Archives for January 2022

Ibn Hazm Hasilkan Teori Peredaran Darah Yang Tepat 300 Tahun Lebih Awal Daripada Sarjana Barat!

KEBANYAKAN sejarawan Eropah berpendapat, usaha keras yang dilakukan oleh para ilmuan Islam dalam bidang perubatan pada zaman keemasan Islam sekitar kurun ke-8 hingga ke-13 dianggap tidak lebih daripada pemeliharaan khazanah ilmu dari tamadun Yunani.

Dalam perihal sains anatomi jantung, paru-paru dan peredaran darah, tokoh perubatan Yunani yang dijadikan rujukan utama pada tempoh tersebut ialah Galen. Justeru, mana-mana manuskrip Arab yang mengkritik pendapatnya atau mengemukakan teori baharu, akan ditolak mentah-mentah.

Dalam teori peredaran darah, Galen antara lain merumuskan bahawa darah yang sampai ke bahagian kanan jantung mengalir melalui liang-liang halus (yang tidak dapat dilihat dalam septum jantung) ke bahagian kiri jantung yang bercampur dengan udara yang kemudiannya terus ke seluruh tubuh.

Ribuan tahun lamanya pandangan berkenaan diterima, sehinggalah muncul beberapa penyelidik perubatan seperti Michael Servetus, Realdo Colombo, Andreas Vesalius dan William Harvey yang menyangkal teori liang halus Galen.

Bagaimanapun, dunia perubatan disifatkan ketinggalan kerana seorang pakar perubatan Islam, Ibn al-Nafis atau nama sebenarnya, Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi merupakan individu pertama yang menjelaskan sistem peredaran darah paru-paru (pulmonari) secara tepat, kira-kira 300 tahun lebih awal daripada semua tokoh Barat itu.

Ibn Al-Nafis menerusi karya agungnya bertajuk Syarah al Tashreeh al Qanoon telah menjelaskan bahawa septum iaitu dinding antara dua ruang ventrikel jantung ialah otot pembahagi yang pejal dan tidak mempunyai rongga atau bukaan untuk membenarkan aliran darah menembusi antara dua ruang jantung.


Sebagaimana yang dinyatakan oleh cendekiawan tersohor tersebut, aliran darah adalah dari ventrikel kanan ke paru-paru, yang mana udara bertemu dengan darah. Darah itu kemudian meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri, lalu masuk ke dalam ventrikel kiri jantung sebelum disebarkan ke seluruh badan.

Komentar ilmuan Islam tersohor berserta bukti saintifik itu menunjukkan bahawa Ibn Al-Nafis ialah individu paling ke hadapan dalam melangkaui kebenaran teori Galen.

Meskipun penemuannya begitu menggemparkan, sejarah dunia perubatan sebenarnya tidak benar-benar mengenali beliau. Hanya pada tahun 1924, seorang ahli perubatan Mesir, Muhyo Al-Deen Altawi menemui manuskrip figura tersohor itu di Perpustakaan Negeri Prussia, Berlin, Jerman.


Kemudian, hal tersebut telah sampai ke pengetahuan tokoh sejarah perubatan terkenal, Profesor Max Meyerhof.

Kemudian, Meyerhof telah mengiktiraf Ibn Al-Nafis sebagai individu pertama yang merungkaikan sistem peredaran darah paru-paru menerusi lukisan proses yang tepat.

Pemikiran yang terkehadapan

Menyingkap historiografinya secara ringkas, tokoh yang sentiasa merendah diri itu dilahirkan di Damsyik, Syria pada tahun 1213. Beliau dikenali tidak hanya sebagai pakar perubatan, tetapi seorang ahli teologi, sasterawan dan ulama Mazhab Syafie yang terkenal.

Pada usia 16 tahun, Ibn Al-Nafis telah mempelajari bidang perubatan di Hospital Nuri di Damascus selama lebih 10 tahun, sebelum berpindah ke Mesir pada tahun 1236 atas permintaan Sultan Al-Kamil, pemerintah kerajaan Islam Ayubbiyah. Beliau telah dilantik sebagai Ketua Perubatan di Hospital A-Naseri.


Sepanjang kehidupannya yang merentasi era kejatuhan Baghdad di tangan Mongolio dan juga kebangkitan kerajaan Mamluk, cendekiawan itu telah menghasilkan banyak buku yang merentasi pelbagai topik termasuk undang-undang, falsafah dan alam sekitar, selain perubatan.

Sesungguhnya, sumbangan Ibn Al-Nafis telah menunjukkan betapa ke hadapannya para cendekiawan Islam dalam meneroka ilmu pengetahuan. Sayangnya, pandangan yang meremehkan mereka telah membantutkan kemajuan yang sepatutnya dapat dicapai lebih awal.

Sumber dan Foto https://www.ncbi.nlm.nih.gov, Wikipedia Commons, https://www.bibalex.org/, https://www.encyclopedia.com/science/encyclopedias-almanacs-transcripts-and-maps/ibn-nafis-and-pulmonary-circulation dan UNSPLASH

Covid-19: Perbanyakkanlah Sedekah, Wakaf, Hibah, Infak, Zakat Dan Hadiah Bantu Golongan Terjejas

Oleh DR AZRI BHARI
(Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor)

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19, situasi masyarakat di Malaysia mengalami perubahan.

Seperti yang dilaporkan, rata-rata individu mahupun organisasi terkesan dari aspek ekonomi, sosial, psikologi mahupun pendidikan.
Golongan B40 yang berpendapatan rendah dikatakan paling terjejas. Mereka hilang sumber pendapatan gara-gara diberhentikan kerja dan ada segelintirnya terpaksa berdepan dengan pemotongan gaji.

Pun demikian, keperitan dan kesukaran tersebut sedikit terubat dengan pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh orang perseorangan, selebriti, pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang bergiat aktif.

Sewajarnya usaha dan kempen menderma seumpama itu perlu dipertingkat dan diperluaskan lagi.

Sesungguhnya, Islam sangat menganjurkan sifat kedermawanan dan ia boleh dizahirkan melalui amalan bersedekah.

Sedekah mempunyai maksud yang sangat luas dalam Islam. Antaranya merujuk kepada pemberian oleh seseorang kepada orang lain (seperti fakir miskin, sanak saudara demi kepentingan agama atau fisabilillah) yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dengan ILAHI.

Bukan sahaja kepada manusia, sedekah juga dianjurkan untuk diberikan kepada orang bukan Islam dan juga haiwan.

Firman ALLAH SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka yang memberikan pinjaman kepada ALLAH, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Instrumen

Dalam pada itu, sedekah dalam konteks harta yang disampaikan terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Sedekah wajib: Merujuk kepada zakat harta dan zakat fitrah.
Sedekah sunat: Merujuk kepada hadiah, wakaf, hibah, wasiat, pelepasan hutang dan pengguguran hak.

Pada pandangan saya, solusi terhadap permasalahan yang dihadapi masyarakat yang tergugat dan memerlukan bantuan boleh dibudayakan melalui instrumen sedekah yang pelbagai. Antaranya menerusi:

1. Zakat

Ia adalah suatu pemberian yang wajib dilakukan ke atas sebahagian harta kekayaan yang telah mencukupi syarat dan dimiliki oleh individu Muslim kepada golongan asnaf yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dana zakat boleh membantu golongan fakir, miskin, mualaf, al-gharimin (orang berhutang), fisabilillah (pelajar), al-riqab (orang terbelenggu) yang terjejas akibat wabak Covid-19 melalui pelbagai skim bantuan yang telah disediakan oleh pihak institusi zakat di Malaysia.

2. Wakaf

Wakaf pula adalah amalan penyerahan harta yang bersifat kekal dan dimiliki untuk kegunaan atau manfaat orang ramai.
Selain dapat meringankan beban penerima wakaf, pewakaf turut mendapat ganjaran pahala yang berterusan selagi dimanfaatkan harta tersebut.
Wakaf boleh dilaksanakan melalui pemberian seperti alat pembelajaran seperti komputer riba, telefon pintar atau sebarang gajet lain kepada golongan sasar.

3. Sedekah, infak dan hadiah

Ketiga-tiganya memiliki makna yang hampir sama iaitu pemberian secara sukarela kepada seseorang.
Infak lazimnya merujuk kepada pemberian untuk menegakkan agama YANG MAHA ESA.
Sedekah dan hadiah pula berbeza dari sudut tujuan. Sedekah adalah pemberian untuk mendapatkan pahala, sementara hadiah adalah untuk menghargai seseorang.
Pemberian pakej pelbagai makanan asasi adalah contoh sedekah, infak dan hadiah yang boleh dilaksanakan dalam situasi PKP bagi memastikan kelangsungan hidup sesebuah keluarga yang kekurangan sumber pendapatan.

4. Hibah

Hibah adalah pemberian hak milik kepada orang lain secara sukarela. Ia boleh dilaksanakan melalui pemberian peralatan atau kemudahan yang masih lagi baik kepada orang lain secara percuma.

Demikianlah instrumen-instrumen kedermawanan yang dianjurkan oleh Islam dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesulitan hidup akibat pelaksanaan PKP dan PPN.

Sewajarnya, setiap masyarakat Malaysia berganding bahu dalam mendepani cabaran pandemik yang masih membelenggu negara dan hampir keseluruhan penduduk di muka bumi ini.

Foto UNSPLASH dan FREEPIK

‘Bersama’ Dengan Isteri Belum Mandi Wajib Asbab Haid, Ini Yang Wajib Tahu

Suami isteri bermanja-manja

BERSETUBUH antara suami dan isteri memiliki segudang manfaat, salah satunya adalah pahala yang besar dari ALLAH SWT.

Namun, terdapat beberapa larangan dalam hubungan suami isteri antaranya menyetubuhi isteri dalam keadaan haid, atau dalam keadaan sudah terhentinya darah haid tetapi belum mandi wajib.

Menghuraikan persoalan ini, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya.

Dr Zulkifli tampil menjawab soalan daripada seorang individu yang bertanyakan “Perkara ini sudah berlaku lebih tiga minggu lepas. Darah haid saya telah berhenti keluar dan suami terus ajak bersama. Tetapi saya tak ingat sama ada sudah mandi wajib atau belum. Apakah hukumnya?”

Katanya, secara asasnya, persetubuhan tidak dibenarkan saat isteri sedang haid.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”[1]

Ibn Kathir menjelaskan, “Allah melarang untuk mendekati mereka (para isteri) dengan melakukan persetubuhan selama mana haid masih ada. Ia boleh difahami bahawa: jika haid telah selesai maka kembali menjadi halal.”[2]

Menurut Ibn Qudamah, majoriti para ulama daripada mazhab Maliki, mazhab Syafie, mazhab Hanbali dan lainnya mensyaratkan mandi wajib setelah haid bagi membolehkan seseorang wanita untuk melakukan persetubuhan bersama suaminya.[3]

Ibn ‘Abbas ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah ayat 222, mensyaratkan berhentinya haid dan mandi wajib bagi membolehkan persetubuhan dilaksanakan.[4]

Perkara yang sama juga ditegaskan oleh guru kami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili.[5]

'Bersama' dengan isteri belum mandi wajib asbab haid, ini yang wajib tahu

Justeru, saran Dr Zulkifli, “Semak sebaiknya sama ada sudah mandi wajib atau belum. Jika telah mandi wajib, maka tidak ada sebarang masalah yang timbul. Jika belum atau masih tidak pasti, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu belum mandi wajib.”

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: “Pada asalnya, sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.”

Maka jika berlaku persetubuhan dalam keadaan haid, Imam Nawawi menyebutkan pandangan dalam mazhab al-Syafie yang masyhur, tidak dikenakan sebarang denda atau kafarah. Tetapi hendaklah memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan tersebut. Disunatkan bersedekah dengan satu dinar sekiranya persetubuhan dilakukan pada permulaan haid, dan setengah dinar sekiranya dilakukan pada penghujung haid.[6]

Daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW bersabda dalam persetubuhan ketika dalam haid:

يَتَصَدَّقُ بِدِينَارٍ ، أَوْ بِنِصْفِ دِينَارٍ

Maksudnya: “Hendaklah dia bersedekah satu dinar atau setengah dinar.”[7]

Coret Dr Zulkifli, sebaiknya untuk keluar daripada khilaf, bersedekahlah sekadar kemampuan kepada fakir miskin atau mereka yang memerlukan

“Saya cadangkan kepada setiap pasangan suami isteri, sebelum perkahwinan lagi dan juga selepasnya sentiasa mempelajari ilmu berkenaan rumah tangga, termasuklah berkaitan fiqh suami isteri.

“Ini supaya sebarang bentuk tindakan kita sentiasa menepati syariat dan mendapat keredhaan ALLAH SWT. Wallahu a’lam,” ujar beliau.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Nota Penting Di Sebalik Surah Al-Kafirun. Selain Ditakuti Iblis, Ini Fadilat Lain Yang Perlu Kita Ketahui

SALAH seorang sahabat saya baru beberapa bulan memeluk agama Islam. Vektor kecintaannya terhadap agama suci ini dapat dilihat menerusi kesungguhannya menghafal surah dalam al-Quran.

Setakat ini, wanita itu sudah lancar membaca Surah al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, Surah an-Nas dan terkini sedang berdikit-dikit mengarah kepada Surah al-Kafirun pula.

Ketika kami bersembang di corong telefon, beliau banyak bertanyakan semantik di sebalik setiap baris ayat dalam Surah al-Kafirun.

Antaranya tentang saranan bertolak ansur dalam beragama yang semestinya mempunyai perkaitan antara beliau dengan ahli keluarga, terutama ibunya.

Pun demikian, rakan saya itu memahami, walaupun Islam meminta agar umatnya menghormati penganut agama lain, tiada tolak ansur dalam bab agama dan keimanan.

Inti perbualan bersamanya kemudian dipanjangkan dengan berdiskusi lanjut bersama dua agamawan yang lebih arif mengenainya. Apakah nota penting yang mahu disampaikan ALLAH YANG MAHA ESA melalui Surah al-Kafirun yang diturunkan kepada baginda SAW? Apa pengajaran dan fadilatnya sehingga kita dianjurkan untuk membacanya ketika solat ataupun sebelum tidur?

Tidak ada tolak ansur dalam akidah dan ibadah

Bersama Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Panji Alam Mazhisham, enam ayat yang terkandung dalam Surah al-Kafirun diperhalusi satu persatu.


Terdahulu, Panji Alam memetik pernyataan Imam ibn Kathir Rahimahullah di dalam Kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim mengenai surah tersebut:

“Surah ini adalah surah yang melepaskan diri daripada perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik. Ia meliputi seluruh orang kafir di atas muka bumi, tetapi ayat ini secara khususnya telah diturunkan ke atas orang kafir Quraisy.

Orang kafir Quraisy yang penuh kejahilan telah mengajak Rasulullah SAW menyembah berhala-berhala mereka selama setahun, kemudian mereka pula menyembah ALLAH selama setahun, maka ALLAH SWT menempelak dengan menurunkan surah ini dan mengarahkan Rasulullah SAW berlepas diri daripada agama mereka secara keseluruhannya.”

Ujar penceramah tersebut, surah tersebut yang diturunkan di Makkah itu menceritakan tentang harapan orang kafir untuk memujuk Nabi Muhammad SAW agar berkompromi dengan mereka dari tiga aspek iaitu penyembahan, ibadat dan agama.

“Daripada kesemua aspek itu, apa yang boleh disimpulkan, orang mukmim mengabdikan diri kepada ALLAH SWT, sedangkan golongan kafir (kuffar) menyembah berhala, patung, bintang, manusia, malaikat dan pelbagai lagi objek.

Umat Islam juga tidak syirik kepada-NYA, apalagi menukar syariat, tetapi orang kafir beribadat mengikut cara ciptaan akal atau mengikut hawa nafsu,” terangnya.

Surah ke-109 dalam al-Quran itu juga mengisahkan bagaimana kaum kafir Quraisy tidak henti-henti mencari cara untuk menghentikan Rasulullah SAW daripada terus menyebarkan agama Islam.

Pegawai agama itu kemudian menceritakan kembali kisah Al Walid bin Al Mughirah, Al Ash bin Wa’il, Al Aswad bin Al Muththalib dan Umayyah bin Khalaf yang mana ketiga-tiganya sangat memusuhi Rasulullah. Mereka berkata kepada baginda: “Wahai Muhammad! Marilah engkau menyembah apa yang kami sembah. Maka, kami pun menyembah apa yang engkau sembah. Kita bekerjasama dalam segala hal.”

Selepas itu, ALLAH SWT menurunkan Surah al-Kafirun untuk memupuskan harapan mereka dengan penegasan pada ayat dua dan empat iaitu ‘Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah’ dan ‘Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.’


Berdasarkan sejumlah tafsir, Panji Alam berkata, surah tersebut antara lain jelas mengajar manusia bahawa tiada tolak ansur dalam agama. Pun demikian, beliau ingin memberi pencerahan maksudnya berdasarkan perspektif Islam.

Terlebih dahulu ungkap beliau, kepelbagaian agama tidak lagi dapat dielakkan dalam sesuatu kumpulan atau negara. Maka, bertolak ansur dalam kehidupan masyarakat adalah amat digalakkan.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, kita wajib memahami definisi yang sebenar yang dibawakan oleh Islam. Tolak ansur atau tasaamuh dalam bahasa Arab bermaksud kita menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, pegangan dan adat resam penduduk dunia. Ini tidak bermakna orang Islam mesti tunduk dalam setiap perkara atau urusan. Surah Al-Kafirun dengan izharnya telah menyatakan, tiada tolak ansur dan kompromi untuk mencampur adukkan ajaran agama, terutama dalam soal akidah dan ibadah serta menolak sebarang cara penyembahan atau amalan syirik,” katanya.


Panji Alam menambah, pada zaman pemerintahan Rasulullah SAW, baginda turut menerapkan amalan bertolak ansur, namun tiada penindasan secara jelas seperti menghapus agama lain dan sebagainya.

Menjawab tentang tanggapan salah segelintir umat Islam yang memikirkan kononnya sikap menghormati agama dan kepercayaan bererti kita lemah dan mengiyakan kebenaran golongan kuffar, penceramah itu tampil menerangkan satu persatu bagi mengelak kekeliruan.

Dalam ayat 6, Surah al-Kafirun ini, ia menyeru kita untuk respek kepada agama lain, tetapi bukan mengiktiraf segala kesyirikan dan kekufuran atau membenarkan ajaran yang dibawa oleh mereka. Ayat itu sebenarnya memberikan ancaman yang keras kepada mereka yang tidak beriman dan mengambil ajaran selain daripada Islam,” tuturnya.

Amaran yang sama turut dinyatakan dalam Surah Ali-Imran, ayat 85 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada hari akhirat kelak ia termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi.”

Oleh yang demikian, nasihat Panji Alam, usahlah kita mencela agama lain secara terang-terangan, tetapi usulkanlah hujah yang benar dan nyata bagi membuktikan Islam adalah agama sebenar-benarnya.

Sunnah membaca dalam solat

Mengulas lanjut, agamawan itu berkata, Surah al-Kafirun mempunyai kekuatannya tersendiri.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas merujuk an-Nukat wa al-‘Uyun: “Tiada surah di dalam al-Qur’an yang lebih dimarahi atau ditakuti iblis daripada surah ini.”

Selain itu, terdapat seruan ke arah ketauhidan dan melepaskan diri daripada syirik, sekali gus mensia-siakan usaha syaitan dalam memesongkan akidah seseorang Muslim, ungkap beliau.

Kongsi Panji Alam, betapa istimewanya surah itu apabila Imam Ahmad pernah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad membaca Surah al-Kafirun ketika solat sunat dua rakaat selepas Maghrib dan dalam solat sunat witir.


Intipati yang sama turut disebut oleh Ibnu Umar yang mengatakan: “Rasulullah SAW membaca Surah al-Ikhlas dan Surah al-Kafirun dalam dua rakaat sebelum solat Subuh (solat sunat fajar) dan dua rakaat setelah Mahgrib (ba’diyyah Maghrib) lebih daripada 20 atau 10 kali.”

Penceramah itu juga diajak berdiskusi tentang pernyataan bahawa pahala membaca Surah al-Kafirun sama dengan membaca satu perempat daripada al-Quran.

Katanya, dalam membicarakannya, kita harus mengetahui perbezaan maksud nilai dan juga amal.

Sebahagian ahli ulama ujar Panji Alam, mengatakan satu perempat itu bermaksud nilai pahala seperti membaca satu perempat daripada keseluruhan al-Quran, namun sebenarnya ia tidak menyamai nilai amal.

Pandangan itu diperkukuhkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah bersabda: “Bukankah kamu hafal (Surah al-Kafirun)?” Orang itu menjawab: “Benar.” Baginda menjawab: “(Ia senilai) dengan seperempat al-Quran.” (Hadis Riwayat Imam At-Tirmizi)

Dalam hadis yang sama, sabda baginda: “Sesiapa yang membaca Surah Al-Kafirun, maka bandingannya seperti membaca satu perempat dari al-Quran, di samping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa bencana yang mengejutkan.”

Justeru, kata Panji Alam, berdasarkan hadis tersebut jelas menunjukkan, al-Quran yang terkandung intipati seperti hukum, berita dan tauhid turut terangkum dalam Surah al-Kafirun.

Pun demikian, tegas beliau, ia bukanlah satu alasan untuk seseorang tidak membaca surah yang lain dalam al-Quran.

Suka saya ingatkan bahawa terdapat perbezaan antara al-Jaza (sama nilai dengan pahala yang dijanjikan) dan al-Ijza (sama nilai dengan amal yang digantikan). Oleh itu, membaca Surah Al-Kafirun umpama membaca satu perempat al-Quran adalah dari segi nilai pahala sahaja.

“Sebagai contoh, seseorang bernazar ingin khatam al-Quran, tetapi ia bukan sekadar membaca Surah al-Kafirun sebanyak empat kali berturut-turut, tetapi wajib membaca keseluruhan surah dalam al-Quran dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas,” terangnya.


Dalam pada itu, Panji Alam berkata, umat Islam disunnahkan untuk membaca surah berkenaan dengan Surah al-Ikhlas pada solat-solat malam berdasarkan beberapa sebab yang utuh.

Pertama, ia merupakan salah satu amalan yang dilakukan oleh baginda. Seperti yang kita sedia maklum, setiap perbuatan, ucapan dan amalan Rasulullah merupakan sunnah. Keduanya, dalam Surah al-Ikhlas ia merangkumi tiga perkara iaitu hukum (perintah dan larangan), janji dan ancaman serta penceritaan mengenai ALLAH yang membicarakan nama dan sifat-sifat-NYA.

“Ulama tafsir berpendapat, Surah al-Kafirun turut mengandungi keterangan yang sama termasuk amaran dan larangan daripada mensyirikkan ALLAH. Justeru, membaca dua surah ini amat sesuai untuk solat malam yang merupakan cara kita mengabdikan diri dengan mengagungkan kebesaran-NYA dan untuk memohon rahmat,” katanya.

Foto UNSPLASH & PEXELS

Baca Surah Al-Kafirun Sebelum Tidur Untuk Bebaskan Diri Daripada Kemusyrikan – Pendakwah

MEMBACA Surah al-Kafirun sebelum tidur dapat membebaskan seseorang daripada kemusyrikan.

Pernyataan itu sesungguhnya satu kebenaran dan diperkukuhkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu telah ke tempat tidurmu pada waktu malam, maka bacalah (Surah al-Kafirun) dan tidurlah dalam keadaan kamu telah selesai membacanya, kerana ia adalah pembebasan daripada syirik.”

Dalam hadis yang lain, baginda turut bersabda: “Bacalah Surah al-Kafirun, kemudian tidurlah setelah itu, kerana sesungguhnya itu adalah pembebas (pembersih) dari syirik.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Al Hakim).

Berdasarkan hadis-hadis tersebut, Pensyarah Kanan Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, syirik adalah sesuatu yang amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan tergelincirnya akidah seseorang Muslim.

Dalam Surah al-Nisa, ayat 116, ALLAH telah menyatakan seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan syirik dan tidak sempat bertaubat, mereka akan terjerumus dalam kebinasaan untuk selama-lamanya di akhirat kelak.

“Ini kerana mereka tidak akan memperoleh pengampunan daripada ALLAH SWT. Justeru, syirik adalah suatu kesalahan yang amat besar yang tidak boleh dipandang remeh oleh sesiapa pun jua.

Baginda melalui hadis sahih telah memberi amaran agar menjauhkan diri daripada terjebak dalam perbuatan syirik,” katanya yang juga Penasihat Syariah Harta Muslim.

Penceramah terkenal itu menambah, umat Islam bukan sahaja disarankan membaca surah hebat itu setiap hari, malah cuba menghayati isi kandungannya dengan baik agar dapat membina kekuatan dan kekentalan aqidah dalam diri.


“Surah al-Kafirun juga dapat membentuk kita agar mengikhlaskan diri dalam beribadat dan menyembah hanya kepada ALLAH SWT.

“Justeru, marilah kita sama-sama memantapkan aqidah dengan mempelajarinya bersungguh-sungguh agar bebas daripada perbuatan syirik yang menghancur dan memusnahkan. Aqidah merupakan ilmu yang amat penting untuk dipelajari kerana ia berkaitan dengan makrifah kepada ALLAH, rasul dan agama,” ujar beliau.

Foto Pexels

‘Ikatan Perkahwinan Tidak Terlerai Sendiri Melainkan Dengan Kematian’ – Peguam Syarie

Oleh NURULFATIHA MUAH

KOMENTAR PEGUAM
ABDULLAH ANUAR SAHRI
Peguam Syarie

KES yang berlaku kepada Salamah Tukiran dan Harun Abdullah (kedua-duanya bukan nama sebenar) membuktikan masih ada lagi masyarakat yang tidak tahu tentang tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri berkata, sedar atau tidak, sikap itu menyebabkan berlakunya perlanggaran hukum syarak dari segi pengabaian tanggungjawab dalam perkahwinan.

“Sekiranya dibiarkan berlarutan, maka kesalahan demi kesalahan akan terus bermaharajalela sehingga menyebabkan penganiayaan dalam rumah tangga,” katanya.

Seandainya Salamah terus berdiam diri tanpa mengadu di mahkamah syariah untuk memohon perceraian menerusi fasakh atau taklik, Abdullah Anuar dari Tetuan Anuar Taufeq Junid Associates menjelaskan, ikatan perkahwinan wanita itu akan kekal walaupun beliau diistilahkan ibarat digantung tidak bertali.

“Ini kerana suatu ikatan perkahwinan tidak akan terlerai dengan sendirinya kecuali dengan kematian. Maka, Salamah perlu mengambil langkah untuk membubarkan perkahwinan di mahkamah.

“Ketahuilah, hanya mahkamah atau hakim syariah sahaja yang berhak membubarkan perkahwinan beliau. Jika tidak, Salamah akan kekal statusnya sebagai isteri orang walaupun sedar dirinya seolah digantung tak bertali,” ujarnya.Mengulas lanjut tentang fasakh, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan setelah isteri meminta cerai melalui pengadil (hakim)” ujarnya.

Katanya, fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu. Antaranya disebabkan kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa fasakh adalah jalan terakhir yang terpaksa dipilih oleh seseorang isteri sekiranya tidak lagi dapat meneruskan kehidupan bersama dengan suami.

“Seperkara lagi, terdapat perbezaan antara fasakh dan talak. Fasakh adalah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya. Ia berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau perkara-perkara berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim daripada hukum asal. Lagi satu, fasakh tidak mengurangkan talak yang dimiliki oleh suami.

Sementelah, talak pula adalah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim,” katanya.

Lazimkan 3 Amalan Utama Ini Bagi Buktikan Kecintaan Kita Kepada Baginda Yang Banyak Berkorban Untuk Seisi Umat Islam

Oleh DR AZRI BIN BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

TANGGAL 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh bersejarah bagi seluruh umat Islam apabila lahirnya junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kehadiran baginda adalah rahmat dan anugerah teragung daripada ALLAH SWT kepada alam semesta.

Lazimnya, di Malaysia, kita akan menyambut peristiwa penting itu dengan mengadakan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan seperti berselawat, berqasidah, berzanji termasuk menganjurkan kuliah, ceramah, atau bagi menterjemahkan rasa syukur kepada-NYA atas kelahiran insan agung dan mulia ini.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan KAMI tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW ialah seorang insan yang hebat dan keunggulan keperibadian baginda sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara tiada tolok bandingnya sehinggakan tiada makhluk di muka bumi ini, waima tokoh atau pemimpin terkenal di dunia ini dapat menandingi Rasulullah.

Seorang penulis dan pengkaji dari Barat, Michael H Hart turut memperakui kehebatan dan ketokohan Nabi Muhammad SAW. Dalam karyanya yang bertajuk 100 Most Influential People In The World, beliau telah menobatkan baginda sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.

Amalan berterusan

Kita sebagai umat Islam pastinya mencintai Rasulullah yang banyak berkorban dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah dan sentiasa berusaha mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Terdapat beberapa kaedah dan cara yang dianjurkan oleh agama kepada kita untuk menzahir dan membuktikan kecintaan kepada baginda. Berikut adalah perinciannya:

PERTAMA: Mencintai baginda melebihi diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.” (Surah al-Ahzab, ayat 6)IKLAN

Dalam Hadis Riwayat Muslim pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya.”

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu ALLAH dan Rasul-NYA lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


KEDUA: Mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Tanda mencintai seseorang adalah wujud keinginan untuk sentiasa dekat dan bersama dengannya. Dalam konteks mencintai baginda, cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah yang boleh dipelajari daripada hadis sahih dan sirah hidup Rasulullah.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi ALLAH, maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.” (Surah Ali Imran, ayat 31)

Sementara itu, dalam Surah al-Ahzab, ayat 21, firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati ALLAH.”IKLAN

Justeru, marilah melakukan perubahan dengan menjadikan baginda sebagai contoh terbaik, seterusnya menjunjung sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada ALLAH SWT.


KETIGA: Memperbanyakkan selawat kepada baginda.
Selawat tidak wajar hanya dizahirkan pada sambutan kelahiran Nabi Muhammad SAW sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian. ALLAH SWT dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Terdapat kelebihan lain jika kita sering membasahkan bibir dengan berselawat. Dalam Hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad bersabda: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, ALLAH SWT berselawat ke atasnya 10 kali.”

Kesimpulannya, meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan ALLAH SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman dan membuktikan kecintaan kita kepada baginda yang kita sayangi.

Foto UNSPLASH dan AFP

Jangan Ikutkan Hati Dan Amarah. Ingat, Penceraian Bukan Satu Permainan

kalam perkahwinan penceraian

Oleh RAFIUDDIN MOHD YUSOF
Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan dan Ketua Unit Hal Ehwal Universiti Teknoklogi Mara, Cawangan Johor, Kampus Segamat, Johor

SESUNGGUHNYA, merentas alam perkahwinan merupakan satu fasa yang membahagiakan, apatah lagi jika mendapat restu keluarga dan pasangan saling mencintai.

Selepas berlakunya pernikahan, ini bermakna suami dan isteri mempunyai tanggungjawab tambahan yang perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.

Suami harus menjadi pelindung kepada isteri, manakala si isteri perlu membantu suami. Kedua-duanya memainkan peranan penting agar terpelihara daripada kemelut perpecahan dan perbalahan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah Ar-Rum, ayat 21)

kalam perkahwinan penceraian

Cabaran

Sudah menjadi resam, setiap yang manis, pasti akan ada pahitnya. Dalam melayari bahtera perkahwinan, sudah tentu wujud pelbagai cabaran mahupun perkara-perkara yang menguji tahap kesabaran, kesetiaan dan kepercayaan.

Itu sebab, jika tidak mampu untuk mengharungi segala onak dan duri, usahlah kita memasuki alam perkahwinan tanpa persiapan yang cukup rapi.

Bukan apa, dikhuatiri kita tidak mampu memegang amanah ALLAH YANG MAHA ESA dan bersikap zalim terhadap pasangan kelak.

Sesungguhnya, persediaan rohani dan jasmani perlu dititik beratkan kepada mereka yang berniat untuk menelusuri alam rumah tangga.

Apabila ditimpa dugaan, kepercayaan dan tolak ansur sangat penting bagi kedua-dua belah pihak. Pertelingkahan atau salah faham boleh berlaku walaupun bermula dengan perkara yang kecil, kemudian bercambah menjadi satu masalah jika tiada perbincangan atau penyelesaian yang mampu menemui jalan pendamaian.

Jika penceraian adalah yang paling wajar, seharusnya ada usaha dan perbincangan yang dilakukan terlebih dulu di antara suami dan isteri.

Jika tidak berupaya untuk mengadakan diskusi bersama, maka perlu ada setiap seorang wakil yang boleh menjadi perunding atau pendamai dalam memastikan pertelingkahan dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan persengketaan antara keduanya, maka lantiklah seorang orang tengah daripada keluarga lelaki dan seorang orang tengah daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua (orang tengah) itu bertujuan hendak mendamaikan, nescaya ALLAH memberi taufik kepada suami isteri itu. Sungguh ALLAH MAHA MENGETAHUI dan MAHA TELITI.” (Surah An-Nisa’, ayat 35)

kalam perkahwinan penceraian

Berusaha jaga amanah

Penceraian bukanlah semudah yang disangka. Bukan selepas si suami melafazkan cerai, masing-masing boleh terus meninggalkan pasangan dan  membawa haluan sendiri. Bukan begitu caranya.

Sebaliknya, kes penceraian perlulah mendapatkan pengesahan daripada pihak mahkamah dengan melihat pelbagai aspek sebelum hakim mengesahkannya.

Secara mata kasar memang nampak senang, hakikatnya tidak, lebih-lebih jika pasangan mempunyai anak atau terdapat gangguan dan hasutan daripada pihak ketiga.

Banyak proses dan prosedur yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah syariah yang bertanggungjawab dalam menentukan proses penceraian diterima.

Sekiranya perlu, mahkamah akan mengarahkan  suami isteri untuk menjalani sesi kaunseling di jabatan agama negeri masing-masing bagi memperbetulkan keadaan rumah tangga atau sebagainya.

Oleh yang demikian, sebelum melakukan sesuatu perkara atau membuat sebarang keputusan, berfikirlah dengan sebaiknya. Banyak faktor yang perlu dilihat di sekeliling kita apabila jalan perpisahan yang dipilih.

Jangan juga menjadikan penceraian itu sebagai permainan. Merujuk semula pasangan, kemudian menceraikannya semula atau isteri minta untuk dilepaskan, walaupun telah dirujuk semula.

Begitu juga bagi seorang lelaki yang telah berkahwin lebih daripada sekali, namun setiap perkahwinan itu berakhir dengan penceraian.

kalam perkahwinan penceraian

Perlu diingat, walaupun penceraian dibenarkan, namun biarlah sebagai jalan penyelesaian yang terakhir, dengan syarat kita telah berusaha untuk menyelamat dan memperbetulkan rumah tangga dengan sehabis daya dan usaha bersama.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh ALLAH SWT selain daripada talak. Dan mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atas baunya syurga.”

Sehubungan itu, sentiasalah berusaha untuk memelihara ikatan kasih sayang di antara suami isteri.

Duduklah berbincang sekiranya terdapat masalah. Mohonlah kepada ALLAH, jangan ikutkan hasutan syaitan yang gemar kepada perpecahan dan perbalahan dalam rumah tangga.

Sayangilah pasangan dan keluarga kita kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang ALLAH SWT berikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-NYA) adalah DIA menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar Rum, ayat 21)

Sumber: Foto Unsplash

Rahsia Terbesar Solat Duha Sehingga Rasulullah Meninggalkan Wasiat Kepada Para Sahabat Dan Umat Islam

BAGI junjungan besar Nabi Muhammad SAW, solat bagi baginda merupakan manifestasi takwa, tanda kesyukuran tidak terhingga dan ekspresi cintanya kepada YANG MAHA ESA.

Solat juga berfungsi sebagai riyadhah ruhiyah (melatih kerohanian) yang dapat menghadirkan kenikmatan dan kebahagiaan dalam diri seseorang.
Selain solat fardu lima waktu, umat Islam dianjurkan untuk ‘mengakrabkan‘ diri dengan solat duha kerana ia merupakan sunnah istimewa dengan keutamaan yang sungguh luar biasa.

Malah, Rasulullah SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah yang juga seorang perawi hadis agar menjadikan solat tersebut sebagai rutin yang perlu dilakukan setiap hari.

Kelazimannya, masyarakat sering berpendapat, dengan menunaikan solat duha, ia merupakan salah satu cara menjemput rezeki. Ternyata, fadilatnya bukan setakat itu sahaja, bahkan membaca doa seusai solat, ia memberi beberapa kelebihan lain.

Terdapat banyak dalil, baik daripada al-Quran mahupun hadis yang menegaskan tentang ibadah hebat itu.
Solat duha juga berhubungan dengan durasi masa. Justeru, apakah waktu terbaik untuk mengerjakannya? Apakah surah yang disyorkan dibaca selepas al-Fatihah?

Lakukan bersendirian

Bagi menjawab semua tanda tanya itu, Sinar Islam Plus menemuramah Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat.

Menurut beliau, solat duha turut dikenali sebagai solat al-Awwabin. Imam Al-Hakim dalam mustadraknya yang diperakukan sahih oleh al-Albani dalam Kitab Silsilah al-Ahadis al-Sahih berkata: “Tidak akan memelihara solat duha melainkan seorang Awwab. Dan solat duhalah merupakan solat orang-orang Awwab (Awwabin).“

Awwabin merupakan kata jamak bagi awwab yang bermaksud orang-orang yang kembali kepada ALLAH SWT.

Mengulas lanjut, ujar Dr Mohd Nor, hanya golongan al-Awwabin sahaja yang mampu beristiqamah untuk menunaikan solat sunat tersebut. Dengan kata lain, mereka sentiasa memikirkan diri lemah dan selalu merendah diri dengan ALLAH.

“Segala kelebihan dan kemuliaan yang ada pada mereka dikembalikan kepada ALLAH semata-mata dengan penuh rasa syukur dan insaf. Jika ada kelemahan dan kecuaian juga, golongan itu akan segera kembali kepada-NYA dengan taubat dan istighfar,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Berkenaan dengan waktu menjalankan solat duha, beliau memperihalkannya secara jelas dengan memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Solat awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).“

Pernyataan itu bermaksud, solat sunat berkenaan boleh didirikan pada waktu antara selepas matahari naik lebih kurang segalah (iaitu lebih kurang 20 hingga 30 minit selepas matahari terbit) sehinggalah kepada matahari tegak di atas kepala, sebelum masuknya waktu Zuhur.

Saran pendakwah itu, tempoh masa paling sesuai untuk mengerjakan solat duha adalah ketika pasir mulai panas dek kerana cahaya matahari. Dalam erti kata mudah, sekitar jam 10 pagi ke atas dan dilakukan dalam dua hingga 12 rakaat.

Pun demikian, ungkap Dr Mohd Nor, menurut pandangan Imam Nawawi, bilangan yang paling afdal adalah lapan rakaat.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaksanakan solat duha pada hari Fathu Mekah (pembukaan kota Mekah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.“ (Hadis Riwayat Abu Daud)

Mewakili masyarakat yang sering bertanya adakah solat duha boleh dilakukan secara berjemaah, berikut jawapan penceramah berkenaan.

“Ia (solat duha) tidak termasuk dalam kategori solat yang disunatkan berjemaah. Jadi, lebih afdal dilakukan secara bersendirian. Seperkara, tidak ada ketetapan khusus untuk kita membaca mana-mana surah pun.

“Namun begitu, terdapat ulama yang menyarankan agar kita membaca Surah as-Shams pada rakaat pertama dan Surah ad-Dhuha pada rakaat kedua setiap kali selepas bacaan Surah al-Fatihah. Ini diambil kira sebagai bersesuaian dengan situasi dan waktu solat tersebut.”

Pun demikian, Dr Mohd Nor yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara berkata, Surah ad-Dhuha sangat disyorkan untuk dilazimi kerana ia menjadi motivasi kepada Rasulullah SAW.

“Surah ini diturunkan ketika baginda berada dalam kegelisahan dan surah ini diiringi dengan sumpah ALLAH bahawa baginda akan sentiasa dalam jaminan perlindungan-NYA,” katanya.

Merujuk kepada ayat enam hingga lapan dalam surah itu bermaksud: “Bukankah DIA mendapati engkau yatim piatu, lalu DIA memberikan perlindungan? Dan DIA mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu DIA memberikan kecukupan.”

Justeru, kata pendakwah itu, umat Islam sangat digalakkan mengamalkan solat duha sebagai rutin amalan seharian, meskipun didirikan hanya dua rakaat.

“Lakukan dengan penuh istiqamah. Sesungguhnya, solat ini boleh menjadi kunci penyelesaian dan merungkai segala permasalahan dan kekhuatiran yang terbuku dalam sanubari kita, selain mencukupkan rezeki sepertimana janji ALLAH kepada hamba-NYA,” ujar beliau.

Sementara itu, pendakwah Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff yang dihubungi menambah, meskipun menunaikan solat duha tidak memerlukan durasi masa yang panjang, persediaan yang rapi perlu dilakukan. Namun, kata beliau, hanya insan terpilih sahaja yang mampu melaksanakannya.

“Bahkan, dalam kalangan mereka yang melakukannya pula, tidak ramai yang istiqamah atau konsisten. Itu belum lagi dinilai dari sudut kesempurnaan atau kualiti pelaksanaan yang ‘dipersembahkan‘ ketika menunaikan solat sunat itu.

“Sungguhpun kelihatan senang dan santai sahaja, tetapi ia amat berat kecuali mereka yang dikurniakan taufik dan hidayah daripada ILAHI,” tuturnya.

Dr Adnan kemudian membacakan firman ALLAH yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Wasiat Rasulullah

Sesungguhnya, solat duha bukan calang-calang amalan. Masakan tidak, ia merupakan wasiat dan sunnah baginda kepada umatnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat duha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Solat duha juga sering dikaitkan dengan rezeki. Dr Adnan yang juga Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia berkata, tidak dinafikan bahawa rezeki merupakan antara perkara utama yang diusahakan oleh seseorang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, doa dalam solat Duha sangat popular dalam kalangan masyarakat. Para ulama terdahulu mengajar doa yang jika ditafsirkan mempunyai maksud ‘semoga dipermudahkan usaha menceri rezeki, sekalipun ia sukar, jauh, kotor, tersorok dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, seandainya dikaji pensyariatan solat sunat tersebut dengan merujuk kepada hadis-hadis masyhur, kita mendapati bahawa ia sebenarnya adalah satu tanda kesyukuran yang perlu ditunaikan oleh seorang insan atas nikmat penciptaan-NYA.

Kenyataan beliau itu adalah bersandarkan kepada Hadis Riwayat Muslim yang menyatakan: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat duha.”

Pejabat Mufti Wilayah menerusi Irsyad Al-Hadith yang mengupas topik Solat Duha Mendapat Istana Emas juga sependapat dengan Dr Adnan.Kata mereka: “Menjadi satu kemestian bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada ALLAH agar melaksanakan solat sunat duha setiap hari. Ini kerana ia merupakan sebagai satu tanda syukur kita kepada ALLAH SWT terhadap segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita termasuklah nikmat sendi-sendi di dalam badan kita ini.”

Tunaikan Solat Duha Akan Diberi Ganjaran Emas? Berikut Penjelasannya

SEPERTI semua sedia maklum, fadilat dan kemuliaan menunaikan solat duha atau al-Awwabin sangat bererti dalam kehidupan umat Islam.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang solat duha sebanyak 12 rakaat, maka ALLAH akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.“ (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menjawab pertanyaan tentang riwayat hadis berkenaan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menerusi Irsyad Al-Hadith Siri ke-223: Solat Duha Mendapat Istana Emas memberi penjelasan dengan merujuk beberapa pendapat ulama.

Imam al-Tirmizi menilai hadis itu sebagai gharib (ganjil) kerana tidak diketahui. (Rujuk Sunan al-Tirmizi, 337/2)

Imam Ibn Mulaqqin mengatakan hadis daripada Anas bin Malik telah dimuatkan oleh Ibn al-Sakan di dalam kitab sunannya yang sahih. (Rujuk Tuhfah al-Muhtaj, 416/1)

Imam al-Nawawi menghukum hadis berkenaan sebagai daif. (Rujuk Khulasah al-Ahkam, 571/1)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan dalam sanad itu tidak terdapat perawi yang dikatakan lemah. (Rujuk Fath al-Bari)

Syeikh al-Albani menilai hadith tersebut sebagai daif. (Rujuk Dhaif Jami‘ al-Tirmizi dan Dhaif Ibn Majah, 380/3)

Justeru, berdasarkan semua pandangan tersebut, Pejabat Mufti WP lebih cenderung mengatakan bahawa hadis berkenaan bersifat daif.

“Pun demikian ia boleh diangkat ke tahap hasan apabila ia disokong oleh beberapa riwayat lain,“ kata mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang dihubungi turut senada dengan Pejabat Mufti WP.

“Ya, walaupun status hadis ini dikatakan lemah, tetapi maknanya dikuatkan dengan hadis-hadis lain seperti Hadis Riwayat Buraidah. Ini kerana fadilat bersedekah adalah besar dan apabila solat duha disamakan dengan sedekah, maka inilah yang menunjukkan kelebihan solat duha,“ jelas pendakwah itu.

Tatkala diajukan pertanyaan tentang sesetengah pendapat bahawa ibadah itu berupaya menyembuhkan penyakit, Dr Wan Salim berkata, berdasarkan pengetahuannya, kesahihannya belum dapat dipastikan lagi.

Dalam pada itu, ujar beliau, para fuqaha berbeza pandangan sama ada solat duha boleh dilakukan setiap hari secara berterusan atau dilakukan berselang hari atau secara berkala.

“Bagaimanapun, majoriti jumhur fuqaha berpandangan, solat berkenaan digalakkan (mustahab) supaya dilakukan secara berterusan pada setiap hari,“ katanya.

Sandaran itu, beritahu agamawan tersebut adalah merujuk kepada Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud: “Amalan yang paling disukai ALLAH ialah yang kekal walaupun sedikit.“