam Islam.

Sikap itu wujud kerana rasa dengki, iri hati, tidak puas hati dan segala punca yang negatif. Apabila diluahkan, maka akan muncul tindakan seperti mencari kesalahan orang lain, memburukkan, mengadu domba dan akhirnya mendedahkan kelemahan dan aib seseorang,” katanya membuka mukadimah.

Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12, ALLAH berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”


Ujar Dr Mohd Ashroff, sesungguhnya sifat buruk sangka atau sangsi hanya akan merosakkan diri dan minda jika fikiran kita ‘merajainya’.
“Individu yang ada sikap itu seolah-olah dia seperti memfitnah orang lain kerana sangkaan buruk itu sendiri bersifat tidak pasti dan hanya berasaskan maklumat yang tidak benar, perasaan syak atau keraguan. Ia wajib dijauhi kerana merupakan satu dosa besar,” tegasnya.

Ujar beliau, Rasulullah SAW pernah memberi amaran kepada golongan sebegitu. Daripada Abu Hurairah RA, baginda bersabda: “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Justeru, kata Dr Mohd Ashrof, peri pentingnya setiap umat Islam untuk sentiasa bersangka baik (husnudzan). Secara umumnya, beritahu beliau, husnudzan mempunyai tiga bahagian iaitu bersangka baik dengan ALLAH SWT (berprasangka baik dengan apa yang telah ditakdirkan-NYA).

Kedua, bersangka baik kepada diri sendiri (percaya terhadap kemampuan diri sendiri) dan bersangka baik kepada orang lain (dengan menganggap semua orang adalah baik sebelum terbukti kesalahan atau keburukannya).


Beliau kemudian memberi satu contoh situasi yang kerap terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini.

Apabila jiran kita jarang bertegur sapa atau tersenyum, pastinya akan terlintas dalam hati kita bahawa dia adalah seorang yang sombong dan tidak pandai bersosial. Lihat, kita sudahpun membuat sangkaan buruk kerana kita tak tahu berkemungkinan individu itu memang memiliki karakter semula jadi yang pemalu atau sedang memikirkan masalah besar. Bukankah lebih baik jika bersangka baik kerana ia akan menjadikan hidup sesama kita aman dan harmoni serta mengelakkan berlakunya permusuhan?” katanya.

Lebih baik diam

Dr Mohd Ashrof kemudian ditanya sama ada perbuatan berprasangka buruk umpama seseorang makan daging saudaranya yang telah mati?
Mendengarkan persoalan itu, beliau lantas membacakan potongan ayat ke-12, Surah al-Hujurat. Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.”


Berdasarkan ayat tersebut tegasnya, jelas menunjukkan pengharaman mengumpat. Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya juga menyatakan ghibah (mengumpat) diibaratkan seperti memakan daging saudaranya kerana perbuatan hina itu bererti menyiat-nyiat kehormatan.

Pastinya sikap syak wasangka ini akan menyebut perihal yang tidak benar dan tidak disukai oleh individu yang terbabit. Justeru, wajib untuk kita mengelakkan diri kerana ia seolah-olah mengumpat seseorang. Jijiknya perbuatan itu seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri yang telah mati,” katanya yang menyarankan individu yang terlanjur berburuk sangka segera bertaubat kepada ALLAH dan memohon maaf kepada individu yang terlibat.

Diskusi kami seterusnya menghala kepada keterbukaan media sosial yang telah menguak ruang yang luas kepada perangai mazmumah dalam kalangan masyarakat.

Ujar Dr Mohd Ashrof, realiti perkembangan teknologi komunikasi masa kini memberi dampak yang baik, namun terdapat sisi negatif yang adakalanya memberi kesan yang mendalam sehingga boleh meninggalkan parut yang berpanjangan.


“Dunia tanpa sempadan ini telah melebarkan lagi penyebaran maklumat, tetapi sebagai seorang Muslim, kita wajib menjaga pertuturan dengan berbicara perkara yang baik saja atau berdiam diri,” katanya.

Dalam hal itu, katanya, ikutilah saranan Nabi Muhammad SAW. Sabda baginda: “Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau hendaklah ia diam.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Beri teguran berhemah

Sudah lumrah manusia, apabila ditimpa kesusahan, penyakit atau bencana seperti virus Covid-19, sesetengah daripada kita akan menaruh rasa ragu-ragu atau berwalang hati kepada ALLAH.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor, Rafiuddin Mohd Yusof yang dilontarkan soalan itu terus memberi peringatan tegas kepada individu yang berfikiran seperti itu.


“Ingat, segala musibah, ujian dan dugaan adalah ketentuan daripada ALLAH. Jangan sesekali menyalahkan takdir sebagai punca atas sesuatu malapetaka yang berlaku.

“Sebaliknya, jadikan ia sebagai pemangkin untuk kita terus mendekatkan diri dengan-NYA. Sentiasalah menjaga hati dan minda agar tidak wujud tanggapan negatif terhadap apa yang ditentukan ALLAH YANG MAHA ESA,” ungkapnya.

Menjawab satu tanda tanya lain, Rafiuddin berkata, apabila kita melihat atau terdengar seseorang berprasangka buruk terhadap orang lain, hendaklah kita menegur dengan cara berhemah.

Tak boleh hanya mendiamkan diri. Pun demikian, kita ditegah daripada menggunakan kekerasan ataupun melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu kerana kelak akan merugikan,” ujarnya.

Pendakwah itu juga mahu semua umat Islam mengambil iktibar daripada petikan Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.”

Rafiuddin menambah, walaupun pada dasarnya kita melihat atau mendengar sesuatu perkara yang dianggap satu kesalahan, namun bersangka baiklah terlebih dahulu sebelum kebenaran cerita diselongkar.


Ini kerana mungkin pada pandangan kita ia merupakan satu kesalahan, namun hakikatnya boleh jadi perkara itu adalah satu kebaikan.

“Oleh yang demikian, sentiasa berfikiran positif dalam setiap kejadian dan yakinilah, sesuatu ujian yang diberikan merupakan satu hikmah. Ganjaran besar akan sentiasa menanti jika kita sentiasa bersyukur dengan segala ujian ALLAH SWT tanpa sesekali mempertikaikannya. Sentiasalah berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah,” saran beliau.