Archives for January 2022

Jemaah Yang Sakit Tak Perlu Risau Lagi, ITC Tawar Perkhidmatan Home Nursing Dari Tanah Air Hingga Ke Tanah Suci

ITAQWA CARE (ITC) memperluaskan peranan mereka dengan menyediakan perkhidmatan Home Nursing Patuh Syariah Pertama di dunia yang memfokuskan kepada kebajikan jemaah haji dan umrah sentiasa terpelihara.

Pengasasnya, Noorfarashikin Othman (gambar) berkata, inisiatif berkenaan diambil selepas melihat kelompok jemaah yang berhadapan dengan masalah kesihatan dan kesukaran untuk menunaikan ibadat secara sempurna.

Justeru, ujar beliau, ITC memperkenalkan Home Nursing Patuh Syariah pertama yang akan memastikan kelancaran setiap ibadat dan keperluan para jemaah dipermudahkan.

“Fokus utama kita adalah memberi perkhidmatan bertaraf premium terutama kepada golongan yang memerlukan dan yang sudah lama menanti servis yang juga patuh syariah.

Saya sedar perkhidmatan home nursing ini melibatkan kos yang agak tinggi. Namun, saya juga percaya para jemaah yang telah lama menunggu waktu untuk menunaikan umrah atau mengerjakan haji, tetapi mereka yang berhadapan dengan kekangan kesihatan akan melihat servis ini sebagai alternatif yang mampu mempermudahkan urusan mereka.

“Sebagai contoh, jika jemaah perempuan yang sakit dan perlu menjalani rawatan dialisis, mereka hanya akan diuruskan dan dijaga sepenuhnya oleh nurse perempuan dan begitulah sebaliknya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Noorfarashikin berkata, perkhidmatan akan dimulakan sebelum jemaah bertolak ke Tanah Suci sehingga berada di sana.
Beberapa hospital turut dipilih untuk menjalin kerjasama dan menyediakan servis yang diperlukan.

ITC kini juga berpusat di Emiriah Arab Bersatu, Makkah dan Madinah. Secara keseluruhan, kami memiliki seramai 28 jururawat yang berasal dari Malaysia yang berkhidmat di Arab Saudi. Ini akan membantu dan melancarkan segala perkhidmatan yang disediakan, insya-ALLAH,” jelasnya.

 


Terdahulu, ITC telah menandatangani perjanjian bersama rangkaian Maahad Tahfiz An-Nabawi (Matan Centre) yang ditubuhkan oleh pendakwah terkenal Malaysia, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani.

Ditubuhkan sejak tahun 2012, Into Taqwa sudah melancarkan beberapa inisiatif lain, selaras dengan visi mereka iaitu memfokus terhadap pembangunan insan berteraskan Islam.

Salah satu inisiatif IT adalah IntoHajj iaitu kerjasama bersama Amal by Malaysian Airlines bagi memudahkan pergerakan jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Pada tahun 2015, IntoAlAqsa telah membantu rakyat Palestin yang terjejas kerana peperangan dan pembangunan Masjid Al-Aqsa.
Untuk maklumat lebih lanjut, layari www.itaqwacare.com.

Pemimpin Atau Ketua Yang Baik Perlu Seimbangkan Di Antara Kepentingan Agama Dan Urusan Duniawi

Oleh DR AZRI BHARI
Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor

JAWATAN tertentu yang kita sandang, sebenarnya bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan. Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi dan kerja keras.

Istilah kepimpinan membawa definisi yang luas. Menurut tokoh Islam dalam bidang sains politik, al-Mawardi, ia (kepimpinan) merupakan tanggungjawab menggantikan tugas kenabian bagi menjaga agama dan menguruskan kehidupan dunia.

Sementara ahli sosiologi, Ibn Khaldun pula berkata, kepimpinan adalah membawa seluruh manusia supaya berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan apabila berada di alam yang kekal abadi nanti.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kalian; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, Islam menjelaskan bahawa setiap manusia sama ada lelaki atau wanita ialah seorang pemimpin. Setiap orang ialah pemimpin terhadap dirinya sendiri atau kepada rakyat.

Susun strategi

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, seseorang perlulah merancang dan menyusun strategi dengan penuh rapi bagi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian rakyat.

Islam telah pun menggariskan pelbagai tugas dan tanggungjawab kepimpinan yang baik untuk diterap dan diaplikasikan demi mewujudkan sebuah negara yang mapan, dinamik dan sentosa. Antaranya:

1. Memelihara dan memartabatkan agama.
Berusaha mempertahankan kesucian Islam daripada segala bentuk kesesatan, bidaah, penyelewengan dan ideologi yang bercanggah dengan agama suci ini.

Selain itu, seorang pemimpin wajib menghapuskan segala bentuk penyelewengan yang merosakkan imej Islam dengan menggunakan kaedah atau pendekatan yang bersesuaian seperti penerangan, mengemukakan hujah, keterangan dan sehinggalah kepada tindakan undang-undang.

Sewajarnya, seorang pemimpin haruslah menjadi teladan yang baik dengan mempraktikkan cara hidup yang betul dan tidak menyeleweng. Sekiranya tidak mengamalkan kebenaran, maka rakyat akan menjadi lebih rosak lagi.

ALLAH SWT berfirman: “Mengapakah kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri?“ (Surah al-Baqarah, ayat 44)

2. Menjaga keselamatan rakyat daripada anasir negatif dan pencerobohan pihak luar.
Hal tersebut dapat dilakukan dengan menyediakan benteng pertahanan yang kukuh dan kekuatan ketenteraan yang mantap.

3. Menjamin keamanan dalam negara dengan melaksanakan undang-undang yang ditetapkan oleh syarak dan berlaku adil.
Pemimpin perlu memastikan pelantikan para hakim yang berkelayakan untuk memikul tugas supaya keadilan dapat ditegakkan, sekali gus menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

4. Menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan dengan bijaksana serta berhemah melalui saluran yang betul.
Pemimpin perlu memastikan pihak-pihak yang terlibat dengan proses pengadilan tidak dizalimi.

5. Menyediakan kemudahan asas kepada rakyat.
Kepimpinan melalui kementerian, jabatan dan sektor lain perlu menyiapkan kemudahan asas kepada rakyat mengikut bidang kerja masing-masing seperti kesihatan, pendidikan, perindustrian, perdagangan, pertanian, pengangkutan, perumahan dan sebagainya.

Ia adalah selari dengan kaedah fiqh yang menganjurkan pihak pemerintah menyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu ‘polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.‘

Kesimpulannya, kepimpinan dalam konteks Islam merangkumi pelbagai aspek. Antaranya mereka perlu membina dan membangun insan yang sejahtera yang memiliki jiwa, akhlak dan rohani yang murni, bersaudara serta bantu membantu dalam melakukan apa juga kebaikan.

Seorang pemimpin atau ketua juga mesti bersama-sama berganding bahu dalam mencegah kemungkaran; mempertahankan nilai; kesucian dan kehormatan diri; menegakkan keadilan dan kebenaran; menolak kerosakan serta kebatilan.

Demikianlah peranan dan amanah yang perlu digalas demi menyemai kesejahteraan dan kebaikan di sebuah negara. Wallahu’alam.

Cari Rezeki Halal Lagi Berkat Sekalipun Badan, Otak Kita Penat. Ini Nasihat Berguna Untuk Semua Umat Islam

PENDAKWAH Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau Da’i Fuad mengingatkan seluruh umat Islam supaya jangan mengundang kemurkaan ALLAH SWT ketika mencari rezeki.

Teguran itu lebih mengarah kepada pengasas produk yang dilihat cenderung menggunakan instrumen pemasaran yang keterlaluan dan tidak patuh syariah sejak kebelakangan ini. Ujar beliau, sememangnya pendapatan yang dicari itu halal, namun tiada keberkatan ke atasnya.

“Dalam hal ini, apabila ditegur, jangan pula kata ‘jangan buat kerja Tuhan dalam menghukum rezeki kami‘. Kita perlu faham ayat ‘di antara buat kerja Tuhan ataupun berhukum dengan hukum Tuhan‘. Ia merupakan dua perkara yang berbeza.

“Saya beri contoh, hukum solat adalah wajib dan ia ketetapan daripada ALLAH. Jadi, adakah ustaz yang mewajibkan pelajarnya supaya bersolat, ustaz tersebut mengambil kerja ALLAH?

“Tidak…ustaz itu sedang menegakkan suruhan ALLAH. Justeru, nasihat saya, kalau kita tidak mampu untuk (menegakkan) suruhan-NYA, jangan kita menjadi orang yang merendahkan perintah-NYA,“ tegasnya.

Kepada Sinar Islam Plus, Dai Fuad berkata, rezeki yang dicari akan menjadi sebahagian daripada darah daging dalam badan kita, selain mendatangkan barokah (nikmat atau keberkatan) dalam hidup.


Imam Ghazali, bahkan sebahagian ulama seperti Imam Nawawi juga menyatakan, barokah adalah kebaikan yang banyak, lagi abadi.
Firman ALLAH SWT dalam Surah as-Saba, ayat 36: “Katakanlah, sesungguhnya, Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang DIA dan menyempitkannya (bagi siapa yang DIA kehendaki) tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui berkenaan dengannya.“

Dalam memperkatakan tentang barokah, saya ingin memberi contoh mudah. Katakan gaji seorang itu berjumlah RM1,500 hingga RM1,800, tetapi beliau telah memberi manfaat kepada keluarga di kampung, dapat bersedekah kepada saudara Islam di Palestin dan Syria, malah kepada orang miskin yang kita tidak kenal pun dapat merasai titik peluhnya. Itulah yang diertikan dengan keberkatan,“ jelasnya.

Sebelum menutup tirai bicara, agamawan tersebut mengingatkan kepada semua bahawa cara kita mendapatkan rezeki penting bagi mencapai titik keberkatan.

“Cuba bayangkan jika ia daripada sumber haram, ia boleh menjadikan hati kita keras. Kita juga tertanya-tanya kenapa keluarga porak-peranda, anak-anak gagal dalam pelajaran dan isteri tidak mendengar kata?

Hakikatnya, makanan yang kita makanlah yang akan menjadikan siapa diri kita. Jika kita makan daripada sumber yang bersih, maka selamatlah. Jika bertentangan, natijahnya amat mengecewakan. Oleh itu, carilah rezeki yang halal, lagi berkat. Sekalipun badan dan otak penat, tetapi ia sangat berbaloi,“ nasihatnya.

Jangan Mengeluh Ketika Mencari Rezeki. Segala Usaha Akan Diberi Ganjaran Yang Besar Daripada ALLAH SWT

PADA bulan Oktober lalu, Asnida Kamal, 38, diminta kembali bertugas di pejabat selepas hampir dua tahun berkerja dari rumah (BDR).
Berita itu amat mengecewakan arkitek tersebut. Bukan apa, beliau rasa lebih selamat berada di kediaman sendiri, sementelah dirinya mempunyai dua anak kembar berusia 10 tahun yang masih mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ujar Asnida, sistem BDR membuatkannya lebih produktif. Seperkara lagi, dengan tidak hadir ke pejabat, beliau mampu berjimat sebanyak RM600 yang biasanya diperuntukkan untuk bayaran tol dan minyak kenderaan.

Pada masa sama, urusan PdPR anak-anaknya dapat diuruskan dengan mudah. Suaminya yang berkerja sebagai doktor tidak dapat membantu beliau dalam banyak urusan kerana sibuk mengendalikan pesakit di hospital.

Pun demikian, ‘amukan kecil‘ Asnida mendapat teguran daripada ibunya yang menyifatkan keluhan tersebut seolah-olah menidakkan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Bukankah penat lelah membanting tulang mempunyai ganjaran pahala daripada ALLAH SWT? Soal wanita tua tersebut kepada anaknya.
Justeru, dalam kemelut seperti itu, apa tanggapan Islam mengenai perilaku Asnida? Adakah rintihannya dianggap seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang diperoleh sebelum ini?

Istighfar

Kepada Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood, soalan-soalan tersebut Sinar Islam Plus ajukan.

Siti Fatahiyah menjelaskan, mencari rezeki yang halal lagi berkat merupakan salah satu perkara yang dituntut dalam agama Islam.
“Ia juga adalah ibadah kepada ALLAH SWT. Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk memastikan keseluruhan proses pencarian rezeki mematuhi syariat bermula daripada niat sehinggalah kita memiliki hasil rezeki tersebut,“ ujarnya.

Dalam Surah al-Jumu‘ah, ayat 10, ALLAH berfirman: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia ALLAH, serta ingatlah akan ALLAH banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).“

Sementara dalam Surah Al-Ankabut, ayat 17, ALLAH berfirman: “Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain daripada ALLAH itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi ALLAH, dan sembahlah akan DIA, serta bersyukurlah kepada-NYA; (ingatlah), kepada ALLAH jualah kamu akan dikembalikan.“

Jelas Siti Fatahiyah, jika diteliti kedua-dua ayat tersebut, kaedah mencari rezeki boleh dirumuskan kepada lima pecahan.
Pertama, jangan meninggalkan solat sepanjang mencari wang. Kedua, dapatkan daripada perolehan yang halal.

Pendekatan seterusnya adalah tidak menyekutukan ALLAH SWT, sentiasa mengingati-NYA dan selalu bersyukur.

“Paling akhir dan penting sekali, beroleh kejayaan di dunia dan akhirat kerana kita semua akan kembali kepada-NYA,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, tidak kira sama ada berkerja di ofis berhawa dingin atau membanting tulang empat kerat di bawah terik mentari, rasa penat memang tidak dapat dielakkan.

Ya, benar keadaan seumpama itu memang sesiapa pun tak boleh nafikan. Namun, tatkala kita rasa penat ataupun lelah ketika mencari rezeki, maka cepat-cepatlah beristighfar dan berselawat agar ALLAH SWT mempermudahkan segala urusan kita,“ katanya.

Dalam Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barangsiapa yang sentiasa melazimi istighfar, ALLAH menjadikan baginya setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap keluh-kesah itu kelapangan dan ALLAH juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.“

Menjawab pertanyaan tentang pernyataan bahawa ALLAH SWT akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang keluar mencari nafkah, pendakwah itu lantas berkata: “Apabila berbicara soal dosa dan pahala, ia perlu dirujuk kepada ALLAH SWT YANG MAHA BERKUASA dan MAHA MENGETAHUI. Seperti yang telah saya katakan tadi, untuk mendapat ganjaran dan ibadah diterima, kita perlulah memastikan niat dan proses mencari nafkah tidak lari daripada batasan serta syariat. Setelah kita melaksanakannya dengan baik, kita pasti akan mendapat ganjaran dan tiada sesiapa pun dapat menghalang rezeki kita kerana hanya DIA menentukan semua. Cuma yang membezakannya adalah sama ada cepat atau lambat sahaja.“

Belajar bersyukur

Perunding Motivasi Keluarga itu juga menasihatkan kepada seluruh umat Islam untuk sentiasa mendidik hati dan minda supaya bersyukur di atas segala nikmat dan anugerah yang dikurniakan-NYA.

Jangan pula siang dan malam berhajat itu dan ini, namun apabila segalanya dimakbulkan, kita lupa untuk menitip rasa berterima kasih kepada-NYA, tegur beliau.

ALLAH telah pun memberi peringatan tentang hal tersebut dalam Surah al-‘Araf, ayat 10: “Dan sesungguhnya KAMI telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan KAMI jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.“

Pensyarah tersebut kemudian menambah. Kehidupan seseorang insan akan lebih bermakna sekiranya rezekinya dikongsi bersama dengan golongan yang memerlukan. Pertolongan itu bakal membantu mereka di akhirat kelak.

Sinar Islam Plus turut mengajak pendakwah Muhammad Yusuf A Kadir untuk berdiskusi topik yang sama. Beliau tanpa prejudis bersetuju dengan setiap fakta yang dikemukakan oleh Siti Fatahiyah.

Muhammad Yusuf menjelaskan, tujuan utama kita keluar bekerja adalah untuk mencari reda ALLAH dan ia adalah sebahagian daripada amal soleh.

Selagi pekerjaan itu selari dengan syariat dan halal, maka setiap tindakan sepanjang melaksanakannya akan diberi pahala.
Muhammad Yusuf kemudian memetik sabda baginda: “Sesungguhnya kamu tidak membelanjakan suatu biaya (yang tujuannya) kerana ingin mendapatkan reda ALLAH melainkan kamu akan diberi pahala melaluinya, sehinggakan apa yang kamu beri makan ke dalam mulut isterimu (melalui hasil usaha kerja yang dilakukan).“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Ganjaran besar

Tutur pendakwah itu lagi, segala usaha yang dilakukan untuk mencari nafkah demi keluarga tercinta tidak akan disia-siakan, bahkan diberi ganjaran yang besar daripada ILAHI.

Sesungguhnya, ungkap beliau, membelanjakan wang kepada ahli keluarga adalah sebaik-baik sedekah.

“Justeru, seseorang yang bekerja perlu meletakkan niat di sebalik pekerjaannya adalah untuk bersedekah dengan cara memberi biaya hidup kepada famili dan perkara itu ada dinyatakan dalam sebuah hadis,“ tegasnya.

Daripada Abu Hurairah, baginda bersabda: “Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan ALLAH, satu dinar yang kamu gunakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang kamu sedekah kepada orang miskin, dan satu dinar yang kamu biaya keluargamu; yang paling besar ganjaran pahalanya ialah yang kamu gunakan untuk membiayai keluargamu.“ (Hadis Riwayat Muslim)

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf memberitahu, Islam memandang tinggi dan menyukai umat yang melaksanakan tugasan dengan tekun dan sentiasa memperbaiki kualiti kerja yang dilakukan.

Sikap seumpama itu menunjukkan bahawa dia seorang yang amanah dengan kewajipan yang diberikan. Pada masa sama, mereka sebenarnya sedang menuju cinta dan kasih sayang ALLAH,“ jelasnya.

Tunai Zakat Bukan Untuk Tambah Rezeki? Umat Islam Diminta Jangan Salah Faham Objektif Tunaikan Rukun Islam Ke-4 Itu

Oleh MUHAMMAD NAZREEN ADNAN
Bahagian Dakwah Am,
Zakat Pulau Pinang, MAINPP

PADA zaman serba canggih kini, masyarakat dapat menggapai informasi dengan cepat sama ada melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, mahupun YouTube.

Melalui capaian itu semua, pelbagai ilmu dapat diperoleh termasuk berkaitan dengan zakat.

Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu tentang zakat? Menurut Profesor Dr Mustafa al-Bugha dalam Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat sebagai kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat yang digariskan.

Seperti yang kita maklum, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah sahaja, sebaliknya ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian.

Antaranya ialah zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.

Sembilan pembahagian zakat harta itu bukanlah diwajibkan secara mutlak untuk dilaksanakan, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat, maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.

Tujuan

Alhamdulillah, pada tahun ini, ramai dalam kalangan umat Islam mulai sedar tentang peri pentingnya kewajipan berzakat.
Saban tahun, hampir semua institusi zakat di Malaysia menunjukkan trend prestasi kutipan yang sentiasa meningkat, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negara ini.

Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing.

Namun, sejauhmana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah itu tujuan utamanya?

Persoalan berkenaan telah pun dijawab oleh ALLAH YANG MAHA ESA sejak sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya.

Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat ke-103: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.”

Daripada ayat tersebut, ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.

Pada zaman yang penuh mehnah (cabaran), kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat merupakan ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.


Sesungguhnya, harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan atau dicuci. Maka, ia akan kotor, berbau dan tentunya wujud virus yang akhirnya membawa penyakit kepada pemakainya.

Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki.

Pun demikian, apabila seseorang berzakat, pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan daripada-NYA yang ironinya akan memberi kesan positif dan cahaya dalam kehidupan sehari-hari.

Cara

Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

Misalnya, bagi umat Islam di Pulau Pinang, mereka boleh melakukan ibadah itu di Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).


Terdapat lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri ini iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.

Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat termasuk kaunter permohonan zakat.
Bagi memudahkan orang ramai pada era pandemik ini, menunaikan ibadah zakat telah dipermudahkan, lebih cepat dan selamat. Segalanya boleh dilakukan secara online melalui portal https://zakatpenang2u.com.

Kesimpulannya, sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan ‘kotoran’, keluarkanlah zakat. Marilah sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.

Anak Derhaka Tidak Akan Pernah Cium Bau Syurga. Itu Jaminan ALLAH Kepada Si Tanggang Moden

BEBERAPA tahun lalu, penulis ditugaskan untuk menemuramah penghuni sebuah rumah jagaan orang tua di Negeri Sembilan.

Sebaik melangkah ke sebuah dorm, hati kecil ini terusik. Masakan tidak, ruang itu dipenuhi dengan ibu bapa malang yang ditinggalkan. Ada yang nampak ceria, namun majoritinya bermuram durja.

Seperti yang dijanjikan, penulis dibenarkan mendekati seorang lelaki tua yang dikatakan memilih sendiri duduk di rumah jagaan berkenaan.

Beliau menangis sebaik mendengar soalan pertama yang diajukan penulis. Beritahu beliau, perbuatan lampaunya yang mengabaikan tiga anak yang sedang membesar gara-gara terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai jurufoto sangat dikesali.

Mahu dipendekkan cerita, pada usia 50-an beliau jatuh sakit. Pun demikian, tiada seorang pun daripada anaknya mahu menjaganya. Lebih teruk lagi, beliau dihalau keluar dari rumah. Tiada pilihan lain, lelaki berkenaan mendaftarkan diri secara sukarela di rumah jagaan orang tua.

Melihat kepada situasi pilu berkenaan, penulis terfikir sejenak. Mengapa si anak tergamak berbuat demikian? Adakah disebabkan mahu membalas dendam terhadap perbuatan silam bapa mereka?

Bukankah seburuk-buruknya si ayah, perbuatan tersebut sangat ditegah di sisi agama? Bukankah kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada mereka bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-NYA?

Si Tanggang moden

Bagi membincangkan topik tersebut, Sinar Islam Plus mendapatkan ulasan pendakwah Dr Mohd Faisol Ibrahim.

Dengan penuh kesungguhan, Dr Mohd Faisol berkata, anak-anak yang dipupuk dengan ilmu naqli (al-Quran) dan aqli (sunnah), di samping menekankan adab-adab Islam dalam jiwa, merupakan ganjaran terhebat kepada orang tuanya.

Namun, jika ibu bapa gagal mendidik anak dengan jiwa yang dipasak dengan dua sumber utama agama itu (naqli dan aqli), ia merupakan satu kerugian besar.

“Rugi kerana tidak menggunakan peluang yang ALLAH SWT berikan sepenuhnya bagi menyemai saham pada hari akhirat kelak,” ujarnya.

Ujar pendakwah itu lagi, tidak mudah sebenarnya hidup pada era milenial yang dilingkari dengan pelbagai liku. Situasi sebegitu sememangnya menuntut ibu bapa lebih peka, prihatin, cakna, di samping memiliki kekuatan iman yang utuh.

Cabaran-cabaran yang hadir itulah yang mewujudkan segelintir anak yang tidak patuh kepada ibu bapa. Mereka mempunyai pemikiran sendiri yang adakalanya salah dan tersasar,” katanya.

Pun demikian, apapun tantangan yang hadir, seorang anak perlu memahami tanggungjawab dan keterbatasan mereka terhadap ibu bapa tanpa mengambil pusing soal sejarah hidup orang tuanya, status hidup, warna kulit, agama, pangkat, kekayaan, waima agama mereka.

Dalam erti kata mudah, siapa pun ibu bapa kita, seorang anak sangat ditegah daripada memperlekehkan, apalagi melakukan perbuatan derhaka.

“Anak derhaka akan dimurkai ALLAH SWT dan tidak mencium bau syurga. Itu adalah jaminan ALLAH SWT dan memang selayaknya. Anak derhaka itu ialah anak yang tidak mengenang jasa. Mereka tidak berbakti kepada orang tua, walhal ia adalah jalan mudah menuju ke syurga.

“Hari ini, saya lihat anak derhaka boleh digelar sebagai ‘si tanggang moden‘. Bermacam berita yang dipaparkan di dada akhbar dan televisyen. Ada yang sanggup memukul dan mencerca ibu bapa gara-gara impian mereka tidak dipenuhi.

“Ada juga yang menghantar ke rumah jagaan orang tua tanpa rela, halau ibu bapa dari rumah dan sanggup tinggalkan ibu bapa di jalanan,“ katanya dengan nada kesal.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia,“. Lalu baginda ditanya: “Siapa Ya Rasulullah? Jawab baginda: “Sesiapa yang mendapati kedua-dua orang tuanya (dalam usia lanjut) atau salah seorang daripada kedua-duanya, tetapi tidak berusaha masuk syurga (dengan memelihara orang tuanya sebaik-baiknya).“ (Hadis Riwayat Muslim)

Berbakti selamanya

Dr Mohd Faisol yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia menambah, anak yang soleh dan solehah akan selamanya berbakti kepada ibu bapa semasa hayat mereka.

“Ketahuilah, mak ayah kita adalah salah satu nikmat terbaik yang ALLAH YANG MAHA BERKUASA kurniakan dan memang tiada tolok bandingnya,“ terangnya.

Dalam hal tersebut, ALLAH telah memberi peringatan jelas menerusi Surah al-An‘am, ayat 151: “Katakanlah, marilah, supaya AKU bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan ALLAH sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”

Justeru, dengan penuh rasa tawaduk, pendakwah itu mengajak masyarakat untuk terus menabur jasa kepada ibu bapa masing dengan apa cara sekali pun.

Sesungguhnya, pengorbanan mereka tidak boleh dibalas dengan wang ringgit atau harta benda. Berbakti dan gembirakanlah mereka sedaya mungkin semasa ibu dan ayah masih hidup agar kita tidak terkilan pada kemudian hari,“ ungkapnya.

Semua pandangan yang diperkatakan oleh Dr Mohd Faisol dipersetujui oleh pendakwah Asmak Husin. Kata Asmak, memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia yang kadangkala berselisih pandangan dan tidak sependapat.

Pun demikian, dengan ibu bapa, seorang anak perlulah sentiasa beralah dengan orang tuanya, sekalipun pendapat mereka dilihat kurang tepat dan sedikit tergelincir.

“Tiada gunanya bertegang leher, membeliakkan biji mata atau meninggikan suara semata-mata mahu menegakkan pendapat. Ingat, pangkat kita hanya sebagai seorang anak. Biarkan mereka. Sebagai anak kita perlu faham bahawa ibu ayah juga ada ego mereka tersendiri,” katanya.

Bagaimana pula jika kedua-dua ibu bapa kita telah pergi menghadap ILAHI? Jawab pendakwah terkenal itu, antara perkara yang perlu anak-anak lakukan adalah meraikan dan menyambung kembali silaturahim dengan sahabat-sahabat orang tuanya.

Agama Islam amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian (silaturahim) dengan sesiapa sahaja, bukan hanya sesama ahli keluarga, tetapi dalam kalangan sahabat-handai ibu bapa mereka,“ jelasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Tutur pendakwah itu lagi, ungkapan reda ALLAH SWT terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa perlu direnung dan diperhalusi sedalam-dalamnya.

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan, kita perlu menyantuni dan menghormati ibu bapa, sungguhpun mereka bukan beragama Islam. Kita wajib taat kepada mereka kerana ALLAH SWT dan bukan batang tubuhnya,“ ujarnya.

Teladani Cara Uwais Al-Qarni Menyantuni Ibunya Yang Lumpuh. Sesungguhnya, Kasih Ibu Sampai Ke Syurga

PENGORBANAN wali ALLAH yang dikenali seluruh penduduk langit, Uwais al-Qarni dalam menyantuni ibunya harus menjadi ikutan setiap insan bergelar anak, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Amiruddin Mohd Sobali.

Ujarnya, Uwais ialah seorang anak yatim yang hidup bersama ibunya yang lumpuh. Dalam satu riwayat, mengatakan ibunya buta. Sebagai anak, beliau menggalas setiap tanggungjawab dengan penuh ketaatan.

Pun demikian, terdapat satu permintaan ibunya yang agak berat untuk direalisasikan beliau. Wanita uzur tersebut mahu menunaikan haji, sedangkan hal itu sangat sukar dilakukan kerana mereka serba kekurangan.

Namun, Uwais tidak mengecewakan ibunya. Cuba kita letakkan diri di tempat Uwais yang sanggup berkorban dengan berlatih mengendong lembu di atas belakangnya. Saya pasti pengorbanan itu termasuk dari aspek tenaga, masa dan wang ringgit sukar untuk dilakukan oleh seseorang,“ katanya.

Amiruddin kemudian memetik Hadis Riwayat Imam Ahmad. Seorang sahabat bertanyakan baginda siapakah yang patut dilebihkan baktinya? Kemudian baginda menjawab, ibulah yang perlu diutamakan.

“Jawapan itu diulang sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan berbakti kepada bapa. Sesungguhnya, mendahulukan ibu berbanding ayah adalah satu kewajipan dalam Islam. Setiap kewajipan yang dilaksanakan pula amat disukai oleh ILAHI.

“Kecintaan ALLAH SWT akan menarik rahmat-NYA terhadap anak yang mendahulukan ibu. Antara rahmat-NYA adalah dikabulkan doa seperti mana yang berlaku ke atas diri Uwais sehingga Rasulullah SAW memerintahkan Umar al-Khattab RA mencari beliau,“ jelasnya.

Menyambung kisah Uwais, sebaik pemuda berhati mulia dan ibunya sampai di hadapan Kaabah, beliau terus berdoa memohon ALLAH SWT mengampunkan segala dosa-dosa ibu dan tiada langsung doa untuk dirinya sendiri.

Wanita itu bertanya kepada anaknya, kenapa tidak berdoa untuk diri sendiri? Jawab Uwais, beliau mengharapkan reda ALLAH SWT. Lihat, betapa Uwais berusaha sedaya mungkin untuk tidak mencalarkan hati ibunya.

“Menyakiti hati dan perasaan ibu bapa sudah dikira berdosa besar, maka menyakiti mereka secara fizikal jauh lebih besar. Perkara ini wajib diketahui oleh setiap Muslim jika mahu hidup sentiasa dilimpahi keberkatan dan kebaikan daripada ALLAH SWT,“ katanya.

Memang Wujud Unsur Mistik Dalam Sesuatu Penyakit. Semak Dulu Pusat Perubatan Islam Yang Ingin Dikunjungi

Oleh DR MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Pengarah, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF),
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor 

KECENDERUNGAN masyarakat Melayu yang mengaitkan penyakit yang dihidapi dengan unsur-unsur mistik bukanlah satu perkara baharu lagi.

Meskipun teknologi perubatan semakin bercambah, punca kepada beberapa krisis kesihatan kadangkala tidak dapat dikenal pasti melalui diagnosis. Secara fizikalnya seseorang dilihat sihat, namun sebenarnya mereka sedang menanggung kesakitan.

Dalam situasi begitulah, kewujudan elemen mistik atau alam ghaib dalam sesuatu penyakit wajib diyakini kerana tidak mustahil wujudnya ‘campur tangan’ unsur-unsur lain yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut.

Jika dulu, bomoh dijadikan rujukan, namun kini ramai lebih selesa merujuk agamawan. Terdapat juga yang memilih berkunjung ke pusat pengubatan Islam yang lazimnya mendakwa mereka mempraktikkan rawatan yang berpandukan al-Quran dan sunnah.

Namun, ada sebilangan pengusaha menggunakan topeng agama demi meraih keuntungan. Adakalanya, bayaran yang dikenakan tidak munasabah, tetapi penyakit tetap jua tidak sembuh.

Sehubungan itu, sebelum berkunjung ke mana-mana pusat pengubatan, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Antaranya seperti latar belakang premis, bacaan, kaedah dan cara rawatan. Jika ada kriteria yang meragukan, maka haram bagi umat Islam mendapatkan khidmat mereka.

Antara pusat pengubatan Islam yang boleh dijadikan contoh dan boleh dipercayai ialah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa‘) yang diasaskan oleh arwah Datuk Dr Haron Din.Pendekatan mereka bersumberkan al-Quran dan hadis, bacaan yang jelas maknanya serta kaedah yang selari dengan syariat Islam.

Bersandarkan kepada ALLAH

Kepada semua pembaca, ilmu pengubatan Islam merupakan salah satu ikhtiar dalam menyembuhkan penyakit menggunakan cara yang khusus berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad al-Salafussoleh.

Prinsip asasnya adalah meletakkan sepenuhnya kuasa penyembuhan hanya kepada ALLAH SWT. Keyakinan yang disandarkan kepada kuasa-NYA YANG MAHA MENYEMBUHKAN disusuli dengan usaha hasil kombinasi beberapa kaedah rawatan seperti menggunakan air, tumbuhan herba termasuk bahan-bahan halal lagi baik yang dibenarkan.

Seperkara, konsep pengubatan Islam juga sebenarnya amat luas dan boleh diaplikasikan kepada semua jenis penyakit, sama ada penyakit yang bersifat jasmani mahupun rohani. Namun, masyarakat awam dilihat lebih cenderung menggunakan kaedah tersebut jika berdepan dengan masalah berkaitan mistik dan alam ghaib seperti gangguan makhluk halus, disampuk jin dan santau.

Sesungguhnya, al-Quran dan al-Hadis ialah rujukan utama dalam mendapatkan panduan pengubatan Islam. ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI turunkan dari al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.“ (Surah al-Isra‘, ayat 82).

ALLAH juga menyuruh manusia supaya berdoa memohon kepada-NYA jika ditimpa sakit. Firman-NYA yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan doa permohonan kamu.“ (Surah al-Mukmin, ayat 60).

Seterusnya, dalam Surah al-Syu‘ara‘, ayat 80, ALLAH berfirman: “Dan apabila aku sakit, maka DIALAH yang menyembuhkan penyakitku.“
Contoh tauladan yang ditunjukkan oleh para Anbiya‘ dalam memohon kesembuhan daripada ALLAH ialah Nabi Ayub. ALLAH mengarahkan baginda menghentakkan kaki dan terpancar keluar air dari dalam tanah.

Maka, air itu digunakan oleh Nabi Ayub untuk minum dan mandi sehingga penyakit baginda sembuh dengan izin-NYA. Jelas di sini, air merupakan antara medium terbaik dalam menyembuhkan penyakit. Justeru, tidak hairanlah apabila gabungan doa dan air digunakan secara meluas dalam kalangan perawat pengubatan Islam.

Hakikatnya setiap penyakit itu datang daripada ALLAH SWT dan DIA juga yang menyediakan penawar bagi penyakit tersebut. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Syarik RA yang bermaksud: “Berubatlah kalian wahai hamba-hamba ALLAH, kerana ALLAH SWT tidak menciptakan penyakit kecuali diciptakan juga bersama ubatnya, kecuali satu penyakit sahaja iaitu tua.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam hadis baginda yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir RA yang bermaksud: “Setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka apabila dijumpai ubat kepada suatu penyakit itu, nescaya disembuhkan dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, sebagai manusia yang menyedari betapa lemahnya diri berbanding Allah yang Maha Berkuasa, maka jangan sesekali kita berputus asa daripada mencari penawar bagi setiap penyakit yang dihadapi.

Sekiranya telah berusaha, namun masih belum pulih, kita harus bersabar. Barangkali penyakit yang dideritai adalah ujian yang dapat mengukuh dan memantapkan keimanan kepada-NYA. Mungkin juga ia disebabkan bala atau musibah. Jika berada dalam situasi itu, sewajarnya kita bertaubat dan memohon keampunan kepada-NYA.

Hakikatnya, rawatan pengubatan Islam merupakan alternatif terbaik kepada umat Islam untuk menyembuhkan penyakit yang bersifat jasmani dan rohani.

Paling penting, rawatan yang diterima harus menepati syariat Islam dan menyandarkan kesembuhan 100 peratus kepada kekuasaan dan keizinan-NYA.

Penubuhan pusat rawatan Islam yang terlalu banyak dewasa ini juga harus dikawal oleh pihak berkuasa agama. Ia penting agar rawatan cara berkenaan tidak sewenang-wenangnya disalah guna dan diperalatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kepentingan Ketelusan Dalam Muamalat. Ini Inti Pati Yang Perlu Diperhalusi

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi. Ia merujuk kepada persetujuan bersama antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati. Tuntutan memenuhi prinsip taradhi dalam muamalat dijelaskan oleh Allah dalam  al-Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”

Memang tidak dinafikan kerelaan hati itu adalah suatu yang tersembunyi dalam hati yang sememangnya hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Namun bagi memastikan kerelaan itu dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu ada tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

Ijab dan qabul inilah yang menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan ada yang ada dalam hati. Malah setiap ijab dan qabul tersebut perlu memenuhi syarat-syaratnya agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma’qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting. Kerana di sinilah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Disebakan itulah dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

“Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada dalam kandang dengan harga RM1500” atau “Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5000” atau “Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1000 sebulan”.

Kesemua bentuk tawaran di atas tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan kerana ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual hendaklah dinyatakan dengan jelas sama ada dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog jika ianya tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta`yin) supaya pembeli mengetahui secara jelas apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan jelas tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka ketelusan dan kejelasan ini mampu membuahkan kerelaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Ketelusan ini sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay` murabahah yang menggunakan mekanisma tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di Malaysia, kebanyakan transaksi murabahah komoditi  menggunakan platform Bursa Suq al-Sila’. Bay` murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah di mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil.

Ketelusan dalam aspek ini jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain daripada itu, ketelusan juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya  menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah ini memang diambil berat dalam industri kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Jurutera Di UK Cipta Tudung PPE Mudahkan Wanita Muslim Bekerja Dalam Bidang Lasak

JIKA di Malaysia tudung sarung bukan satu perkara luar biasa untuk diceritakan atau dijadikan bahan berita, namun senarionya berbeza di sesebuah negara yang bukan didominasi oleh penduduk Islam seperti di United Kingdom (UK).

Seorang jurutera kanan dari Birmingham, Aminah Shafiq (gambar bawah) mencuri tumpuan apabila mereka bentuk tudung PPE (Personal Protective Equipment) yang memudahkan wanita Muslim memakainya ketika berkerja dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan di negara itu.

Saya harap ciptaan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang menceburi bidang lasak seperti ini (kejuruteraan dan pembinaan) yang biasanya melibatkan kerja-kerja operasi,“ katanya kepada BBC News baru-baru ini.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat yang menguruskan air, Severn Trent itu menambah, beliau memperoleh ilham untuk mereka hijab berkenaan ketika UK sedang melaksanakan sekatan pergerakan bagi seluruh penduduknya.

“Saya memikirkan tentang dua fakta iaitu bahawa topi keledar biasanya tidak muat untuk kepala saya ketika bekerja, begitu juga dengan material-material lain yang digunakan.

“Justeru, selepas melihat beberapa helai rekaan tudung sukan yang mempunyai aliran udara yang baik dan ‘terletak‘ pada kepala, saya rasakan kriteria itu memenuhi kehendak kami dalam sektor ini,” katanya.

Seorang profesor di Universiti Warwick, Dr Freeha Azmat mengalu-alukan reka bentuk bersepadu tudung ciptaan Aminah.

“Biasanya apabila memakai tudung, kita memerlukan banyak pin, tetapi dengan tudung PPE Aminah, ia memberi banyak kelebihan kerana anda tidak perlu risau untuk melaraskan tudung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Nageen Fatima berkata, dengan adanya inovasi baharu tersebut, ia sedikit sebanyak membantu wanita Islam dan tidak mengehadkan mereka lagi untuk terbabit dalam apa jua profesion.-